RSS

17.1 PRINSIP PEMBANGUNAN DIRI II

09 Oct

Dalam tulisan yang terdahulu, saya pernah menulis tentang proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas-kelas latihan silat dengan mengambil kira apa yang pernah saya lakukan dalam kelas saya sendiri. Nampaknya, kesan yang diperoleh amat membanggakan. Ahli-ahli silat yang ada dapat mengikuti kelas-kelas latihan silat tanpa membuang masa. Kebolehan mereka dapat dipupuk dari masa ke masa. Hingga waktu tamat, maka mereka telah berjaya menguasai pelajaran SC yang dikursuskan pada mereka hampir enam bulan lebih.

Pembangunan persatuan ada kaitan dengan program atau aktiviti yang dirancang. Sepanjang perkhidmatan saya sebagai pengerusi persatuan di peringkat cawangan, dasar saya adalah berpandukan pada prinsip pembangunan persatuan yang saya pimpin mesti selari dengan tenaga kepemimpinan yang ada di peringkat cawangan. Oleh sebab tenaga yang sedia ada agak terhad maka dasar kami di cawangan hanya tertumpu pada perkembangan silat sahaja. Aktiviti-aktiviti lain seperti jogathon dan sebagainya, terpaksa diketepikan.

Tindakan saya itu menjadikan peranan ahli-ahli yang memimpin persatuan lebih berfokas pada silat. Aktiviti yang berfokas dan terhad pada persilatan, telah menjadikan para pemimpin lebih menumpukan pada perkembangan silat. Secara langsung, hal yang demikian menjadikan kepakaran mereka untuk mengembang dan memantapkan bidang persilatan di peringkat cawangan lebih bermakna. Hal yang demikian juga menjadikan penghasilan kerja dalam aktiviti persilatan lebih cemerlang.

Prinsip budaya cemerlang di peringkat cawangan dapat dipraktikkan dengan tersusun dan sempurna. Wujud pelakuan baik yang menjadi amalan seluruh ahli dalam cawangan. Pelakuan itu dapat dipupuk dadi masa ke masa kerana kerja-kerja persatuan adalah lebih berfokas. Kerja-kerja yang dilakukan dapat dihasilkan dengan penuh kesungguhan, kesukaan, kemanisan, kepuasan dan kehebatan luar biasa. Penghasilan kerja adalah  terbaik, terpuji dan berkualiti. Semua pihak dalam pengurusan tertinggi hinggalah kepada pengurusan pelaksana, akan sentiasa mencari kesempurnaan dengan mengamalkan nilai dan peraturan yang ditetapkan bersama.

Kita perlu sedar betapa kehebatan kita bersama di peringkat persatuan banyak bergantung pada sikap yang sedia ada. Kemajuan persatuan kita dan kemahuan untuk berjaya mestilah atas usaha sama daripada semua orang. Masing-masing ada peranannya untuk mempastikan segala tanggungjawab yang diamanahkan dapat dijalankan dengan baik dan berkesan.

          Setiap kelas silat yang kita kendalikan pastinya akan menghadapi cabaran. Salah satu cabarannya ialah para ahli silat yang tidak sama dari segi kebolehan bersilat. Cabaran yang sebegini adalah merupakan satu masalah jika tidak dapat dikendalikan dengan betul. Ramai antara Jurulatih yang tidak mempedulikan perbezaan kebolehan yang ada pada anak didiknya. Hal yang demikian menyebabkan pengajaran yang berlaku dalam kelas silat adalah sama sahaja tanpa merujuk pada kebolehan ahli yang berbeza-beza. Kesannya adalah pelbagai. Salah satu kesan negatif yang timbul ialah ahli yang berasa tidak dapat mengikuti kelas akan mengundur diri dari kelas latihan. Tentunya pengunduran mereka itu akan merugikan persatuan kita.

Oleh itu, saya selalu tekankan betapa penyelesaian masalah dalam kalangan penuntut kita perlu dari segi punca-puncanya , bukan gejala-gejalanya. Maknanya, jangan melihat pada boleh atau tidak ahli berkenaan melakukan gerak-gerak yang ada dalam SC. Lihat juga pada punca yang menyebabkan ahli berekenaan gagal untuk melakukan gerak-gerak buah SC. Misalnya panjang pendek kaki atau tangan, saiz badan atau perut dan pelbagai faktor fizikal yang ada. Kesemua bentuk fizikal yang ada pada anak didik kita adalah merupakan punca utama masalah yang menyebabkan kecepatan atau kelembapan melakukan gerak-gerak buah dalam SC. Selesaikan masalah itu terlebih dahulu. Salah satu cara penyelesaiannya ialah dengan menyesuaikan bentuk-bentuk latihan dengan keadaan fizikal seseorang ahli itu.  Buah-buah SC adalah pelbagai bentuk. Sesuaikan bentuk fizikal penuntut dengan kerasian buah SC.

Maklumat balik yang berterusan, penting untuk pembangunan kemajuan persatuan kita dan kemajuan para ahli, terutama yang sedang menuntut SC. Kita tidak boleh memisahkan antara pengurusan atasan dengan pengurusan pertengahan atau pengurusan lapisan pelaksana. Di peringkat cawangan, Presiden persatuan adalah pembuat dasar pelaksanaan aktiviti SC. Beliau akan dibantu oleh ahli-ahli  jawatankuasa persatuan untuk aktiviti persatuan dan para Jurulatih dan Penyelia Kelas untuk aktiviti persilatan. Kumpulan ini adalah merupakan golongan pertengahan yang merangka strategi utuk pelbagai aktiviti yang dirancang. Para ahli yang lain, termasuk ahli-ahli silat yang sedang menuntut adalah merupakan golongan pelaksana. Mereka akan melaksanakan strategi yang dirancangkan untuk diri mereka sendiri.

Orang-orang atasan yang memimpin persatuan di peringkat cawangan, perlu menyedari betapa pentingnya hubungan akrab dengan barisan kepemimpinan di peringkat pusat. Kita tidak boleh memencilkan diri dan tidak melibatkan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pihak pusat. Kita perlu mempercayai bahawa pihak-pihak luar daripada cawangan kita mempunyai sumber tenaga yang dapat membantu pengurusan cawangan kita sendiri.

Saya berasa yakin, dengan pegangan yang ada seperti yang saya bincangkan dalam tulisan di atas, pembangunan diri para ahli akan dapat dipupuk dari masa ke masa. Lebih ramai dalam kalangan ahli dapat dihebatkan maka sumbangan mereka akan dapat dirasai oleh pihak cawangan itu sendiri. Kehebatan mereka akan memberi sumbangan kepada kemantapan persatuan. Tentunya kerja-kerja yang diamanahkan akan berjalan dengan baik. Hal yang demikian akan menjadikan cawangan kita berkualiti.

Pupuklah dalam kalangan ahli-ahli kita dengan satu semangat kerja yang hebat. ”Janganlah kita hanya membuat sesuatu kerja berdasarkan apa yang disuruh sahaja atau sebagai seorang yang mahu membuat apa yang disuruh sahaja. Janganlah melihat apa yang telah diusahakan tapi lihatlah juga apa yang belum diusahakan.”

Kerja-kerja yang dilakukan itu jangan dibiarkan sahaja tanpa ada sifat bertanggungjawab. Orang yang bertanggungjawab adalah mereka yang mengambil berat. Dalam hal ini jadikan kerja yang dibuat sebagai hobi. Kalau sesuatu pekerjaan itu dijadikan hobi maka perbuatan yang dilakukan akan menjadi ikhlas tanpa mengharapkan pulangan. Orang yang mempunyai hobi pasti akan melakukan kerja-kerja itu dengan penuh dedikasi tanpa mempedulikan apa orang lain akan kata. Hanya mereka sahaja yang memahaminya. Manusia toksid akan terhalang untuk membantutkan hobi mereka itu.

Kita boleh lihat betapa mereka yang mempunyai hobi memancing akan sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit bagi memenuhi hobi mereka itu. Walaupun pulangannya tidak seberapa, namun mereka mendapat kepuasan yang maksimum. Proses kerja dilakukan dengan sempurna. Peralatan memancing adalah lengkap. Strategi memancing adalah mantap.  Kalaulah usaha-usaha membangunkan diri anak didik kita dijadikan hobi, pasti usaha-usaha yang kita lakukan menampakkan kemantapan. Hal yang demikian kerana kita pastinya sentiasa memberi tumpuan yang berfokas dengan susunan strategi yang mantap. Sekian.

 
Comments Off on 17.1 PRINSIP PEMBANGUNAN DIRI II

Posted by on 09/10/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: