RSS

17.0 PRINSIP PEMBANGUNAN DIRI I

09 Oct

           Selain daripada isi-isi yang telah saya bincangkan terdahulu, pembangunan diri juga boleh dilakukan dengan cara   sentiasa menunjukkan komitmen yang hebat dalam setiap program yang dijalankan. Dalam hal ini, buatlah apa yang semestinya dilakukan atau buatlah perkara yang sepatutnya dilakukan. Berpeganglah pada budaya kerja cemerlang dalam amalan kerja seharian. Segala hasil kerja ditentukan secara berkualiti. Mereka tidak akan berpuas hati selagi hasil kerja itu tidak mencapai ke satu tahap yang berkualiti.

Walau bagaimanapun, di samping kehebatan kita, jangan lupa pembangunan diri anak didik kita yang ada. Pastikan kita mempunyai pegangan yang membolehkan mereka turut membangun. Dalam tulisan berikutnya ada beberapa prinsip yang boleh dijadikan panduan dan penggerak kepada kita untuk mencapai kejayaan dan pembangunan diri pada anak-anak didik kita.

Kita mesti percaya bahawa diri anak didik kita boleh diajar, boleh belajar dan boleh mencapai kemajuan. Oleh itu, jangan cepat berputus asa jika kualiti mereka dalam persilatan masih jauh dari jangkaan kita. Pastikan mereka jangan berasa rendah diri. Jika tidak, kesan negatif akan wujud dalam kalangan anak didik kita. Saya dapati ramai rakan seperjuangan saya yang begitu cepat kecewa. Mereka kecewa apabila kebolehan anak didik mereka tidak mencapai tahap yang dikehendaki. Dalam keadaan merintih, ramai dalam kalangan anak didik mereka yang meninggalkan kelas silat sebelum sempat tamat. Mereka terlalu cepat nak dapat ilmu. Tak sabar. Akhirnya kecewa. Kekecewaan ini menjadikan diri mereka mempunyai keyakinan atau kepercayaan diri yang amat rendah. Hal yang demikian menyebabkan mereka hilang kepercayaan pada diri sendiri dan selalunya bersifat rendah diri.

Di sinilah peranan Penyelia Kelas atau Jurulatih memainkan peranan. Buatlah sesuatu. Tapi yakinlah bahawa setiap ahli silat yang kita didik, boleh dibentuk. Dapatkan sedikit ilmu tentang cara-cara untuk membangunkan mereka daripada orang-orang yang berpengalaman. Jawatankuasa persatuan pusat boleh mengadakan kursus-kursus khas bagi memberi ilmu kepada para Jurulatih tentang cara-cara membangun dan mengembangkan potensi yang sedia ada pada mereka. Jika tidak, suasana pembelajaran dalam kelas adalah tidak aktif dan tidak menyenangkan. Bilangan ahli akan semakin merosot. Hal yang demikian tentunya akan membantut matlamat persatuan kita untuk mengembangkan persilatan di seluruh negara dan mempastikan kelas yang dibuka tidak akan ditutup.

Dalam kelas-kelas silat, nampak sangat gejala ini berlaku. Ramai dalam kalangan ahli yang cepat mengalah. Semangat yang berkobar-kobar untuk membangunkan diri dalam dunia persilatan di peringkat awal, hanya berakhir dengan kekecewaan diri. Hangat-hangat tahi ayam. Kepercayaan yang ada pada kehebatan SC, mudah sangat lunturnya. Di sinilah peranan Jurulatih amat mustahak untuk memupuk kepercayaan dan keyakinan yang tinggi dalam kalangan anak didik mereka betapa SC yang sedang dipelajari itu memerlukan ketabahan dan kesabaran serta daya tahan yang tinggi. Jangan lupa maksud pantun kita yang memberatkan ketabahan walaupun pelajarannya semacam mudah.

Kita juga perlu memegang kepercayaan jelas dan jitu bahawa kelas-kelas silat yang kita kendalikan adalah merupakan kunci utama pemupukan kejayaan dan kehebatan anak didik kita dalam dunia persilatan dan pentas kehidupan. Oleh itu, wujudkan sistem pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Jangan membuang masa bercakap-cakap tentang hal-hal yang tiada kaitan dengan persilatan. Lebih-lebih lagi hal-hal yang berkaitan dengan politik silat dan politik persatuan. Tentunya hal yang demikian akan merugikan usaha-usaha untuk menjamin kualiti dalam kalangan penuntut kita.

Anak didik kita mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit bagi mendapatkan pelajaran SC. Jangan kecewakan harapan mereka. Pastikan apabila tamat pelajaran silat, mereka benar-benar dapat menguasai isi pelajaran SC dengan kemas dan mantap. Kita perlu ada rekod untuk melihat pencapaian anak didik kita dalam proses menimba ilmu pengetahuan dari peringkat awal hingga ke akhirnya. Bangunkan mereka dari masa ke masa agar penguasaan pada ilmu SC benar-benar hebat. Kehebatan mereka dalam melambangkan kehebatan Jurulatih, Penyelia Kelas dan pengurusan kepemimpinan persatuan silat itu sendiri.

Jika perlu yakin bahawa persatuan yang mantap adalah sangat perlu bagi mengembangkan SC. Tanpa persatuan silat, ilmu persilatan SC tidak boleh dikembangkan secara meluas. Hal yang demikian adalah merupakan peraturan dalam perjalanan apa-apa jenis persatuan. Oleh sebab persatuan yang wujud berperanan untuk ’membenarkan’ pergerakan silat, maka hala tuju persatuan biarlah jelas dan tepat. Visi dan misi yang terbentuk biarlah benar-benar dijiwai oleh barisan kepemimpinan persatuan. Pastinya matlamat persatuan itu mesti sama dengan matlamat persilatan. Maknanya, visi persatuan mestilah diasaskan kepada usaha-usaha memperkembangkan SC di merata tempat dalam lingkungan satu-satu cawangan di negeri-negeri tertentu.

Matlamat yang jelas itu akan memudahkan barisan kepemimpinan persatuan di tahap cawangan memandu ahli-ahlinya ke arah pencapaian matlamat iaitu mengembangkan SC. Di sinilah Jurulatih juga  dapat memainkan peranan penting untuk mendidik dan membangunkan diri anak buahnya terutama dalam bidang persilatan. Mereka akan tahu tentang apa yang dihajatkan semasa penglibatan mereka dalam persatuan. Hal yang demikian akan menjadikan  mereka lebih komited dengan segala tugas atau amanah yang diberi oleh guru utama.

Para Penyelia Kelas dan para Jurulatih yang merupakan pengerak utama pelajaran SC, mesti menjadikan persatuan yang mereka terlibat, mempunyai hala tuju yang jelas. Pembangunan kemajuan dalam persatuan mestilah berkaitan dengan usaha untuk mewujudkan budaya persatuan yang positif. Oleh sebab persatuan yang diwujudkan itu merupakan persatuan silat, maka segala aktiviti dan program yang dirancang perlu berfokas dengan silat dan unsur-unsur yang berkaitan dengan perkembangan SC.

Jangan sesekali menjadikan persatuan kita sebagai alat oleh orang-orang luar untuk kepentingan mereka. Hal yang demikian termasuklah menjadikan persatuan kita sebagai wakil penjualan langsung. Hal yang demikian akan menyebabkan fokas kita akan ’lari’ dari hala tuju yang sepatutnya. Pelbagai pihak akan rugi.

Oleh itu, berpeganglah pada dasar yang jelas pada persatuan kita yang juga merupakan sebuah organisasi yang amat penting untuk mengembangkan SC. Ingat, ”Organisasi adalah satu tempat manusia sentiasa mengembangkan kemampuan bagi mencapai hasil yang benar-benar mereka kehendaki. Suatu tempat bagi membolehkan bentuk pemikiran baru dalam silat dapat dipupuk. Suatu tempat wujudnya aspirasi bersama dan suatu tempat yang membolehkan manusia yang bergelar ahli-ahli silat sentiasa belajar bersama-sama.”

Oleh itu, jangan hampakan harapan para ahli yang mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit bagi mendapatkan ilmu persilatan daripada kita. Pengurusan kelas yang berkesan, pasti akan meningkatkan pencapaian anak didik kita. Biarlah ketika berada dalam kelas silat, kita hanya bercakap tentang silat sahaja. Bersambung.

 
Comments Off on 17.0 PRINSIP PEMBANGUNAN DIRI I

Posted by on 09/10/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: