RSS

16.2 PEMBANGUNAN DIRI III

07 Oct

Bahagian Ketiga

Orang-orang yang berwibawa ini juga sentiasa menetapkan mutu penghasilan kerja yang tinggi. Jiwanya besar untuk mencapai sesuatu matlamat. Tidak ada yang mustahil pada prinsip kehidupan mereka. Semuanya boleh dicapai kecuali menjadi ’nabi’ sahaja yang ditentukan Tuhan setakat junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Penetapan mutu penghasilan kerja yang tinggi adalah seiring dengan kemampuan mereka membimbing dan menasihati rakan-rakan atau ahli-ahli yang dipimpin untuk mencapai hasrat yang diidamkan.

Mereka berkebolehan membuat strategi yang tepat dan strategi itu boleh dijalankan dengan jayanya. Jika ada masalah yang timbul, mereka mempunyai rumusan bagi mengatasinya. Pendek kata, kepercayaan menjalankan tugas yang diberi pada mereka tidak perlu diragukan. Berilah tugas. Pasti tugas itu berakhir dengan kejayaan. Hal yang demikian adalah kerana mereka berupaya  memberi dorongan dan berupaya menimbulkan minat dan ketekunan dalam kalangan ahli yang dipimpin. Mereka berjaya bertindak sebagai pemimpin yang hebat bagi mencapai segala hasrat yang diidamkan agar menjadi kenyataan.

Orang yang berwibawa sentiasa menambahkan ilmu pengetahuan dan pengalaman buat dirinya. Penambahan ilmu dan pengalaman itu dirasakan tersangat penting untuk membimbing rakan-rakan atau ahli-ahli yang dipimpin. Hal yang demikian secara langsung menjadikan mereka manusia yang berilmu pengetahuan tinggi. Tentunya sifat yang sedemikian akan menyenangkan mereka untuk mengenal pasti sebarang kelemahan dan lain-lain masalah yang timbul. Kebolehan mengesan masalah akan membolehkan mereka mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk membuat pembetulan dengan segera.

Mereka yang berwibawa juga dapat berhubung atau berkomunikasi dengan orang lain secara baik, jelas, tepat dan berkesan. Komunikasi yang diwujudkan adalah secara mesra dan boleh diterima orang lain, malah mudah difahami. Sifat panas baran yang merupakan halangan komunikasi mesra, dapat dihindari dengan baik. Maka akan wujudlah suasana yang harmonis dalam persatuan atau organisasi yang mereka berada.

         Kehebatan diri kita juga boleh dipupuk jika kita  bersifat jujur. Kejujuran akan menjadikan kita dihormati dan dipercayai mereka yang berhubung dengan kita. Dalam konteks kejujuran ini, buatlah sesuatu  tanpa ada kepentingan diri semata-mata. Keputusan yang dihasilkan pertahankan kerana keputusan itu adalah merupakan keputusan bersama. Jangan ada budaya ’tikam belakang.’ Oleh itu, kita perlu bercakap benar pada diri dan pada orang lain. Bercakap benar bermakna apa yang dipancar melalui mulut, sebenarnya itulah yang ada dalam hati.

Orang-orang yag hebat tidak boleh memencilkan diri. Buat kerja sorang-sorang. Mereka akan melibatkan diri secara maksimum. Penglibatan mereka juga adalah secara total dan mereka sentiasa pastikan bahawa penglibatan mereka itu akan memberi impak yang besar pada persatuan atau organisasi terlibat. Pendek kata, mereka perlu tonjolkan diri. Penonjolan ini boleh dilakukan sama ada secara perbuatan atau secara lisan.

Dalam hal ini jika ingin menonjol melalui lisan maka berkomunikasilah dengan apa yang kita percayai. Kuasai teknik komunikasi yang baik agar penonjolan kita ketika berucap lisan akan dipandang tinggi oleh pendengar yang lain. Jika penonjolan itu melibatkan  penglibatan diri kita, maka lakukan pekerjaan itu dengan rela hati dan tunjukkan kesungguhan. Hal yang demikian akan menyebabkan penonjolan kita itu memberi makna dan meninggalkan kesan pada kejayaan sesuatu program itu.

Dalam proses penonjolan diri, jangan perkecilkan atau memandang rendah pada kebolehan orang lain. Kita bekerja berdasarkan minat kita untuk bekerja. Jangan sesekali membanding diri kita dengan orang lain. ’Kuasa Kudanya’ tidak sama. Orang lain pastinya meluat dan tidak suka atas sikap yang kita tunjukkan itu.

Saya selalu perhatikan betapa orang yang hebat itu amat berani untuk melakukan perubahan dan cepat memberi dan membuat  keputusan atas sesuatu isu. Mereka sanggup menanggung risiko semasa menjalankan tugas. Sesungguhnya kesanggupan menanggung risiko adalah merupakan salah satu sifat orang-orang yang hebat. Sesuatu masalah yang timbul, akan diatasinya dengan keupayaan sendiri. Mereka sentiasa sanggup menghadapi risiko berkenaan dengan perasan tabah dan tenang.

Orang-orang yang hebat adalah orang-orang yang sentiasa berusaha membangunkan diri dalam pelbagai bidang. Di samping itu, orang-orang hebat ini mempunyai personaliti diri yang hebat. Kehebatan ini ditingkatkan dari masa ke masa. Secara langsung, peningkatan tersebut akan membangunkan diri seseorang itu menjadi orang yang disegani dan diharapkan untuk melakukan perubahan pada setiap tempat dia berada.

Sifat membangunkan diri juga perlu diasaskan melalui sikap yang bertanggungjawab. Tanggungjawab selalu saya kaitkan dengan dua perkataan yang disatukan menjadi satu rangkai kata. ’Tanggung’ merupakan tugas yang diamanahkan kepada kita. Manakala ’jawab’ bermaksud komitmen kita pada tugas yang diberi. Kita bertanggungjawab secara langsung pada pegawai atasan yang terdekat dengan kita. Dalam kelas, pastinya Jurulatih bertanggungjawab pada Penyelia Kelasnya.

Untuk menjadikan diri yang membangun sebagai orang yang bertanggungjawab, maka seseorang itu perlu menghadapi segala bentuk keputusan yang telah diambil dan yang akan diambil. Oleh itu, mereka perlu bertindak secara proaktif dan sentiasa  bertanggungjawab atas tindakan keputusan yang telah diambil. Mereka berkeupayaan membuat laporan kalau dikehendaki.

Orang-orang yang bertanggungjawab juga sentiasa dapat menjalankan tugas dalam sebarang bentuk suasana. Masa yang singkat bagi menyudahkan sesuatu kerja itu, tidak mendatangkan masalah pada mereka. Fikirannya akan sentiasa positif dan tidak mudah merintih atas sebarang suasana yang ada. Mereka menerima seadanya dan akan menyesuaikan semua tindakan dengan suasana yang ada tersebut.

Kita selalu dinasihati betapa wang ringgit jika selalu digunakan dan diberi pada orang lain maka wang tersebut akan berkurangan dari masa ke masa. Sebaliknya, ilmu pengetahun yang ada pada kita jika sering digunakan atau diberi pada orang lain, maka ilmu pengetahuan tersebut tidak akan luak di mana-mana. Malah akan bertambah dari masa ke masa. Kepercayaan ini perlu dijadikan prinsip hidup bagi orang-orang yang ingin membangunkan dirinya menjadi manusia yang hebat.

Sikap untuk mewujudkan suasana terdapatnya manfaat bersama perlu diberi keutamaan. Hal yang demikian baik dalam hubungan sesama rakan atau dengan ahli-ahli yang berada di bawah kepemimpinan persilatan kita yang berlainan haluan. Percayalah. Lagi banyak kita berbincang dan menurunkan ilmu maka ilmu yang ada itu akan terus bertambah dan lebih mantap di dada kita. Hal yang demikian akan memberi sumbangan yang banyak untuk membangunkan diri terutamanya dalam bidang persilatan SC. Sekian.

 
Comments Off on 16.2 PEMBANGUNAN DIRI III

Posted by on 07/10/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: