RSS

16.1 PEMBANGUNAN DIRI II

06 Oct

Bahagian Kedua

Kita lebih memahami apa yang kita perlukan. Dalam hal ini, berusahalah memahami diri sendiri dan keperluan kita yang sebenarnya. Saya mempunyai banyak pengalaman apabila berhadapan dengan manusia yang tidak memahami dirinya sendiri. Misalnya, saya rujuk dalam persilatan kita sndiri. Mereka tidak boleh menjawab akan keperluan diri mereka sebenarnya sama ada dalam kemahiran fizikal atau kemantapan kefahaman. Kalau kita tidak tahu apa yang kita kehendaki maka ilmu yang diperoleh adalah beradasarkan sogokan, pendapat atau pandangan orang lain. Kita hanya bertindak sebagai penerima sahaja. Umpama seorang bayi yang menerima sahaja apa yang disuap oleh ibunya.

Pembangunan diri juga dapat dilakukan jika kita mempunyai strategi untuk membangunkan diri sendiri. Oleh itu, seringlah berbincang bagi membentuk satu set tindakan sama ada jangka pendek atau jangka panjang untuk membangunkan diri sendiri. Diri boleh dibangunkan sama ada dalam bidang persilatan atau kefahamannya. Jika diri dapat diperkayakan dengan ilmu, akhirnya kita akan membentuk diri kita umpama gergaji. Disorong ia makan, ditarikpun ia makan. Maknanya, peranan seseorang itu akan mendatangkan kesan yang mendalam dalam sebarang situasi yang ada.

Di samping usaha-usaha yang saya bincangkan di atas, disiplin diri perlu ada pada kita. Orang yang berdisiplin akan mudah membentuk atau membangunkan dirinya agar berkembang hebat dari masa ke masa.   Terdapat pelbagai saluran atau cara yang dapat dijalankan bagi membangunkan diri kita.

Faktor utamanya ialah kita perlu bersifat profesional. Sifat itu berkait rapat dengan tugas yang diamanahkan pada kita. Dalam bidang persilatan, jika kita berperanan sebagai Jurulatih, sifat profesional boleh ditunjukkan melalui proses pengajaran dan pembelajaran itu sendiri. Jika anak didik kita menegur perbuatan kita, terimalah hakikat kelemahan kita itu. Jika mereka ada persoalan yang sukar dijawab, tangguhkan jawapan. Jangan dimarahi mereka dengan pelbagai ancaman. Sebenarnya banyak kupasan yang boleh kita buat atas konsep profesional itu.

Teguran guru jadikan satu sempadan atau satu pengajaran. Kita belajar melalui kesalahan. Perbaiki segala kelemahan yang ada. Secara langsung kita akan dapat membangunkan diri kita menjadi manusia hebat dalam dunia persilatan. Dalam hal ini, jangan sesekali memusuhi guru atau cuba menimbulkan isu pada institusi perguruan. Kita risau tidak ada apa yang dapat dalam proses menerima kefahaman SC pada mereka yang bercanggah dengan guru.

Di samping itu jangan lupa etika kita sebagai ahli silat. Etika boleh difahamkan sebagai adab atas peranan kita. Kalau kita sebagai ahli yang menuntut, buat cara menuntut. Jika kita sebagai Jurulatih maka berperananlah sebagai Jurulatih. Jangan langgar etika atau adap kita berdasarkan peranan yang kita setujui atau yang kita terima.

Diri kita boleh dibangunkan jika kita berupaya membuat perubahan. Dalam konteks persilatan, gerak silat tidak boleh diubah. Akan tetapi sistem penyampaian boleh diubah suai berdasarkan kebolehan anak didik kita. Namun begitu, sistem pelajaran tetap sama dan jumlah pelajaran yang ingin disampaikan tetap sama. Perubahan yang kita lakukan akan menggalakkan kita berfikir. Secara langsung pemikiran untuk berubah  akan membangunkan diri kita sendiri agar menjadi ahli yang hebat.

Diri kita akan membangun jika ilmu yang ada pada kita disampaikan dengan penuh yakin dan sempurna pada para penuntut kita. Lagi banyak ilmu disampaikan pada orang lain maka lagi banyak kefahaman kita pada ilmu yang ada. Ilmu tidak sama dengan harta. Harta akan habis apabila diberi pada orang lain. Sebaliknya ilmu yang diberi pada orang lain tidak akan berkurangan pada kita.

Dalam proses penyampaian ilmu itu, kita hendaklah sentiasa bersabar. Kita dapat lihat bahawa seseorang individu itu berbeza kebolehannya       dengan      individu lain, baik  dari segi sifat dan kebolehannya. Kesabaran yang kita ada menyebabkan kita sentiasa berada dalam suasana tenang. Ketenangan akan menjadikan kita dapat berfikir dengan waras. Secara langsung kita dapat membangunkan diri kita menjadi insan yang berhati mulia.

Sifat sabar boleh dipupuk dengan cara kita menerima seadanya para penuntut kita. Pencapaian mereka berbeza-beza. Kita perlu sensitif pada pencapaian yang berbeza itu. Cari jalan untuk membaikinya. Secara langsung hal yang demikian akan menyebabkan kita sentiasa berfikir bagi kemajuan anak didik kita. Mereka boleh menilai akan apa yang kita lakukan. Keikhlasan kita membangunkan kebolehan mereka akan mereka sanjung.

Akhirnya, kita perlu membuat satu keputusan yang  jelas, tepat dan positif tentang apa yang kita mahu. Secara langsung hal yang demikian akan membantu kita untuk membangunkan diri kita menjadi manusia yang hebat.

Konsep kewibawaan adalah merupakan satu konsep yang perlu dimiliki oleh setiap barisan kepemimpinan dalam mana-mana persatuan atau organisasi. Orang yang berwibawa adalah mereka yang berjaya membangunkan rakan-rakan sekeliling di samping berupaya membangunkan dirinya sendiri. Saya selalu ibaratkan mereka umpama air mutlak yang suci lagi menyucikan. Ramai manusia yang hebat. Namun begitu, kehebatannya itu gagal untuk menghebatkan orang lain. Manusia jenis ini bolehlah diibaratkan umpama air mustakmal yang suci tapi tidak menyucikan. Maknanya, tak boleh dijadikan air untuk berwuduk.

Orang-orang yang berwibawa memiliki sifat-sifat yang terpuji. Mereka adalah golongan manusia yang sentiasa boleh diharap dan boleh dipercayai. Berilah apa jenis tugas sekalipun. Semuanya dapat dijalankan dengan baik dan sempurna. Hal yang demikian disebabkan minat mereka untuk menajalankan tugas yang diamanahkan itu tersangat tinggi. Mereka bersungguh hati untuk melakukan sesuatu perkara. Suatu tugas yang diberi pasti akan dipikul hingga habis tugas berkenaan. Masa yang digunakan adalah dalam sasaran masa yang ditetapkan.

Cuba kita bayangkan jika kepimpinan SC di pertingkat cawangan adalah terdiri pada mereka yang berwibawa. Sudah pasti cawangan berkenaan akan berkembang hebat dari masa ke masa. Hala tuju mereka dalam SC adalah jelas. Hal-hal yang berkaitan dengan pepecahan akan dapat dielakkan. Masalahnya, pepecahan banyak berlaku di kebanyakan cawangan. Salah satu faktornya adalah kerana pemimpin yang mengurus persatuan SC di tahap cawangan adalah terdiri dari mereka yang tidak berwibawa.  Hanya setakat ’air mustakmal’ dan ada juga yang bersifat ’air mutanajjis’.

Orang yang berwibawa juga sentiasa mempunyai personaliti yang hebat. Pengurusan dirinya teratur. Hal yang demikian termasuklah cara mengurus keperluan diri seperti rambutnya, giginya dan sebagainya. Begitu juga dengan cara berpakaian meliputi jenis dan bentuk pakaian yang dipakai. Mereka sentiasa bertenaga dan sentiasa bermotivasi. Tentunya sifat yang demikian akan membolehkan mereka memberi galakan dan dorongan pada rakan-rakan atau ahli-ahli yang dipimpin.  Bersambung lagi.

 
Comments Off on 16.1 PEMBANGUNAN DIRI II

Posted by on 06/10/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: