RSS

14.1 KESERONOKAN BEKERJA II

06 Sep

Bahagian Kedua

Saya pernah menulis dalam tulisan terdahulu betapa dalam mana-mana persatuan atau organisasi, mesti ada manusia yang bersifat toksid. Mereka berperanan menyebarkan fitnah dan fikiran negatif dalam kalangan ahli. Arahan ketua selalu diabaikan dan dianggap sebagai beban. Malah, mereka tidak berminat untuk menjalankan  apa saja tugas yang diarahkan oleh ketua mereka. Kehidupan mereka dalam satu-satu organisasi itu lebih selesa dan setiap perubahan akan ditentang habis-habisan kerana perubahan itu dianggap  akan mengganggu ’ketenteraman’ mereka. Saya akan bincangkan tajuk ini pada tulisan berikutnya.

Kewujudan manusia toksid dalam persatuan atau organisasi kita, tentunya akan menimbulkan suasana yang tidak menyenangkan dalam kalangan ahli. Laga-melaga, fitnah-memfitnah dan sebagainya akan mewujudkan perselisihan  dan pertengkaran. Hal yang demikian tentunya tidak menyeronokkan ahli-ahli dalam organisasi berkenaan. Keadaan akan menjadi lebih parah apabila perselisihan yang timbul mewujudkan kumpulan-kumpulan atau puak-puak yang lebih besar. Sudah tentulah kumpulan-kumpulan tersebut tidak berlaga angin antara satu sama lain. Suasana yang tidak baik ini akan  memerangkap diri kita yang cuba bersikap kecuali. Maka hal yang demikian tentunya akan mengecewakan kita.

Oleh itu, perkara penting ialah kita jangan sesekali terpengaruh dengan unsur-unsur negatif yang ada pada orang lain. Jangan terlibat dengan umpatan atau komen-komen yang tidak membina daripada orang lain. Dalam hal ini, ketika berbicara, jangan tunjukkan apa-apa riaksi sebab riaksi yang kita tunjukkan akan disimpulkan mereka sebagai tanda sokongan. Jika kita berjaya menyekat unsur-unsur negatif daripada mempengaruhi diri kita, saya yakin, kita akan mendapat kepuasan dan keseronokan bekerja.

Dalam kelas-kelas SC, Jurulatih dan Penyelia Kelas perlu memainkan peranan utama. Mereka perlu  menyekat semua pengaruh manusia toksid daripada menjalar dalam kalangan ahli. Matlamat dan fokas yang betul perlu sentiasa dijaga ketika para penuntut SC berada dalam kelas latihan. Gunakan masa pembelajaran SC dengan memasukkan hal-hal yang berkaitan dengan persilatan. Sistem pelajaran perlu dikuatkuasakan dari mula para penuntut berada dalam kelas hinggalah habis keseluruhan latihan pada hari atau pada malam berkenaan. Masa yang terisi sepenuhnya dengan aktiviti persilatan, akan dapat menghindari manusia-manusia toksid itu daripada menyebarkan perkara-perkara yang tiada kaitan dengan persilatan.

Cuma, malangnya jika wujud pula  Jurulatih atau Penyelia Kelas yang menjadi manusia toksid di sesetengah cawangan atau pusat-pusat latihan. Tentunya mereka kehilangan fokas. Masa pembelajaran silat digunakan untuk berbincang tentang politik silat. Para penuntut yang kurang faham tentang situasi sebenar, tentunya akan menyebelahi Jurualtih atau Penyelia Kelas yang berkenaan. Maka terbinalah kuman negatif dalam kalangan penuntut berkenaan tentang kepemimpinan SC itu sendiri.

Paling malang lagi, apabila manusia toksid dalam kalangan Jurulatih itu dalam tempat yang sama tidak sehaluan pendapat. Maka masing-masing akan cuba menegakkan kebenaran dan berlumba-lumba mencari pengaruh. Hal yang demikian telah mewujudkan pepecahan dalam kalangan penuntut di cawangan yang sama atau di pusat-pusat latihan yang sama. Itulah yang terjadi sebelum gelombang pepisahan melanda kita. Saya tak nak komen lagi.

           Kita perlu mempunyai pemikiran dan mindset yang betul. Kita perlu akui betapa lain orang maka lainlah pradigma dan mindsetnya. Kalau seseorang itu mengeluarkan pendapat, tentulah pendapatnya itu betul pada pemikirannya. Kita tak perlu menyatakan pendapat seseorang itu salah melainkan kita menegaskan bahawa pendapat itu tidak sesuai pada kita jika kita menolak pendapat tersebut.

Daya pemikiran seseorang itu berbeza-beza. Semuanya bergantung pada ilmu dan pengalamannya. Seseorang yang berfikiran sempit tentunya berbeza dengan mereka yang berfikiran luas dan terbuka. Perbezaan pemikiran akan mempengaruhi cara bercakap dan  isi percakapan. Daya pemikirannya juga akan berbeza. Hal yang demikian akan mempengaruhi perwatakan dan tindak-tanduknya. Oleh itu, hadapilah pelbagai jenis ahli dalam satu-satu persatuan dengan pemikiran yang terbuka.

Sebelum ini saya telah tegaskan betapa pentingnya kita mempunyai pemikiran yang sentiasa positif.  Hal yang demikian menunjukkan kita mempunyai mindset yang betul. Orang-orang yang mempunyai mindset yang betul selalu menyoal dirinya dengan soalan yang bercorak positif. Misalnya, dari segi perubahan, beliau akan bertanyakan apa yang perlu aku lakukan untuk berubah bukannya bolehkah aku berubah. Dari segi keyakinan melakukan sesuatu tugasan, beliau akan bertanyakan soalan apa yang perlu aku tahu untuk melakukannya, bukannya bolehkah aku lakukannya. Soalan yang lain, beliau akan bertanyakan bagaimana aku boleh mendapatkan perhatian untuk maju bukannya merintih dan bertanyakan soalan, apakah malang nasibku.

Orang yang berfikiran positif selalu menegaskan betapa setiap kesalahan yang berlaku boleh dijadikan satu pelajaran atau satu pengajaran. Semua manusia melakukan kesalahan. Tidak ada yang bersifat maksum kecuali para Rasul yang ditentukan Tuhan.

Itu sebabnya apabila kes pencabulan dijadikan bahan utama, para ahli SC berpecah belah. Ada yang menafikannya. Ada yang mengiakan dan ada yang bersikap berkecuali atas dasar manusia sentiasa dirundung kesalahan dan kelemahan. Segala-galanya bergantung pada daya pemikiran. Seperti yang dinyatakan, daya pemikiran itu akan dipengaruhi oleh ilmu, pengalaman, pemikiran positif atau negatif serta kepentingan diri yang ada. Cukup atas komen yang terdahulu.

Daya pemikiran atau mindset yang betul, akan melahirkan sifat ketenangan. Tidak ada apa yang perlu dibuktikan. Tak perlu kempen-kempen menegakkan kebenaran pandangan kita sahaja. Kita sentiasa sedar bahawa kesalahan yang dialami oleh orang lain, mungkin akan berlaku pada kita atau anak atau saudara mara kita. Lebih baik kita bersyukur setakat itu kita terpelihara dan berdoalah semoga kesalahan yang berlaku dijauhkan hendaknya dari menimpa diri atau anak dan sanak saudara kita. Sifat ketenangan yang lahir dalam diri kita akan menyebabkan hati sentiasa ceria.

Dalam tulisan terdahulu saya telah nyatakan betapa keseronokan itu adalah sesuatu yang kita cipta. Kalau kita wujudkan suasana seronok maka kita akan terus menerus berada dalam suana keseronokan. Mereka sentiasa bertanyakan soalan apakah langkah yang aku perlu buat untuk lebih seronok hari ini bukannya kenapa aku tak seronok.

Cuma, berhati-hati juga apabila menggunakan istilah seronok di negara jiran kita, Indonisia. Ketika saya memberi ucapan di sama tentang konsep seronok, ramai yang tersenyum tersipu-sipu. Rupa-rupanya istilah seronok di negara itu, lain maknanya. Ada kaitan dengan kupu-kupu malam yang berterbangan di waktu siang. Itu agakan saya sebab saya tidak mampu bertanya. Bersambung.

 

 
Comments Off on 14.1 KESERONOKAN BEKERJA II

Posted by on 06/09/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: