RSS

14.0 KESERONOKAN BEKERJA I

04 Sep

Kata orang tua-tua, keseronokan adalah sesuatu yang kita cipta. Kalau kita kata seronok maka seronoklah kita. Kalau kita katakan tak seronok maka tak seronoklah jadinya. Dalam konteks pekerjaan, kalau kita katakan tempat itu menyeronokkan maka seronoklah kita bekerja di tempat tersebut. Begitulah sebaliknya. Jika kita katakan bahawa tempat kerja itu tidak menyeronokkan maka tidak seronoklah di hati kita ketika berada di tempat itu.

Dalam konteks persilatan, kelas-kelas latihan silat banyak dikendalikan oleh pelbagai jenis sifat dan sikap Jurulatih. Saya selalu tegaskan kepada para penuntut betapa setiap Jutulatih itu mempunyai pelbagai ragamnya. Para penuntut perlu menyesuaikan diri dengan Jurulatih yang ada. Terimalah seadanya. Jika kita mengatakan tak seronok berlatih silat di bawah kepemimpinan seseorang Jurulatih itu, maka hati kita akan sentiasa tak seronok hingga tamat silat. Hal yang demikian akan mengganggu tumpuan kita untuk mendapatkan ilmu persilatan SC dengan lebih sempurna dan lebih berkesan. Kita lemah bersilat kerana fikiran kita tidak tenang.

Seperti yang saya tegaskan di atas, keseronokan adalah sesuatu yang kita cipta. Oleh itu, seronokkan diri atau gembirakan diri ketika kita berada pada satu-satu tempat. Jangan banyak titik bengek yang akan membunuh keseronokan kita. Ketika di tempat silat, terima Jurulatih seadanya. Seronokkan diri untuk menerima segala ilmu persilatan SC darinya. Kalau tak puas, bila tamat maka carilah mereka yang boleh memuaskan hati kita dalam pelajaran SC. Tambahkan ilmu daripadanya. Tak banyak cerita. Tapi jangan pulak terlupa mencari dek akibat ketaatan yang melampau pada persatuan yang ada.

Dalam tulisan ini, saya cuba bincangkan beberapa cara untuk menjadikan diri kita gembira atau seronok pada tempat atau suasana yang ada. Diharapkan tulisan ini akan membuka pemikiran para pembaca tentang betapa pentingnya kita mencipta dunia keseronokan buat diri kita sendiri. Hal yang demikian kerana pada akhirnya, kita sendiri yang akan mencipta atau menentukan bentuk keseronokan atau kegembiraan yang diidamkan.

Saya berpendapat, segala-gala yang ada di dunia ini, semuanya bermula dari niat. Niat  membawa maksud cita-cita berserta dengan perbuatan. Kalau bercita-cita saja tanpa diiringi dengan perbuatan maka hal yang demikian itu lebih bersifat angan-angan. Dalam hal itu, niat kita biarlah ikhlas kerana Allah. Tidak ada kepentingan diri apabila melakukan sesuatu. Kita belajar silatpun bukan kerana kawan, tapi kerana Allah.

Ustaz pernah menegaskan pada saya tentang konsep ’kerana Allah’. Kebiasaannya konsep itu merujuk pelakuan kita untukNya. Dalam hal ini, saya pernah difahamkan Ustaz dengan tanggapan bahawa kerana Allah itu membawa maksud atas keizinanNya. Kalau Tuhan tidak mengizinkan kita bersilat, pasti kita akan gagal memasuki persilatan tersebut. Ramai yang gagal di hari ijazah pertama. Ada yang tidak dapat mengzahirkan diri kerana kemalangan, terlupa dan sebagainya. Malah ramai yang menarik diri setelah tidur atas kain putih. Pelbagai alasan diberi. Ada yang berjumpa hantu, ada yang fikiran tak menentu ketika berada atas kain putih dan ada yang bergaduh laki bini kerana gagal memberi nafkah di malam itu. Apapun alasan yang diberi, hakikatnya Allah tidak mengizinkan mereka melibatkan diri dengan SC.

Kalau kita berjaya menjadi ahli SC, hakikatnya adalah kerana Allah mengizinkannya. Kalau Allah izinkan maka adalah hikmahnya. Nak tahu hikmah itu maka belajarlah bersungguh hati.  Niatkan hati nak jaga diri ciptaan Tuhan. Insyaallah, badan akan sihat, diri akan yakin dan berani. Maka mudahlah kita memikul tanggungjawab yang dimanahkan Tuhan.  Oleh itu, maknanya, kita masuk SC adalah kerana Allah.

Niat ikhlas kerana Allah akan menyebabkan perbuatan atau pelakuan kita tidak akan melalaikan. Kita tahu apa yang ingin dibuat. Kita akan belajar atau bekerja bersungguh-sungguh. Unsur-unsur negatif atau maksiat akan tetap dihindari bagi mendapat keberkatan Allah. Secara langsung, kita akan melakukan sesuatu yang baik dan dengan cara yang baik. Sekurang-kurangnya, waktu belajar atau bekerja akan dijaga supaya tidak ponteng. Hasilnya tentulah membawa pulangan yang baik. Hal yang demikian akan menyenangkan hati kita yang melakukan sesuatu kerja yang diamanahkan pada diri kita sendiri.

Di tempat kerja, niat yang ikhlas kerana Allah akan mendorong kita bekerja atas prinsip mencari rezeki yang halal. Rezeki yang halal akan memberi keberkatan. Malah pendapatan yang kita peroleh itu akan membawa keberkatan kerana sifat pendapatan yang diperoleh itu adalah bersih, halal, berkualiti dan diterima Tuhan. Secara langsung kita berasa puas bekerja. Kepuasan bekerja itu meyumbang kepada keseronokan bekerja.

Orang yang ikhlas juga adalah merupakan orang yang bersifat tidak mengharapkan sesuatu. Kalau di pejabat, mereka tidak akan melaksanakan arahan kerana inginkan ganjaran atau kerana pangkat. Ganjaran dan pangkat adalah merupakan rezeki yang Tuhan beri. Kalau di persatuan SC, mereka tidak akan bersilat kerana ingin jadi Jurulatih atau memegang jawatan tinggi dalam persatuan. Mereka sedar betapa pengharapan adalah sesuatu yang menyeksakan. Harapan selalunya diakhiri dengan kekecewaan. Jika tidak dikawal dengan baik, mereka akan menyusun strategi bagi menjatuhkan orang lain semata-mata untuk kepuasan diri. Diri sendiri akan direndahkan maruahnya untuk menjadi ’umpama api dalam sekam’ dan ’gunting dalam lipatan’. Oleh itu buatlah kerja tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hati kita akan berasa tenang kerana tidak terikat dengan sebarang maksud tersirat. Akhirnya lahir bibit-bibit keseronokan bekerja atau keseronokan bersilat.

Kita juga akan berasa seronok  apabila kita sentiasa bersyukur pada Allah. Hakikat perjawatan atau peranan kita adalah berupa ketentuan Allah. Kita perlu bersyukur. Jangan berasa kesal atau merintih atas apa yang kita peroleh. Yakinlah. Tentu ada sebab diri kita ditempatkan di situ. Kalau bekerja, buatlah pekerjaan dengan bersungguh hati. Kalau belajar silat maka belajarlah bersungguh-sungguh.  Apabila kita bersyukur maka Tuhan akan menambah rezeki  dan pengetahuan kepada kita. Cuma, teruskan usaha-usaha kita itu seiring dengan usaha-usaha untuk menambahkan keimanan pada diri.

Bersyukur juga akan mewujudkan ketenangan yang berpanjangan dalam diri kita kerana kita menerima ketentuan Ilahi. Secara langsung, bersyukur akan menghindari diri kita daripada persaan tak puas hati, bersifat iri hati atau perasaan dengki. Hal yang demikian akan menjadikan fikiran kita sentiasa tenang  dan senang. Secara langsung, kita akan dianugerahi perasaan seronok ketika menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Orang lain kerap kali mentafsir diri kita. Maklumat tentang diri kita banyak diberi mereka sama ada kita sedar atau tidak sedar. Paling malang, apabila kita ingin mengetahui tentang diri sendiri dengan merujuk atau bertanyakan orang lain. Kita boleh melukis lukisan wajah orang lain, tapi selalu gagal melukis wajah diri sendiri yang kerap ditatap pada cermin muka setiap hari. Pada hal kitalah yang sepatutnya mengetahui akan diri kita sendiri.

Pepatah ada mengatakan bahawa, ”Tak kenal maka tak cinta.” Oleh itu, kenallah diri kita supaya kita menyintai diri kita sendiri. Hal yang demikian akan mengasaskan satu bentuk keseronokan dalam diri kerana kita tahu akan diri sendiri ketika menjalankan tugas. Kita boleh tahu taraf kita sama ada dapat memainkan peranan sebagai pemimpin atau tidak. Kita juga akan mengetahui sifat dan sikap kita. Adakah kita seorang yang  lembut, rajin, boleh berbincang, angin, patuh, usahawan atau glamour, atau adakah kita seorang yang sentiasa mementingkan kekemasan dan sebagainya. Segala sifat yang ada  itu akan membawa implikasi dari segi tindak tanduk kita. Misalnya, jika kita mementingkan kekemasan pasti akan menjadikan kita sebagai seorang yang agak cerewet. Kalau kita seorang yang bersifat lembut maka kita tidak suka kerja merampus, marah atau dimarahi dan lain-lain sifat yang berkenaan.

Mengenali diri kita sendiri, saya anggap penting kerana perbuatan yang demikian akan menjadikan kita dapat menyesuaikan diri dengan semua keadaan. Hal yang demikian akan menjadikan kita seronok untuk bekerja. Alangkah seronoknya apabila kita tahu akan sifat kita itu. Kita boleh berbincang tentang diri sendiri daripada berbincang tentang perangai orang lain. Dosa yang dapat.

Saya selalu tegaskan betapa pentingnya kita jangan mengharap atau terlalu mengharap. Orang yang terlalu mengharap biasanya akan memperoleh kekecewaan. Oleh itu, bagi mengatasi sifat terlalu mengharap, lebih baik kita melakukan kerja secara berfokas dan tahu apa yang kita cari. Pada kebiasaannya, sesuatu yang mahu dicari dalam satu tempoh masa yang tertentu akan diiringi oleh perancangan yang rapi. Namun begitu, dalam proses membuat perancangan ini, banyak perkara yang akan menghantui fikiran kita  hingga sanggup melakukan apa sahaja bagi mendapatkannya. Hal yang demikian akan menyebabkan kita berasa stress dan tidak seronok.

Oleh itu, sasaran yang ingin dicapai mestilah seimbang dengan keperluan-keperluan diri kita yang lain seperti pembangunan diri sendiri, kesihatan diri dan kebajikan keluarga. Jaga diri dan keluarga seperti mana kita menjaga pekerjaan kita. Jangan dilebihkan  secara melampau pekerjaan dari mereka. Di samping itu jangan lupa tuntutan rohani atau agama. Buatlah sesuatu dengan benar agar kewangan yang kita peroleh benar-benar membawa keberkatan pada kehidupan diri kita. Jika kita mengetahui segala permasalahan yang timbul maka kita akan lebih selesa untuk bertugas. Hal yang demikian akan menimbulkan keseronokan bekerja kerana kita berjaya menyaimbangkan antara tuntutan pekerjaan dengan tuntutan diri dan keluarga. Bersambung.

 
Comments Off on 14.0 KESERONOKAN BEKERJA I

Posted by on 04/09/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: