RSS

13.0 WUJUDKAN SUASANA KEMESRAAN

02 Sep

Kita perlu ada sifat bertolak ansur jika ingin membuat hubungan mesra dengan orang lain. Jika ada sifat bertolak ansur, pada kebiasaannya hubungan yang kita lakukan dengan orang lain akan berakhir dengan satu kepuasan pada semua pihak.  Kita berasa puas dan orang lain yang kita buat hubungan pun akan  berasa puas ketika proses perhubungan  dengan kita berlaku.

Dalam satu ceramah yang saya hadiri, rupa-rupanya konsep bertolak ansur adalah merupakan satu kemahiran yang perlu ada pada setiap seorang ketua. Konsep dan prinsip tolak ansur boleh digunakan dalam pelbagai aspek. Hal yang demikian termasuklah dalam satu-satu proses rundingan yang diadakan. Mereka dilatih supaya memiliki kemahiran tersebut supaya dalam proses rundingan itu, tolak ansur yang digunakan tidak merugikan pihak yang diwakilinya.  

Saya tidak mahu menyentuh soal tersebut secara ilmiah. Banyak prinsip dan ciri-ciri yang perlu dipatuhi. Kemahirannya akan mengambil masa tiga hari berkursus. Namun begitu, dalam tulisan ini, saya cuba berbincang berdasarkan kefahaman saya dalam mengurus orang yang berada di bawah kepemimpinan kita sama ada semasa persilatan atau semasa mengurus organisasi sekarang.

Saya berpendapat, bagi ’memuaskan hati’ orang lain maka faktor menjaga perasaan memainkan peranan penting. Berdasarkan  pengalaman saya, untuk mencapai maksud memahami perasaan orang lain, beberapa perkara perlulah dijadikan panduan dan pegangan. Hal yang demikian adalah penting bagi melahirkan suasana yang harmonis dalam persatuan atau organisasi yang kita pimpin. Pastinya dalam kelas-kelas latihan SC, Jurulatih tersangat penting untuk memainkan peranannya bagi memuaskan hati para penuntutnya.

Ketika berhubung dengan orang lain kita perlulah  sentiasa ceria dan riang. Hal yang demikian adalah penting agar orang lain berasa selesa dengan kita. Walaupun berkemungkinan kita memiliki muka yang garang, cara kita bercakap boleh melegakan perasaan tidak senang mereka dek kerana muka garang kita yang semula jadi.

Kalau orang yang berhadapan dengan kita dalam suasana yang stress, legakan perasaan mereka terlebih dahulu. Saya rasa, alangkah baiknya jika kita memulakan sapaan salam dengan penuh keihklasan. Hal yang demikian akan membantu melegakan perasaan tegang yang  mereka hadapi. Kita mesti bijak menyerikan suasana dengan pelbagai gelagat yang kita tunjukkan. Apabila mereka berasa kita memahami situasi yang dihadapi, pastinya mereka akan dapat  menyesuaikan diri dengan kita. Maka wujudlah suasana kemesraan hasil sifat kita yang memahami situasai yang mereka hadapi.

Seiring dengan itu, hindarkan diri kita daripada perkara-perkara yang tidak menyenangkan orang lain. Saya selalu tegaskan betapa pentingnya kita berperasangka baik dan berfikir secara positif pada orang yang berhubung dengan kita. Orang lain akan dapat mengesan apa yang ada dalam perasaan kita. Begitu juga sebaliknya. Saya difahamkan betapa dalam disiplin psikologi, perasaan kita automatik dihantar kepada orang lain melalui gelombang-gelombang yang tertentu. Jika kita berperasaan negatif, perasaan kita itu akan disampaikan melalui gelombang tertentu kepada orang berkenaan. Oleh itu, menjadi keperluan bagi kita supaya tidak berprasangka buruk dan sentiasa bersifat positif. Hal yang demikian akan membolehkan kita mewujudkan suasana yang harmonis dalam kalangan ahli-ahli yang kita pimpin.

Kita harus sedar betapa kepuasan ketika berhubung boleh diperoleh secara hormati perbezaan yang ada pada orang lain. Saya telah tegaskan hal yang demikian dalam tulisan-tulisan yang lalu. Kita perlu akui betapa wujudnya perbezaan fizikal, pendapat dan daya pemikiran yang ketara antara sesama kita. Lebih-lebih lagi jika wujud latar belakang yang berbeza sama ada taraf sosio ekonomi atau taraf sosial yang ada.

Latar belakang sosio ekonomi yang berbeza tersangat banyak mempengaruhi pelakuan anak didik kita. Dalam kelas-kelas silat, kita boleh perhatikan keadaan tersebut. Latar belakang sosio ekonomi akan mempengaruhi cara percakapan, isi percakapan, cara pakaian malah cara mereka berhubung dengan kita. Pengetahuan kita dalam aspek ini akan banyak membantu mewujudklan suasana yang harmonis dalam kalangan ahli-ahli  SC.

Ketika kita berhubung juga, jangan lupa keperluan sensitif atau  mood orang lain. Orang lain juga ada moodnya yang tersendiri. Jangan kira mood kita sahaja. Kajian mood orang lain juga amat penting bagi mewujudkan suasana mesra dalam kalangan ahli-ahli ketika bersilat. Dalam hal yang demikian, kita perlu tahu tentang pendekatan yang sesuai ketika orang berkenaan berada dalam mood yang tidak baik. Mood orang lain jangan dijadikan alasan untuk menyekat usaha-usaha kita bagi mewujudkan suasana mesra dalam kalangan ahli-ahli. Percakapan kita perlu berhati-hati. Jangan buat jenaka yang tidak tentu hala. Hal yang demikian tidak akan mewujudkan suasana yang baik. Malah mungkin bertambah buruk.

Kita selalu mengambil berat tentang mood orang lain ketika kita berhubung. Saya dapat perhatikan ada kalangan rakan-rakan saya yang sanggup membatalkan pertemuan dengan ketuanya semata-mata mood ketuanya tidak baik. Pada saya perbuatan tersebut  tidak sesuai. Saya tetap menganggap bahawa apa saja kerja yang kita lakukan adalah atas arahan ketua kita. Mana boleh beliau ada moody dengan kita hingga menyebabkan kita tidak mampu berhadapan dengannya untuk membincangkan kerja-kerja yang ditugaskan pada kita.  Yakinkan diri kita untuk berjumpa jika perjumpaan itu berkaitan dengan kerja-kerja yang disuruhnya. Jangan kita pedulikan moodnya. Kita pun ada mood. Itulah pegangan saya.

Ketika berhubung, tunjukkan sifat sedia bantu orang lain. Sifat bersedia membantu akan memancarkan sifat ikhlas di muka kita tanpa mengharapkan sesuatu. Orang lain akan dapat mengesan sifat ikhlas kita tersebut. Apabila kita bersedia dengan sifat membantu pastinya orang yang dibantu akan berasa gembira dan berasa puas. Kegembiraan orang yang dibantu adalah merupakan satu kepuasan pada diri kita.

Dalam perbincangan terdahulu, saya telah nyatakan betapa manusia itu mempunyai kebolehan yang berbeza. Antara kebolehan yang berbeza tersebut, tentunya terdapat beberapa keistimewaan dan kelebihan yang ada pada orang itu tetapi tidak ada atau tersangat kurang pada diri kita. Dalam hal ini peranan kita ialah menghargai keistimewaan dan kelebihan orang lain tersebut.

Satu cara kita boleh menghargai keistimewaan dan kelebihan orang lain ialah mengucapkan tahniah pada mereka. Hargailah kejayaan yang mereka capai. Anggaplah kejayaan mereka itu sebagai kejayaan kita bersama. Saya selalu sarankan, apabila mereka mendapat kejayaan, jangan suruh mereka belanja kita. Itu tandanya perasaan dengki yang ada pada diri kita. Sebaliknya kita berpakat untuk meraikan kejayaan mereka. Belanja mereka.

Kesimpulannya, untuk merapatkan diri kita dengan orang lain maka janganlah kita bersifat sombong. Maknanya, tak payah susah-susah bersifat  sombong. Kata tok guru, kita pun berasal dalam golongan yang lemah di sisi Allah. Ditegaskan pada kita betapa asal usul kejadian kitapun daripada setitik air mani. Kita berasa sombong kerana kita berasa diri lebih baik daripada orang lain. Tapi siapakah yang mengatakan diri kita lebih baik daripada orang lain tersebut. Ramai yang perasan dan syok sendiri.

Saya teringat syarahan Ustaz. Kalau diukur dari segi kekayaan, ramai manusia yang kaya tetapi tidak dapat menikmati kekayaan hidupnya. Duduk dalam rumah besar tapi berada dalam suasana yang tidak tenteram. Pagar rumah terpaksa dikunci di siang hari. Waktu malam terpaksa dinyalakan sistem amaran. Hidup dalam ketakutan. Terbunyi sikit, maka tersentak tidurnya. Maka tidurpun tak nyenyak.

Wang ringgit tidak menjadi halangan untuk mendapatkan apa yang dicita-citakan. Namun begitu, wang ringgit tidak banyak digunakan. Nak makan udang galah, takutkan kolestrol. Makan benda manis, dah ada kencing manis. Nak makan daging, dah ada darah tinggi dan banyak lagi halangannya.

Kita perlu sedar bahawa sombong adalah sifat yang tidak kekal. Sebaliknya sifat rendah diri boleh  berkekalan dan boleh digunakan sepanjang masa. Kenyataan ini ada asasnya. Semua orang tetap memerlukan pertolongan orang lain. Orang yang sombong pun pada satu-satu masa pasti memerlukan pertolongan orang lain. Untuk mendapatkan pertolongan, mereka perlukan ubah sikap. Kalau terus menyombong ketika ingin mendapatkan bantuan, pasti orang tak layan. Maka terpaksalah sifat tinggi dirinya direndahkan. Itu sebabnya saya katakan sifat sombong tak boleh berkekalan.

Sebaliknya, sifat rendah diri pada seseorang tetap boleh berkekalan. Ketika kita memerlukan pertolongan, sifat rendah diri yang sedia ada akan banyak membantu. Tak payah tukar-tukar sifat seperti mana orang yang bersifat sombong diri.

Orang sombong terpaksa merendahkan diri untuk mendapatkan bantuan. Sekurang-kurangnya ketika tersesat dalam perjalanan. Kalau terus-menerus menyombong, tidak akan ada sesiapa yang layan. Sebaliknya, orang yang sentiasa merendah diri boleh menyesuaikan diri dalam apa-apa keadaan sekali pun, terutamanya sewaktu meminta pertolongan.

Oleh itu, sentiasalah tanam pegangan dalam ingatan. Apa yang ada dalam dunia hanyalah pinjaman yang tidak berkekalan. Kita lemah. Sombong bukan hak kita. Oleh itu, ceria-cerialah selalu. Jangan sombong-sombong. Senyum-senyum lebih baik dari masam-masam.

 
Comments Off on 13.0 WUJUDKAN SUASANA KEMESRAAN

Posted by on 02/09/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: