RSS

12.0 RAPATKAN DIRI SESAMA AHLI

29 Aug

Dalam tulisan yang lalu, saya telah menegaskan betapa pentingnya kita mendapatkan kerjasama dari ahli-ahli organisasi yang lain. Oleh itu kita perlu berusaha untuk mewujudkan hubungan atau merapatkan diri dengan mereka. Hal yang demikian memerlukan fahaman dan pegangan pada kita. Fahaman dan pegangan itu akan menjadikan kita tahu apa yang perlu dilakukan. Ketika mana dan bagaimana kita boleh lakukannya bagi mewujudkan persefahaman dalam kalangan ahli.

Dalam proses mencari persefahaman dengan orang lain, banyak cara boleh dilakukan berdasarkan fahaman masing-masing. Cuma dalam tulisan ini saya suka berbincang tentang cara-cara yang pernah saya lakukan. Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa kita perlu memahami sekurang-kurangnya enam prinsip utama. Prinsip-prinsip tersebut adalah berdasarkan pengalaman yang ada sekian lama.

Prinsip utamanya ialah kita harus akui terdapatnya perbezaan dari segi apa pun dalam kalangan individu. Bentuk fizikal, sikap, perwatakan, kegemaran dan sebutlah apa saja, semuanya berbeza. Kita perlu akui  dan memahami perbezaan tersebut. Hinggakan cap jaripun akan berbeza antara seseorang dengan seseorang yang lain. Semua perbezaan itu adalah merupakan anugerah yang diberi Allah pada setiap hambanya. Setiap satu kejadian dari Tuhan, pasti ada kelebihan dan kekurangannya. Kelebihan dan kekurangan itu adalah berdasarkan tafsiran kita. Tidak ada yang sempurna melainkan Tuhan kita. Pendapat dan fahaman pun turut berbeza.

Oleh itu, kita tidak boleh memaksa mereka mengikut saja apa yang kita hendak atau apa yang kita arahkan. Satu segi, daya pemikiran yang ada pada mereka mungkin tidak sehebat kita. Tetapi jangan lupa. Dari segi yang lain mungkin mereka melebehi atas kelebihan yang ada pada kita. Hal yang demikian menjadikan satu keperluan bagi kita untuk menghormati insan lain yang berada di sekeliling kita.

Dalam kelas SC pun kita perlu menerima hakikat bahawa kebolehan para ahli yang sedang belajar adalah tidak sama. Lain orang maka lain lah cc-nya. Itu sebabnya, pengajaran kita perlu disesuaikan dengan kebolehan setiap individu. Mereka yang berkaki atau bertangan pendek, tentunya tidak sama pergerakannya dengan mereka yang berkaki atau bertangan  panjang. Begitu juga mereka yang kurus tak akan sama pergerakan dan perbuatan silatnya dengan mereka yang gemuk. Fahamilah kebolehan yang berbeza tersebut. Jangan cepat melatah. Saya pernah membincangkan hal yang demikian dalam tulisan yang lalu.

Jika kita dapat memahami wujudnya perbezaan dalam kalangan ahli, maka akan memudahkan kita memahami perasaan yang ada pada mereka. Perasaan mereka juga tidak sama dengan perasaan kita. Kefahaman yang sebegitu  akan melahirkan perasaan simpati dan impati. Hal yang demikian akan memudahkan kita merapatkan diri dengan mereka. Merapatkan diri akan mewujudkan kerjasama dan persahaman sesama kita.

Prinsip yang lain, kita perlu melihat setiap invidu itu secara menyeluruh dengan pegangan bahawa setiap individu itu ada kelebihan dan ada kekurangannya. Hal yang demikian akan memudahkan kita menerima kehadiran mereka di sisi kita. Sifat yang ada pada kita juga tidak unggul. Kita juga ada kelebihan dan ada kekurangan. Mungkin dalam persilatan nampak kehebatan kita. Tapi dari segi pelajaran, mereka lebih tinggi dari segi ijazahnya.

Atau mungkin kita beristeri satu sahaja. Pada hal mereka berupaya beristeri dua atau tiga. Itulah kelebihan mereka. Kita berani dalam kelas silat, mereka berani dalam kelas rumah tangga. Hobi kita mungkin hanya terhad pada silat. Pada hal, orang lain lebih hebat dengan aktiviti memancingnya. Dapat juga kita merasa hasil pancingannya.

Oleh sebab semua manusia bersifat ada kelebihan dan ada kekurangan maka kita perlu mengakuinya kerana kita juga bersifat demikian. Hal yang demikian akan  memudahkan kita menerima hakikat kelemahan sesorang dalam satu-satu perkara. Secara langsung ego kita dapat diturunkan. Akan hilang tembok pemisah dalam hubungan kita dengan mereka. Mudahlah bagi kita atau bagi diri mereka untuk merapatkan diri sesama ahli.

Prinsip ketiga yang perlu kita faham bahawa setiap  pelakuan seseorang  itu ada bersebab. Riaksi pelakuan mereka bergantung pada pelakuan orang lain. Sama ada seseorang itu rajin atau malas atau bermotivasi atau tidak, semuanya bersebab. Orang lain kerap kali mendatangkan sebab atas pelakuan mereka itu. Oleh itu, jangan mudah kita membuat kesimpulan pada daya kerja atau sifat seseorang.

Ada dalam kalangan ahli-ahli kita yang lebih bersifat pendiam. Malas nak tanya sebarang soalan. Hal yang demikian kerana mereka pernah mengalami pengalaman yang menakutkan. Mana tidaknya. Apabila ditanya maka Jurulatih berkenaan akan melarang. ”Jangan tanya.” Tanyakan gerak, dijawab dengan tunjuk gerak yang menyakitkan badan. Mungkin seseorang itu bersifat sentiasa menentang kerana dirinya tidak pernah diberi sanjungan atau tidak pernah diberi pujian.

Banyak lagi contoh yang boleh dinyatakan. Kita kajilah sendiri. Pinsipnya, sifat mereka itu lahir atas sebab yang mereka sendiri yang tahu. Kita kena kaji sendiri. Kesedaran yang timbul pada kita akan memudahkan kita membuat pembetulan supaya tidak menyakitkan hati orang lain. Secara langsung akan menjadikan usaha kita merapatkan diri dengan mereka lebih berjaya.

Kita juga perlu mengakui bahawa pada prinsipnya, setiap manusia itu mempunyai maruah dan mereka tetap mementingkan maruah. Banyak kes berat yang berlaku kerana maruah yang tercabar. Oleh itu, jangan mudah kita merendah-rendahkan diri seseorang atau melakukan perbuatan yang boleh mencabar maruah seseorang. Setiap manusia yang tercabar maruahnya akan membuat tindak balas.

Kita perlu berhati-hati apabila  bergaul sesama ahli. Dalam SC pun kita perlu menghormati para penuntut yang sedang belajar. Jangan memalukan mereka jika gagal membuat buah. Jangan sesekali kita menjadi penyebar fitnah yang suka menceritakan hal-hal peribadi orang lain. Perbuatan kita itu akan menjejaskan maruah orang lain. Banyak buruk dari baiknya.

Jika kita berjaya meningkatkan harga diri mereka, akan memudahkan kita bergaul rapat dengan mereka. Secara langsung akan mewujudkan persahaman yang membolehkan kita mendapatkan kerjasama dari masa ke masa.  Hal yang sama boleh diaplikasikan dalam pergaulan sesama ahli dalam apa jenis persatuan atau organisasi pun. Jaga maruah orang lain. Insyaallah, mereka juga akan menjaga maruah kita.

Aspek komunikasi adalah merupakan prinsip  penting untuk merapatkan diri dengan seseorang. Cara kita berkomunikasi akan banyak mempengaruhi hubungan kita dengan orang lain. Bercakaplah dengan nada yang baik dan gunakan perkataan yang sesuai dengan situasi yang ada. Saya telah menyentuh soal komunikasi berkesan dan komunikasi mesra dalam tulisan yang terdahulu. Komunikasi yang berkesan akan membolehkan kita merapatkan diri dengan orang lain. Mereka akan berasa mudah untuk mendekati kita dan hal yang demikian akan memudahkan kita mendekati diri mereka.

Prinsip terakhir, setiap manusia itu memerlukan orang lain memahami sepenuhnya apa yang mereka rasakan. Hal yang demikian dikatakan sebagai perasaan empati dan bukan setakat simpati sahaja. Setiap manusia akan berterusan menghadapi masalah. Sebutlah apa saja. Mungkin masalah kewangan, masalah rumah tangga atau masalah keluarga.

Mungkin kita pernah mendengar istilah jurang generasi. Jurang yang wujud itu menggambarkan betapa generasi tua tidak dapat memahami kehendak generasi muda. Perbezaan yang wujud adalah dipengaruhi oleh banyak faktor. Faktor-faktor tersebut termasuk latar belakang sosio ekonomi yang berbeza, taraf sosial yang tidak sama dan pelbagai faktor lain yang boleh dibincang bersama.

Seperti yang dinyatakan terdahulu, pelakuan sesorang itu tentu ada sebabnya. Di sinilah mereka menuntut agar kita dapat memahaminya. Hinggakan kalau mereka perlahan atau lembab dalam pergerakan silatnya, tentu bersebab. Bukan mereka sengajakan. Kelewatan hadir pada satu-satu kelas tentu ada puncanya. Kalau naik motor, tak sama masa yang diambil, berbanding  kalau naik kereta.  Fahamilah masalah mereka. Kalau kita memahaminya maka dapatlah kita mengakui kelemahan yang ada. Hal yang demikian akan memudahkan hubungan rapat dengan mereka diwujudkan dari masa ke masa.

Beradasarkan enam prinsip yang saya bincangkan di atas, akan memudahkan kita memahami setiap individu yang cuba kita dekati. Penerimaan kita pada individu lain akan menjadikan fikiran kita tenang sikit daripada bersifat baran atau kecewa. Hal yang demikian kerana mood kita banyak dipengaruhi oleh orang lain. Kalau kita tidak memahami prinsip perbezaan dalam kalangan manusia yang ada pada orang lain akan menyebabkan kita sentiasa berada dalam keadaan moody yang berpanjangan. Hal yang demikian akan menyusahkan kita sendiri kerana perasaan kita akan terganggu.

Dalam kelas-kelas latihan SC, para Jurulatih perlu menggunakan strategi merapatkan diri dengan para penuntutnya sebagai salah satu usaha untuk mengekalkan bilangan mereka dalam satu-satu kelas. Saya ada pengalaman di pusat, betapa Jurulatih yang bersifat baran dan tidak cuba merapatkan diri dengan ahli, kehadiran mereka semakin merosot. Akhirnya hilang langsung. Sekian.

 
Comments Off on 12.0 RAPATKAN DIRI SESAMA AHLI

Posted by on 29/08/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: