RSS

11.0 MENJALIN HUBUNGAN

25 Aug

          Dalam tulisan ini saya cuba tegaskan betapa hubungan sesama manusia itu amat penting. Jalinlah hubungan dalam persatuan atau organisasi yang kita libatkan diri. Hal yang demikian akan banyak membantu bagi memenuhi segala matlamat  ketika menjalankan tugas persatuan atau organisasi.

Saya telah bincangkan dalam tulisan terdahulu. Kekalkan hubungan yang sedia terjalin dengan rakan-rakan sebelum kita berjawatan atau berkepentingan dalam satu-satu persatuan atau organisasi. Maka akan selamatlah kita dari ’dipulaukan’ sama ada segi perasaan atau segi kenyataan apabila kepentingan dalam persatuan atau organisasi telah tiada pada kita kemudiannya.

Apabila saya menulis tentang hubungan sesama ahli dalam organisasi, saya lebih maksudkan ikatan atau hubungan antara sesama manusia atas dasar kerjasama. Semuanya bekerja dalam satu pasukan bagi mencapai matlamat organisasi yang sama. Kerjasama tersebut menghindar sifat-sifat saling bertentangan pendapat dalam kalangan mereka. Tidak timbul soal dengki, kianat atau menyombong diri. Masing-masing memahami peranan yang sepatutnya ada. Hubungan yang wujud itu pula adalah berdasarkan jalinan yang mesra.

Sepanjang pengurusan saya, usaha-usaha sentiasa dilakukan untuk mewujudkan hubungan atau jalinan mesra antara ahli-ahli dalam persatuan atau organiasi yang dipimpin. Saya beranggapan bahawa hal yang demikian perlu diusahakan dari masa ke masa atas prinsip kita sentiasa menghormati orang lain manakala orang lain juga perlu sentiasa menghormati diri kita.

Kadang kala usaha-usaha bagi mendapatkan kerjasama segenap lapisan ahli dalam organisasi, bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh atau di pandang mudah. Kita memerlukan satu pendekatan atau kaedah yang paling sesuai bagi mendapatkan kerjasama tersebut. Pendekatan awal yang digunakan, perlu tepat pada pemulaan usaha kita itu.

           Saya boleh menganggap bahawa kaedah kita untuk mendapatkan kerjasama adalah merupakan suatu seni. Usaha-usaha mendapatkan kerjasama tersebut adalah tersangat penting dalam mana-mana  persatuan atau organisasi.  Jika kerjasama dapat dicapai maka akan lahirlah semangat kekitaan. Hubungan yang wujud lebih menampakkan kemesraan ketika memikul amanah. Semua ahli akan berusaha mencapai matlamat yang ditetapkan.

Semangat kekitaan akan menjadi asas pembentukan kerja sepasukan. Berdasarkan prinsip semangat sepasukan, persaingan atau pertentangan yang wujud adalah lebih bersifat positif dalam suasana yang sihat antara individu atau kumpulan yang ada dalam persatuan atau organisasi berkenaan.

Dalam usaha-usaha mendapatkan kerjasama, kita juga perlu mempunyai skill atau kemahiran yang berkaitan dengan manusia itu sendiri. Memahami sifat-sifat yang ada pada manusia akan membantu kita menguasai mereka. Mungkin dalam tulisan ini kita boleh bincangkan sedikit sebanyak tentang sifat-sifat manusia yang saya tafsir dari sudut pemikiran saya sendiri. Menyedari bahawa sifat-sifat tersebut adalah penting diketahui sebelum kita bergerak dengan lebih hebat dalam usaha mendapatkan kerjasama dan persefahaman dalam kalangan mereka.

Kita perlu akui bahawa manusia yang ada dalam satu-satu organisasi itu adalah merupakan faktor penting bagi memajukan satu-satu organisasi berkenaan. Kita perlu memahami sifat-sifat mereka. Hal yang demikian kerana manusia itu sendiri mempunyai ciri-ciri yang berbeza sesama mereka. Lain orang maka lain ragamnya. Kita perlu menyesuaikan diri kita dengan pelbagai ragam yang ada bagi memudahkan kita mendekati mereka.

Pada asasnya setiap manusia itu mempunyai nilai, sikap dan tabiat yang berbeza-beza. Pembentukan sifat-sifat berkenaan adalah bermula dari pelakuan mereka yang berulang-ulang sejak kecil lagi. Apabila terbentuk nilai pada diri mereka maka itulah perwatakan atau perangai kekal yang selalu kita tafsirkan pada mereka. Lain orang maka lain ragam perwatakan atau perangainya. Keperibadian mereka itu telah terbentuk hasil pengalamian mereka sejak kecil lagi.

Pastinya nilai, sikap dan tabiat mereka berbeza dengan kita. Namun begitu masih ada persamaan perwatakan. Persamaan itulah boleh dijadikan titik tolak sifat bertolak ansur antara nilai, sikap dan tabiat mereka dengan nilai, sikap dan tabiat kita. Dalam hal yang demikian, kita memerlukan sedikit pengetahuan bagi mengesan persamaan yang wujud itu. Mungkin persamaan itu dari segi hobi atau kegemaran dari segi makanan atau sebarang bentuk pelakuan lain.

Bergeraklah pada titik persamaan itu bagi maksud mendapatkan kerjasama dan persefahaman. Hal yang demikian akan menjadikan hubungan kita semakin rapat. Hubungan yang rapat akan memudahkan kita mendapatkan kerjasama pada hal-hal lain yang berkaitan dengan perjuangan persatuan atau organisasi berkenaan.

Cuma, saya ingin ingatkan. Dalam proses mencari persamaan, kita tak perlu mengorbankan prinsip diri untuk mengikut sifat mereka. Hal yang demikian akan berakhir dengan kekecewaan atau kegagalan pada diri kita. Pengalaman saya dalam persatuan SC telah banyak memberi pengajaran.

Saya masih ingat pengalaman melihat gelagat ahli-ahli SC ketika bersama Ustaz. Banyak lucunya. Ada yang teringin ’menjadi’ sebijik macam Ustaz dengan cara mengambil ’berkat’ darinya. Salah satu usaha mendapatkan keberkatan ialah secara minum lebihan air minum Ustaz atau makan makanan yang Ustaz tinggalkan. Ketika Ustaz sedang bercakap, mata mereka menumpukan pada minuman atau makanan lebihan tersebut. Bukannya menumpukan perhatian pada percakapan Ustaz. Tak ada langsung perasaan malu atau rendah diri. Kadang kala kesian juga melihatkan gelagat mereka.

Harapan mereka, keberkatan yang diperoleh akan membolehkan sifat dan sikap mereka sama dengan Ustaz. Dapat kebolehan secara tiba-tiba. Cara mudah tanpa usaha. Saya tak ada komen. Tapi tak tergamak untuk membuat pelakuan demikian. Kalau setakat memeluk Ustaz sambil bersalam, mungkin ada logiknya. Setiap orang yang hebat ada auranya. Salah satu cara mengalirkan aura ke tubuh kita adalah secara memeluk. Aura yang mengalir membolehkan kita mendapatkan semangat juangnya bagi menaikkan kehebatan  diri sendiri.

Ada yang mentafsir perbuatan, sifat dan sikap Ustaz untuk diturutinya seratus peratus. Mereka perasan umpama Ustaz.  Malangnya mereka tak sedar betapa perbuatan Ustaz boleh diterima oleh para ahli SC. Orang yang meniru perbuatan Ustaz tetap bukan Ustaz. Maka dalam hal itu, sepanjang ingatan saya, tidak ada ahli SC pun yang dapat menerima sepenuhnya kehadiran para ahli lain yang ’berlagak’ umpama Ustaz. Akibatnya mereka yang cuba berlagak umpama Ustaz telah memberi tekanan pada ahli yang lain. Sifat cuba marah pada orang lain, bukannya merupakan satu tegahan, sebaliknya menerbitkan sifat benci dalam kalangan ahli. Saya pernah menyentuh hal yang demikian dalam penulisan yang lalu.

Tujuan saya menulis akan gelagat ahli-ahli SC bersama Ustaz adalah untuk menarik perhatian para pembaca betapa sifat kita tidak sama. Tidak ada jalan pintas untuk menjadikan diri kita sama seperti orang yang kita banggakan. Namun begitu, sifat-sifat positif yang ada boleh dijadikan panduan. Cuma, ada keperluan untuk menyesuaikan dengan nilai yang terbentuk pada kita. Penyesuaian itulah merupakan titik persamaan yang ada antara orang lain dengan kita. Kelebihan yang ada pada orang lain itu membolehkan kita mengembang luas nilai yang ada pada kita atas prinsip persamaan yang ada.

Seperti yang dikata, persamaan antara kita akan membolehkan  wujudnya persamaan dan kerjasama. Oleh itu, carilah persamaan yang ada tanpa mengorbankan prinsip diri kita yang berbeza dengan orang lain.

Kita harus menerima hakikat betapa manusia juga mempunyai fahaman yang berbeza. Walaupun mereka berada dalam persatuan atau organisasi yang sama, penerimaan dan penghayatan mereka pada visi atau misi persatuan tidak mungkin sama peratusannya. Perbezaan fahaman tersebut tentunya ada kaitan dengan daya pemikiran seseorang. Saya selalu menggunakan istilah pemikiran besar atau pemikiran kecil.

Di samping itu, kefahaman yang berbeza erat kaitan dengan kefahaman yang sedia ada. Kafahaman seseorang itu ada kaitan juga dengan pengalaman yang ditempohnya. Jika kita memahami situasi yang berkenaan maka akan memudahkan kita berusaha untuk mencari persahaman dengan mereka.

Misalnya dalam persilatan SC itu sendiri. Sebelum fahaman SC diserapkan pada mereka, tentunya ahli-ahli berkenaan telah ada fahaman lain. Bukan mudah untuk menggantikan fahaman yang ada itu dengan fahaman SC yang cuba dituntut mereka. Umpama air yang ada dalam gelas. Untuk menggantikan air itu dengan air yang baru pastinya memerlukan tuangan air yang berganda. Jumlahnya bergantung pada air asal yang ada dalam kelas berkenaan. Jika kurang maka mudahlah dituangkan dengan air yang baru. Sebaliknya jika air yang asal dalam gelas itu penuh, tentunya air baru yang hendak diganti memerlukan kuantiti  yang banyak.

Setelah kita memahami sifat-sifat asas yang ada pada setiap ahli dalam organisasi kita maka berusahalah menyusun strategi untuk merapatkan diri dengan mereka. Hubungan rapat akan melahirkan persefahaman yang sama. Hal yang demikian akan memudahkan kita mendapatkan kerjasama erat untuk memajukan organisasi kita. Jangan sesekali bersifat sombong dengan memencilkan diri. Akan rugi.

 
Comments Off on 11.0 MENJALIN HUBUNGAN

Posted by on 25/08/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: