RSS

10.1 HUBUNGAN SESAMA AHLI ORGANISASI II

20 Aug

Bahagian Kedua

Dalam tulisan yang lalu saya telah membincangkan kesan yang boleh timbul apabila kita melupakan kawan-kawan setia yang telah terjalin ikatan persahabatan sekian lama. Terbukti pada saya betapa kesannya amat besar sekali. Mereka terus-menerus merenggangkan diri dari kita apabila tidak dipeduli. Akhirnya hilanglah teman setia yang selama ini berkawan rapat sejak mula.

Lebih malang lagi kita juga bakal kehilangan teman-teman setia yang sama-sama berada semasa kita berjawatan dalam mana-mana organisasi atau persatuan yang kita terlibat bersama. Apabila kita tiada lagi kepentingan dalam organisasi berkenaan maka terputuslah hubungan dengan rakan sepersatuan atau seorganisasi . Mereka juga ’melarikan diri’ dari kita. Malang sekali nasib sesetengah kawan kita. Kawan setia dulunya menghilangkan diri dan kawan baru semasa persatuan pun menghilangklan diri.

Oleh itu berhati-hatilah. Hubungan kita dalam persatuan atau sesuatu organisasi itu adalah tidak berkekalan. Kita mengenali mereka dek kerana ada persatuan atau kerana kita bekerja dalam satu organisasi yang sama. Apabila kepentingan kita telah tiada, maka tersingkirlah kita dalam kamus hubungan dengan mereka. Nampaknya hubungan itu tidak kekal lama. Hubungan adalah berdasarkan persatuan. Berjumpa kerana adanya persatuan dan berpisahpun kerana adanya persatuan.

Demikian juga dalam konteks rumah tangga. Kita dihormati sebagai suami atau bapa kerana tanggungjawab yang kita ada. Apabila kita meruntuhkan rumah tangga dengan menceraikan isteri yang ada maka hilanglah status kita sebagai suami atau sebagai ’bapa’. Ketika itu bekas isteri kita tentunya tidak akan perdulikan kita lagi. Lebih malangnya apabila anak yang dulunya berhubung rapat juga, telah mula merenggangkan diri dari kita. Itulah antara lain yang saya perhatikan terjadi pada kawan-kawan saya.

Kesimpulannya, ketika kita berjawatan atau ada tanggungjawab maka tunaikan tanggungjawab itu dengan penuh dedikasi dan jangan sesekali bersifat sombong. Jalinkan hubungan rapat supaya hubungan itu terbina kerana Tuhan dan bukannnya kerana jawatan atau kepentingan yang kita sandang.

Saya selalu ingatkan kawan-kawan yang berjawatan dalam organisasi kerajaan. Ketika ada kuasa, terus meneruslah menolong kawan-kawan yang telah ada ikatan persahabatan sesekian lamanya. Jangan putuskan hubungan dengan mereka. Bantu dan sokong mereka. Hal yang demikian adalah perlu kerana satu ketika nanti kita akan melepaskan semua jawatan yang disandang dalam organiasi yang ada. Hilang kuasa secara tiba-tiba. Ketika itulah kawan-kawan lama yang akan mampu mendampingi kita. Itupun jika hubungan tidak disekat di mana-mana.

Walau bagaimanapun, membantu rakan-rakan lama semasa memegang jawatan bukanlah satu perkara yang senang. Orang lain akan sentiasa mencari kelemahan kita. Membantu rakan-rakan lama akan dikaitkan sebagai kroni kita. Tersilap langkah akan ada surat layang yang mempersoalkan tindakan kita itu.

Saya selalu tegaskan betapa pentingnya setiap tindakan itu berdasarkan peraturan yang ada. Peraturan mesti dipatuhi. Itu adalah perkara asas. Cuma, kita bertindak atas keutamaan apabila wujud persaingan. Berilah keutamaan pada mereka yang pernah berjasa pada kita. Itulah tindakan yang sebaik-baiknya.

Selalu tergambar akan kawan-kawan lama yang berada di fikiran saya. Betapa mereka telah kehilangan rakan setia. Terpencil diri sepanjang masa. Tidak ramai manusia yang ingin berdamping rapat dengannya. Pergaulan dan hilai ketawa begitu hambar belaka. Gara-gara sombong di suatu masa. Ingin mengikut peraturan katanya. Peraturan dunia yang tidak tekal dan boleh berubah di satu-satu masa.

Saya pernah tersua muka dengan salah seorang dari mereka. Berpangkat besar dalam sebuah organisasi. Di suatu petang saya terjumpanya beriadah secara berjalan manja di sebuah taman tanpa teman. Langkah manjanya kerana umur telah tua. Sengaja saya paksakan diri menegurnya. Salam diberi. Beliau berhenti berjalan dan menoleh kepada saya seketika. Saya perkenalkan diri. Lantas diajaknya saya mencari tempat  duduk untuk bersembang.

Menyesalpun ada. Saya ke sana untuk beriadah seketika. Menambahkan tenaga yang ada. Leceh betul. Tapi saya paksakan diri juga untuk melayan perbualannya. Saya bukannya rapat dengannya. Cuma, satu ketika dulu saya pernah bekerja di bawah pengurusannya. Jawatannya adalah tertinggi dalam organisasi di peringkat negeri. Ketika itu saya hanya berjawatan kecil. Banyak lapis di atas saya dalam pengurusannya.

Saya teringatkan pengurusannya dulu. Orang yang tersangat garang dan tidak mudah didampingi. Ramai yang menjadi mangsa kerana diambil tindakan berdasarkan perasaan dan cucukan pegawai yang dipercayainya. Pintu rundingan tak pernah ada. Putih katanya maka putihlah benda itu walaupun hitam berjelaga.

Namun, segarang manapun seseorang, akan ada manusia yang mengambil kesempatan. Mereka akan ’tumpang sekaki’ untuk mengambil peluang yang ada. Kita boleh nampak jenis-jenis manusia sebegini. Kadang kala tindakan mereka melebihi tindakan ketua yang ada. Teringat zaman Jepun yang lalu. Betapa wujud pasukan Kempetai yang dianggotai oleh orang Melayu. Kalau Jepun tampar sekali, mereka akan tampar dua kali. Kalau Jepun hanya mengambil hasil pisang, mereka akan ambil buah pisang dengan pokok-pokoknya sekali.

Saya juga adalah salah seorang dari mangsa pengurusan yang berciri cucukan. Jawatan saya telah ditarik balik pada zamannya. Semuanya gara-gara cucukan pegawai yang tak berkenan dengan saya. Hatinya tersangat busuk. Berpengalamanlah saya dari jawatan ketua kepada pegawai biasa. Ketika itu geramnya hati bukan kepalang. Kalau boleh hendak saja saya hadiahkan pelempang.

Keadaan yang sama mengingatkan saya ketika berjuang dalam persatuan SC. Ketika guru utama dengan perwatakan seadanya, orang-orang kanannya telah mengambil peluang dan kesempatan dengan ketara. Guru dikuasai berdasarkan pemikiran mereka sahaja. Maka ramailah yang menjadi mangsa. Termasuk diri saya.

Gelagat saya diikuti perkembangannya. Guru Utama dicucuk setiap hari. Apabila dos yang diberi telah sebati, maka saya terimalah padahnya. Sakit rasa hati bukan kepalang. No kemen. Cerita lama.

Berbalik cerita saya bersama bekas ketua tertinggi di sebuah organisasi perkhidmatan saya. Ketika saya menegurnya, geram berkenaan telah hilang. Tapi bala lain yang dapat. Terpaksa melayannya hingga menyebabkan tujuan beriadah beralih haluan.

Dalam perbualan, beliau melahirkan kekesalan. Betapa diri telah diketepikan. Hilang rakan tolan yang begitu rapat semasa berjawatan. Lebih malang lagi apabila isterinya telah pergi buat selama-lamanya. Anak-anak membawa diri kerana telah ada haluan dan tanggungjawab. Tinggallah beliau sebatang kara tanpa berteman. Maka petang itu saya pulak dijadikan teman. Kebetulan. Akibat  perbuatan sengaja saya yang membuat teguran.

Beliau sempat menasihati saya. Diingatkan saya supaya menjaga  kebajikan anak buah apabila ada jawatan. Saya anggukkan kepala tanda faham. Dalam hati mungkin terkata-kata. Bila agaknya akan dapat jawatan ketua.  Rasa-rasanya mustahil sahaja. Bukannya apa. Tak nak perasan.

Apabila saya berjawatan, kata-kata bekas ketua atau pengarah berkenaan timbul juga sekali sekala. Maka saya lebih berhati-hati dalam tindak tanduk saya. Saya sedar betapa kawan-kawan yang ada di sekeliling adalah berdasarkan kerja yang diamanahkan kepada saya. Hilang kerja maka akan hilanglah mereka. Yang tinggal, cuma kawan setia sebelum jawatan disandang. Pada mereka tak mudah saya ketepikan. Lantaklah apa orang lain kata. Dalam saingan sempurna tentunya mereka, saya  utamakan.

Begitu juga dengan penglibatan kita dalam persatuan SC. Kalau kita berjawatan, tentunya guru utama menjadi rapat dan dijadikan ikutan. Janganlah sesekali kita mengambil kesempatan. Buatlah kerja atau jalankan tugas dengan penuh keikhlasan. Jangan dicucuk-cucuk para sahabat dan kawan-kawan. Jernihkan suasana. Tenangkan keadaan. Jadikan itu sebagai tugas utama.

Ketika tengah berkuasa atau menjawat jawatan yang ada, sanjungan yang diberi jangan melampaui. Nanti, ramai yang terguris di hati. Jawatan tidak kekal lama. Cukup tempoh kita akan mengundur diri. Sama ada secara kehendak persatuan atau secara paksaan. Akan terasa juga perit di hati. Lebih-lebih lagi apabila wujud generasi baru yang tidak mengerti akan pengorbanan kita yang telah sekian lama berbakti.

Ketika ada jawatan, majukan SC berdasarkan tanggungjawab yang diberi. Setiap ahli ada peranannya tapi mungkin berbeza kekuatan cc-nya. Jangan diambil peduli. Layan mereka berdasarkan kemampuan yang ada. Jangan dihina sesiapa. Jalankan tugas berdasarkan amanah yang diberi. Soal pentadbiran, jangan melampaui batasan hingga lupa diri kerana sesuatu kepentingan.  Ingat. Jawatan yang disandang mustahil akan berkekalan. Cukup tempoh maka terpaksalah undur diri. Ketika itu kita akan sedar kedudukan kita selama ini di sisi ahli. Sedari proses itu lebih awal. Sekian.

 
Comments Off on 10.1 HUBUNGAN SESAMA AHLI ORGANISASI II

Posted by on 20/08/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: