RSS

10.0 HUBUNGAN SESAMA AHLI ORGANISASI

18 Aug

         Suatu perkara yang ingin saya berkongsi bersama dengan para pembaca dalam tulisan kali ini ialah satu kenyataan yang berikut: ”Hubungan kita dalam sesuatu organisasi atau persatuan itu adalah tidak kekal. Hubungan adalah berdasarkan jawatan atau kepentingan yang ada. Apabila kita mengundur diri, maka hubungan itu mungkin berterusan atau terkubur begitu sahaja.”

Kerap kali saya perhatikan, apabila sesorang itu telah tiada dalam persatuan atau telah tiada dalam sesuatu organisasi itu maka pada kebiasaannya dia akan dilupakan langsung. Hubungan akrab bersama-sama ahli organisasi satu masa yang lalu semakin longgar dan akhirnya menjadi kenangan. Perasaan hormat semakin kurang dan semakin luntur dimamah masa. Pelakuan mengambil berat dan memberi perhatian selama ini telah mulai kurang dan semakin pudar dari masa ke masa.

Saya masih ingat dan terkenangkan rakan-rakan saya yang dulunya tersangat penting dan berkuasa dalam satu organisasi. Apabila dia berpencen, semua orang menjauhkan dan melarikan diri darinya. Tidak ada sesiapapun yang ingin berhubung dengannya. Barulah dia insaf betapa hubungan sesama ahli dalam sesuatu organisasi atau persatuan itu adalah tidak berkekalan.

Dalam konteks SC, saya pernah menyentuh perkara ini. Hubungan yang berasaskan persilatan akan berkekalan sepanjang masa. Isi percakapan adalah berdasarkan silat. Bila berjumpa maka tiada lain yang dibincangkan melainkan dunia persilatan SC. Saya berasa bertuah dan berbangga kerana pegangan itulah yang menjadi prinsip saya. Ramai kenalan lama dalam dunia persilatan SC yang masih boleh berkawan dengan saya. Cuma, yang menjauhkan diri kerana tak erti bahasa. Itu sahaja.

Sebaliknya, mereka yang berhubung atas dasar persatuan, nampaknya tidak kekal lama. Apabila persatuan berpecah maka berpecahlah ikatan hubungan mereka. Ramai yang tidak boleh bertegur sapa. Jadilah mereka musuh dalam dunia persilatan SC yang sepancor. Ada yang ingin berhubung mesra. Namun senyuman yang terukir lebih dipaksa-paksa. Hilang kemanisan. Terasa tawar.

Dalam konteks persatuan silat yang samapun, kesan buruk akan menimpa apabila seseorang itu meninggalkan jawatan yang ada. Saya dapat lihat betapa mereka yang kehilangan kuasa dalam persatuan mula disisih dan mula dilupa. Peranan mereka tidak diambil kira lagi. Ramai yang menjadi kera sumbang atau melukut di tepi gantang. Itulah buruknya jika hubungan dalam SC lebih banyak berasaskan  semangat persatuan.

Dalam konteks diri saya sendiripun, hal yang demikian dapat dirasakan. Satu ketika dulu, saya adalah merupakan seorang pemimpin di cawangan. Ketika itu persilatan SC adalah berguru satu iaitu Ustaz Hanafi. Kedudukan saya sebagai pemimpin cawangan adalah penting. Presiden persatuan. Semua orang yang berhubung ada perasaan hormatnya. Walau bagaimanapun apabila silat kita berpecah, penghormatan yang selama ini saya peroleh telah semakin mengecil. Penghormatannya terhad pada ahli persatuan yang saya anuti. Hilang semangat setiakawan sebagai ahli SC. Timbul semangat lawan sebagai ahli persatuan yang berpecah.

Dalam persatuan yang sama pun, kepentingan memegang jawatan persatuan sangat diutamakan. Saya berpengalaman mengenainya. Apabila jawatan kepimpinan telah tiada, hubungan yang sedia ada dalam kalangan ahli persatuan semakin kurang. Fahamlah kita betapa orang lain menghubungi atau merapati dengan kita bukannya kerana keperibadian tetapi kerana jawatan yang kita sandang. Nasib baik diletakkan sebagai penasihat persatuan. Sekurang-kurangnya masih ada lagi yang sayang untuk mendapatkan nasihat persatuan. Dapat juga kain tutupan tubuh di pagi raya.

Itu sebabnya kita diingatkan supaya jangan sesekali sombong ketika kita menjawat apa-apa jawatan dalam konteks persatuan. Maksud sombong ialah suka mengetepikan orang lain. Seolah-olah kita jaguh pada guru yang memegang tampuk kuasa persatuan yang ada.  Apabila kita diketepikan, akan fahamlah akan maksud kata-kata saya. Guru yang memegang persatuan pastinya akan mahukan mereka yang hanya berupaya menggerakkan persatuan. Kehebatan persatuan akan menghebatkan dirinya. Kalau mereka tidak dapat menyumbangkan lagi pada kehebatan guru yang ada melalui persatuan,  apa gunanya lagi mereka itu. Orang lain pulak yang dicari bagi menabur bakti. Maka diri yang diketepi akan terus dilupakan dan dilupakan. Ketika itu baru nak sedar diri. Maka lambatlah proses kesedaran tersebut.

Dalam konteks organisasi, cubalah kita memahami akan sebab-sebab orang lain berhubung atau berkawan rapat dengan kita. Hal yang demikian amat penting supaya kita tidak syok sendiri hingga lupa bahawa diri yang dihubungi ada sebab dan munasababnya. Mungkin hubungan itu diasaskan pada keperluan atau hubungan itu diasaskan pada paksaan pada diri orang lain yang perlu sangat berhubung dengan kita. Dalam perbincangan seterusnya, cuba kita fahami akan kedudukan kita semasa berjawatan dalam satu-satu organisasi itu. Persatuan SC juga adalah merupakan satu organisasi.

Kalau kita berjawatan atau berkedudukan tinggi, pastinya hubungan orang lain dengan kita adalah diasaskan pada perjawatan. Hal yang demikian kerana sifat kita adalah sebagai ketua mereka. Kalau bukan kerana jawatan yang kita sandang, pastinya orang lain tidak akan berhubung. Ucapan hormat seperti  ucapan selamat pagipun mungkin kerana sifat kita sebagai ketua. Kalau hubungan kita dengan mereka baik, ucapan tersebut lebih bersifat rela. Sebaliknya jika hubungan kita dengan mereka tidak baik, maka ucapan yang diberi adalah kerana terpaksa.

Fahamilah keadaan itu. Itu sebabnya apabila jawatan kita telah tiada, maka hilanglah perasaan tanggungjawab mereka untuk mesti terus menerus memberi hormat. Ketika itu, orang lain yang selama ini bekerja bersama-sama dengan kita akan tidak lagi berhubung dengan kita. Maka tanggungjawab memberi hormat bergantung pada perasaan mereka seterusnya. Jika menyenangkan mereka, perasaan hormat mungkin akan berterusan. Begitulah sebaliknya. Apabila tidak ada lagi perasaan hormat, diri kita akan terketepi. Maka semuanya akan  menjadi kenangan sejarah sahaja. Kita hanya boleh terkenang-kenangkan sahaja sejarah penghormatan orang lain yang pernah bekerja di bawah kepimpinan kita.

Mungkin juga orang lain berhubung dengan kita kerana kepentingan persatuan atau kepentingan organisasi. Setiap organisasi tentu ada hala tuju atau matlamat yang ingin dicapai. Maknanya orang lain berhubung dengan kita semata-mata untuk mencapai matlamat persatuan atau organisasi yang kita pimpin. Jawatan yang kita sandang ada tanggungjawabnya. Tanggungjawab itulah yang menyebabkan berlakunya jaringan komunikasi.

Berdasarkan kenyataan yang bincangkan, maka ingatlah. Orang lain berhubung dengan kita bukan terhad kerana sifat keperibadian kita tapi juga kerana kepentingan persatuan untuk mencapai satu-satu matlamat. Mereka perlu membincangkan strategi dengan kita untuk merangka usaha-usaha mencapai  matlamat organisasi berkenaan.

Tidak kurang juga sifat orang lain berhubung dengan kita adalah kerana tujuan yang tersirat. Pada pandangan mereka, kita mungkin dapat dijadikan alat untuk memenuhi hajat mereka. Orang lain  juga ada kepentingannya. Mungkin mereka nampak betapa diri kita boleh dijadikan batu loncatan bagi memenuhi impian mereka. Hal yang demkian ada kaitan dengan kuasa sementara yang kita ada atau hubungan sementara dengan pegawai atasan yang kita ada.

Hubungan yang sedemikian berlaku semata-mata kerana kepentingan orang lain terhadap  kedudukan kita. Ketika itulah kita akan menerima sanjungan yang tidak berkekalan. Kita juga akan menerima pelbagai cenderamata tanda penghormatan. Sebenarnya semua penghormatan atau sanjungan yang diterima  itu hanya sementara sahaja sebelum mereka mendapat apa yang dicita. Apabila cita-cita mereka tercapai maka kita akan dilupa. Itulah lumrah yang ada pada mana-mana persatuan atau organisasi yang kita terlibat dalamnya. Habis manis maka sepah yang dibuang.

Oleh itu berhati-hatilah tentang prinsip kawan dalam organisasi. Fahamilah konsep kawan yang setia dan kawan yang sementara. Ramai orang lain yang mentafsirkan konsep itu melalui istilah kawan dan sahabat. Tujuannya masih satu iaitu untuk melambangkan hubungan dengan orang lain sama ada sementara atau berkekalan, atau sama ada ikhlas atau berpura-pura.

Ada dalam kalangan kawan-kawan saya yang terperangkap dengan prinsip kawan dalam organisasi. Mereka cuba menjadikan dirinya sebagai orang yang benar-benar bertanggungjawab secara mengikut peraturan. Kononnya dalam konteks memberi bantuan, mereka berpegang pada keadilan. Oleh itu hubungan yang sedia terjalin dengan kawan-kawan sebelum menjawat jawatan telah direnggangkan semata-mata untuk menjaga kepentingan jawatan yang disandang. Maka hubungan mereka dengan kawan-kawan sebelum menjawat jawatan dalam organisasi  semakin renggang dan akhirnya terputus langsung

Malangnya apabila mereka melepaskan jawatan, rakan-rakan rapat berdasarkan persatuan atau organisasi yang sedia ada telah mula berenggang dan akhirnya menghilangkan diri. Ketika itu teringat kawan-kawan dulu yang telah diputuskan hubungan. Hubungan dengan mereka telah terganggu dek kerana kita cuba mementingkan jawatan yang disandang. Maka kesannya, hubungan kawan yang sedia ada telah menghilangkan diri kerana kita tiada lagi jawatan. Manakala kawan-kawan lama telah mula menghilang diri kerana kita sendiri memutuskan hubungan. Kesannya ialah jadilah kita  sebagai kera sumbang, hidup bersendirian tanpa banyak teman sepersatuan.

Bersambung.

 
Comments Off on 10.0 HUBUNGAN SESAMA AHLI ORGANISASI

Posted by on 18/08/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: