RSS

9.0 KOMUNIKASI MESRA

14 Aug

          Dalam tulisan yang lalu, kita telah berbincang tentang betapa pentingnya sesuatu maklumat yang hendak disampaikan biarlah berkesan. Maksudnya, berkesan dalam penyampaian dan berkesan kepada penerima. Jika maklumat yang hendak kita sampaikan itu difahami dan dapat dipraktikkan, tentunya kita akan berasa gembira. Sebaliknya, jika maklumat atau arahan yang kita sampaikan itu membawa tafsiran yang salah dan tidak diikuti maka kita tentunya akan berasa kecewa. Hal yang demikianlah menyimpulkan betapa pentingnya komunikasi yang kila lakukan itu mesti berkesan.

Dalam kelas-kelas SC, kita dapat bayangkan betapa ada dalam kalangan penuntutnya tidak dapat menguasai pelajaran SC bukan kerana Jurulatihnya tidak ’handal’ tapi kerana komunikasi Jurulatih itu amat lemah. Mereka gagal memberi maklumat pada setiap gerak SC secara berkesan. Inilah salah satu faktor pembelajaran SC boleh berbeza-beza antara satu kelas dengan kelas yang lain.

Keberkesanan sesuatu maklumat yang kita sampaikan itu lebih merujuk pada penerimaan pendengar. Kita perlu memahami kehendak dan kebolehan pendengar kita. Kita perlu mempedulikan hati dan perasaan mereka. Jika tidak mempedulikan pendengar, tentunya komunikasi yang kita lakukan itu berada dalam keadaan sehala dan penyampaiannya lebih serius. Pendengar akan tertekan dan mereka akan hilang tumpuan hingga menyebabkan maklumat yang ingin kita sampaikan tidak mencapai matlamat.

Saya ambil contoh dalam kelas latihan silat kita. Selalunya, tekanan akan timbul pada setiap kali pemberian buah-buah baru. Ketika itu para Jurulatih akan bersikap tegas untuk menyampaikan ilmu pengetahuan manakala para penuntut akan tertekan untuk memahami apa yang disampaikan. Tambahan pula selepas menerima pelajaran, mereka diperlu menunjukkan perbuatan mengambil buah tersebut di hadapan Jurulatih. Gagal memuaskan hati Jurulatih, mereka terpaksa mengulang-ngulang gerak. Hal yang demikian  akan menimbulkan suasana yang tidak menyenangkan pada diri penuntut kerana tertekan dengan corak pembelajaran yang sedemikian.

Dalam usaha mengurangkan tekanan dalam proses komunikasi tersebut, wujudlah kepentingan komunikasi dalam suasana mesra. Maknanya, dalam proses komunikasi mesra itu berlaku, tekanan dapat dikurangkan dan para pendengar dapat menerima maklumat yang ingin kita sampaikan  dengan penuh yakin, selesa, tenang dan jelas.

Dalam tulisan ini, saya akan membincangkan cara-cara kita mewujudkan komunikasi mesra tersebut untuk pengetahuan kita bersama. Saya rasa kaedah yang saya nyatakan boleh dijadikan panduan bagi melicinkan proses penurunan buah-buah SC dalam kalangan penuntut.

Terlebih dahulu perlu saya tegaskan betapa dalam hubungan rasmi atau separuh rasmi, maklumat yang kita hendak sampaikan perlulah memberi makna kepada pendengarnya. Dalam konteks organisasi, komunikasi mesra tidak berguna jika maklumat yang hendak disampaikan itu kurang ada fokas atau faedahnya. Jika semata-mata ingin bermesra atau bersembang-sembang kosong, maka tidaklah ada keperluan untuk mendapatkan pengetahuan bagi mewujudkan komunikasi mesra.

Oleh itu, dalam perbincangan saya, penekanan diberi berdasarkan prinsip bahawa dalam proses menyampaikan makumat, penerima akan berasa selesa, mudah dan tidak tegang. Kita boleh gambarkan ketika Jurulatih berkomunikasi mesra dalam proses penurunan buah. Suasana mesra akan membolehkan maklumat yang ingin disampaikan itu benar-benar berkesan.

Komunikasi mesra akan menghasilkan suasana selesa dalam kalangan pendengar. Saya berpendapat, ketika menjalin hubungan secara lisan, kita perlu mengawal perilaku kita. Bercakaplah dengan nada yang lembut walaupun menampakkan ketegasannya. Hindarkan diri daripada sifat panas baran. Sifat panas baran akan menyebabkan kita bercakap secara kasar dan bersuara tinggi. Tentulah hal yang demikian tidak menyenangkan para pendengar.

Ketika-ketika tertentu, selitkan cakap-cakap yang berunsur lawak. Namun begitu, berhati-hatilah. Jangan sesekali membuat lawak yang mirip kepada lawak mencarut atau lawak yang merendah-rendahkan peribadi pendengar.  Para pendengar tentunya tidak akan merestui jenis-jenis lawak demikian.  Lebih-lebih lagi mereka yang tidak pernah mengeluarkan perkataan-perkataan yang berunsur mencarut, tentunya tidak akan berasa selesa jika ada dalam kalangan Jurulatih yang mencarut ketika bercakap. Percakapan yang berunsur lawak membolehkan pendengar tersenyum atau tergelak. Secara langsung, ketegangan mereka dapat dikendurkan. Mereka boleh menyegarkan semula pemikiran  ketika menerima pelajaran SC.

Cuba kita bayangkan semasa latihan SC berlangsung. Ketika itu Jurulatihnya menengking-nengking para penuntutnya. Tentunya para penuntut akan berasa strees. Hal yang demikian akan menyebabkan mereka akan lupa langsung akan apa yang telah Jurulatih itu terangkan. Akhirnya Jurulatih yang letih dan menghadapi kesusahan akibat kegagalan dalam proses menyampaikan ilmu. Kegagalan mengatasinya akan membawa kesan buruk kerana anak didiknya bertukar menjadi lembab atau lembam kerana ketakutan. Takut akibat disergah atau ditengking oleh Jurulatihnya.

Ketika kita berkomunikasi, kita perlu menggunakan perkataan-perkataan yang tepat, ringkas dan jelas. Maklumat yang ingin kita sampaikan mudah diterima oleh pendengar kerana mereka berasa selesa. Cuba bayangkan jika kita menggunakan perkataan-perkataan yang jarang-jarang digunakan dalam percakapan seharian. Penggunaan perkataan yang bukan berada dalam tahap pemikiran atau kebolehan mereka akan  menyusahkan kefahaman mereka. Akhirnya, meraka akan membuat satu pandangan tersendiri kepada kita.

Perkataan dan ayat yang digunakan perlulah bersopan. Janganlah menggunakan perkataan yang melambangkan sifat meninggi diri. Kerap kali menggunakan perkataan ’saya’ atau ’aku’ sepanjang masa tentunya membosankan mereka.

Untuk mewujudkan suasana mesra ketika bercakap, jagalah memek muka kita. Ketika kita bercakap, pergerakan tangan, memek muka dan lenggang lengok kita banyak mempengaruhi bentuk komunikasi mesra. Semua itu dinamakan sebagai bahasa isyarat. Hal yang demikian bermakna ketika kita bercakap, sebenarnya bahasa isyarat juga memainkan peranan.

Ada teori yang mengatakan bahawa walaupun kita bercakap secara lisan, sebenarnya keberkesanan percakapan itu hanya melibatkan tiga puluh peratus bahasa lisan. Tujuh puluh peratus lagi dilambangkan melalui bahasa isyarat yang seiring dengan lisan. Oleh itu ketika bercakap, gunakan kesempatan dengan pelambangan bahasa isyarat. Hal yang demikian akan menyenangkan para pendengar. Mereka akan menjadi lebih mesra dengan kita.

Komunikasi mesra juga boleh kita wujudkan jika kita tunjukkan ketenangan di muka. Ketenangan akan menjadikan suara kita rendah dan bercakap dengan lebih sopan. Ketika itu, tunjukkan yang kita sentiasa bersedia berkhidmat dan memberi kerjasama. Kita tidak perlu meletakkan satu tembok sempadan ketika bercakap. Terima sahaja atau dengar sahaja akan apa saja yang ingin mereka cakap. Jangan menolak pendengaran pada perkara-perkara yang kita tidak suka.

Ketika kita bercakap atau mendengar percakapan, kita perlu sentiasa berfikiran terbuka dan ikhlas mendengar apa yang dikatakan mereka. Saya rasa tentu kita pernah berpengalaman dengan rakan kita yang tidak melayan percakapan kita. Ketika kita bercakap, mereka buat tak kisah. Ada ketikanya mereka bertanyakan soalan pada kita. Apabila kita menjawab, mukanya telah beralih pada pandangan lain. Maka menjawablah kita pada entah siapa. Tentunya ketika itu hati kita berasa geram dan tidak menyenangkan.

Kita perlu memahami masalah yang dihadapi oleh orang lain. Kalau boleh diatasi maka buatlah sesuatu. Namun begitu pastikan tindakan kita untuk mengatasinya adalah berdasarkan  peraturan. Walau bagaimanapun kita perlu juga berhati-hati. Janganlah kita cuba menyelesaikan masalah orang lain kecuali orang itu bertanya kepada kita. Oleh itu, tidak payah kita ceritakan sesuatu kecuali orang lain ingin mengetahuinya.

Saya telah memberi cadangan untuk mewujudkan  hubungan yang mesra ketika bercakap. Ketenangan yang ada pada kita akan memudahkan mereka menerima segala maklumat yang ingin kita sampaikan. Maklumat tersebut dapat dialirkan pada pendengar  dalam keadaan yang selesa. Walau bagaimanapun, perjalanan komunikasi  akan menjadi baik jika kita memulakan komunikasi. Mungkin permulaan komunikasi tersebut adalah secara tegur sapa terlebih dahulu. Lihat riaksi mereka ketika menyambut permulaan perbualan yang kita mulakan sebelum kita meneruskan perbualan seterusnya.

Jika kita tidak mengambil anisiatif untuk memulakan perbualan, suasana akan menjadi suram. Tidak ada yang nak bercakap kerana masing-masing berhati-hati untuk bercakap atau tidak suka bercakap-cakap. Oleh itu, muka hanya saling berpandangan, menunggu-nunggu orang lain memulakan percakapan. Maka akan timbul suasana yang amat bosan.

Para Jurulatih adalah merupakan lapisan barisan depan yang akan berjuang untuk menyebarkan SC di samping mempertahankan mutu pelajarannya. Golongan ini perlu menguasai kemahiran kumunikasi secara mesra. Secara langsung, hal yang demikian akan mewujudkan suasana mesra dalam komunikasi antara Jurulatih dengan  kalangan ahlinya  yang akan menerima maklumat dari mereka. Sekian setakat ini.

 
Comments Off on 9.0 KOMUNIKASI MESRA

Posted by on 14/08/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: