RSS

8.0 PERASAAN RENDAH DIRI

11 Aug

          Adatnya jika kita kurang bercakap maka orang lain akan banyak bercakap. Jika kedua-duanya asyik berlumba-lumba untuk bercakap maka wujudlah pertengkaran atau perbincangan yang tak sudah-sudah. Masing-masing ada jawapan dan alasan. Hingga ayam berkokok ke pagi esok pun, perbincangan atau perbahasan tersebut tidak akan tamat.

Itu sebabnya dalam tulisan terdahulu, saya menyatakan lebih baik kita memulakan percakapan jika difikirkan  kita lebih tahu dan berkebolehan dari orang lain ketika itu. Sebaliknya jika situasi ketika itu kita bersama-sama dengan orang-orang lain yang tidak kurang hebatnya, lebih baik kita diam dan mendengar atau mengikuti perbualan mereka terlebih dahulu sebelum kita turut bersama bercakap.

Dalam tulisan ini saya cuba mengupas maksud rendah diri dari sudut pandangan saya sendiri. Saya cuba mengamalkan sifat berkenaan apabila berhadapan dengan orang lain. Lebih-lebih lagi jika orang yang berkenaan tidak pernah dikenali atau sememangnya suka meninggi diri.

Dalam pergaulan dengan orang lain, saya cuba sedaya upaya bersifat rendah diri. Mungkin saya berjaya dan mungkin tidak. Namun begitu, saya cuba memahamkan maksud rendah diri dalam fahaman yang paling mudah seperti yang saya bincangkan dalam tulisan berikut untuk dikongsi bersama.

Saya berpandangan bahawa rendah diri maknanya tidak sombong dengan apa yang telah dianugerahi pada diri kita. Ada kekayaan, tidak bergantung pada kekayaan tersebut. Ada pangkat, tidak bergantung dengan pangkat yang ada. Hal yang demikian membawa makna bahawa sifat kita tidak berubah dek kerana anugerah yang kita terima. Teringat kata-kata Ustaz betapa manusia perlu mengekalkan identiti baik dirinya. Umpama ikan di laut. Sejauh mana masinnya air sekeliling, ikan tetap tidak masih.

Kita boleh lihat sendiri betapa ramai dalam kalangan kawan-kawan kita yang telah berubah sifat kerana pangkat dan kekayaan yang diterimanya. Sifat suka menegur selama ini telah hilang begitu sahaja. Cakap tak banyak dan air muka renungan pun tidak semesra dulunya. Malangnya, apabila pangkat dan harta ditarik balik, mereka berada dalam alam keseorangan. Tidak ramai yang ingin bergaul lagi dengan mereka. Barulah terasa sesal yang tidak berguna.

Kita perlu sedar bahawa pada kebiasaannya, orang lain suka merujuk sesuatu pada diri kita kerana jawatan yang kita sandang atau kerana kita mempunyai pengetahuan tentang sesuatu perkara tertentu. Dalam hal ini, kita perlu melayan kesemua soalan dan persoalan yang dikemukakan pada kita. Ketika melayan soalan-aoalan itu, jawablah secara bersemuka dengan memandang pada mukanya. Sebaik-baiknya, sebelum menjawab berilah pujian pada soalan atau persoalan yang dikemukakan itu walaupun agak pahit untuk menerimanya. Secara langsung orang yang bertanya akan berasa bahawa diri mereka dihargai.

Kita mungkin ada pengalaman  betapa sombongnya mereka yang ditanya. Soalan kita tidak dijawab. Muka dipandang ke arah lain. Apatah lagi jika kita mengemukakan persoalan. Seolah-olah dianggapnya soalan kita tidak ada mutu langsung di sisinya. Sifat sombong yang sedemikian amat menyampahkan kita. Oleh itu janganlah kita mengulang akan perkara yang kita tak suka pada orang lain.

Dalam konteks kita sebagai Jurulatih SC, layanlah setiap soalan dan persoalan yang dikemukakan oleh para pentuntut. Jika tidak sesuai untuk menjawabnya secara sepontan, nyatakan alasan sebaik-baiknya. Janganlah keluarkan ayat-ayat atau perkataan-perkataan yang melambangkan kesombongan kita. ”Belajar saja, jangan tanya.” Atau, ” Belajar dulu. Nanti tamat adalah jawapannya.”

Semua alasan yang diberi amat dipengaruhi oleh nada suara yang kita keluarkan. Jika nadanya tinggi maka akan menampakkan kesombongan kita sebagai Jurulatih. Sebaliknya, jika nada suara yang dikeluarkan rendah, mungkin sifat rendah diri boleh dijelmakan. Di sinilah cara komunikasi kita perlu sesuai.

Di samping itu, kita perlu menganggap bahawa sebarang pendapat yang dikeluarkan oleh rakan bualan kita perlulah dihargai. Dengarlah keseluruhan soalan atau persolan yang cuba dikemukakan. Jangan sesekali memotong cakap atau memotong pendapat hingga menyebabkan soalan atau persolan itu tidak lengkap. Hal yang demikian akan menyebabkan perasaan mereka terguris. Jika boleh, berilah pujian atau penegasan betapa pendapat yang dikeluarkan itu adalah baik. Hal yang demikian akan menyenangkan hati orang lain pada kita.

Perasaan rendah diri boleh dijelmakan melalui memek muka yang kita bentuk. Kata Ustaz, sesuatu yang berada di dalam akan dijelmakan pada air muka kita. Air muka akan memberi pelambangan sama ada kita sedang marah, suka, gembira atau kecewa. Sepatutnya keadaan muka kita adalah tenang. Ketenangan biasanya melambangkan ketulusan atau keikhlasan hati kita. Memek muka yang sedemikian tentunya akan menyenangkan orang lain. Oleh itu, sentiasalah menunjukkan air muka lembut secara senyum atau selamba.

Pendapat yang kita keluarkan lebih berbentuk pandangan kita sahaja untuk maksud berkongsi bersama. Boleh jadi pendapat yang kita keluarkan adalah bernas dan boleh digunakan orang lain. Atau mungkin juga pendapat kita itu diterima sebaliknya. Pucuk pangkalnya, jangan memaksa orang lain menerima pendapat kita. Gunakan strategi percakapan jika kita hendak orang lain menyokong pendapat yang kita keluarkan.

Kita juga perlu berhati-hati apabila berkata-kata. Pastikan kata-kata kita tidak cuba merendahkan pendapat atau peribadi orang lain. Sebaik-baiknya, beri sokongan pada pendapat yang mereka keluarkan. Ada banyak cara kita boleh berbuat demikian sebagai menghargai orang lain. Anggukan kepala tanpa mengeluarkan kata-kata pun boleh dianggap menghormati pendapat yang dikeluarkan orang lain.

Selepas itu barulah kita keluarkan pendapat kita yang mungkin bersetuju atau tidak bersetuju dengan pendapat mereka. Saya berpegang pada prinsip bahawa semua pendapat yang dikeluarkan oleh sesiapa pun, adalah betul. Cuma, adakah pendapat itu sesuai atau tidak dengan diri atau pendirian kita. Oleh itu, hormatilah pada setiap pendapat yang dikeluarkan. Hal yang demikian tentunya akan menyenangkan mereka yang mengeluarkan pendapat. Secara langsung mereka tidak akan menganggap kita sebagai seorang yang bersifat sombong dan bongkak kerana sifat kita yang mudah menyalahkan pendapat orang lain.

Di samping itu, jikalau kita terlibat dengan apa-apa aktiviti yang disertai, maka ikutilah  semua atur cara atau program yang dirancangkan. Kalau dalam majlis tak rasmi, walaupun  kita ada jawatan atau berpangkat, jangan mengharap layanan istimewa atau layanan secara protokol. Biarlah semuanya sama rata tanpa memerlukan apa-apa keistimewaan. Secara langsung, hal yang demikian akan melambangkan sifat rendah diri yang kita miliki.

Sekian.

 
Comments Off on 8.0 PERASAAN RENDAH DIRI

Posted by on 11/08/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: