RSS

7.2 HEBATKAN DIRI III

07 Aug

Bahagian Akhir

Ketika saya menjadi pemimpin persatuan di cawangan, maklumat cawangan dikeluarkan dari masa ke masa sama ada secara lisan atau secara tulisan. Bentuk tulisan adalah berdasarkan kepada keperluan. Penyebarannya dikhususkan dalam kalangan ahli-ahli persatuan sebagai sumber rujukan atau sumber maklumat. Jika maklumat tersebut penting dan memerlukan penelitian, saya akan terbitkan dalam bentuk tulisan yang berkala. Hal yang demikian akan membolehkan para ahli menyimpannya untuk rujukan.

Dalam masa-masa yang tertentu, pihak kami ada menerbitkan edaran berbentuk buletin. Dalam buletin tersebut, pelbagai maklumat boleh disampaikan sama ada berkaitan dengan aktiviti cawangan atau berkaitan dengan aktiviti pusat. Biasanya, buletin diterbitkan sekali dalam masa setahun. Hal ini akan membolehkan kandungannya memberi lebih makna. Di samping maklumat tentang pentadbiran, hasil karya seni para ahli, dapat juga dimasukkan dalam buletin tersebut. Tentunya kandungan yang demikian akan mendorong para ahli untuk membacanya.

Kalau kita memilih komunikasi secara lisan sebagai saluran menyampaikan maklumat, keupayaan pendengar sangat perlu diambil kira. Tahap keupayaan pendengar akan menentukan keberkesanan maklumat yang hendak kita sampaikan. Dalam hal ini, jika tahap pemahaman mereka tinggi, maka  pilihlah ayat-ayat  yang sesuai dengan ilmu pendengar itu sendiri. Sebaliknya, jika tahap keupayaan pendengar tidak tinggi, gunakan perkataan atau ayat-ayat mudah. Perkara pokoknya ialah maklumat dapat dihafami oleh mereka berdasarkan kebolehan mereka sendiri.

Pendengar adalah merupakan faktor yang penting dalam proses komunikasi. Itu sebabnya, kemahiran komunikasi perlu dipupuk dalam kalangan Jurulatih kita. Jika ada kursus-kursus yang berkaitan dengan tenaga pengajar, aspek komunikasi berkesan perlu dimasukkan sebagai salah satu atur cara. Beri pededahan pada para Jurulatih tentang keperluan mewujudkan berkomunikasi yang berkesan. Jika komunikasi yang berlaku adalah jelas dan baik, akan terdorong para ahli di kelas-kelas berkenaan untuk terus kekal hingga tamat pelajaran SC. Sebaliknya, jika komunikasi yang wujud di kelas adalah membosankan, peratus kemerosotan ahli dalam kelas-kelas berkenaan akan menjadi ketara.

Dalam kelas-kelas SC, kita mempunyai pelbagai latar belakang pendengar yang merupakan ahli-ahli yang sedang belajar SC. Walau bagaimanapun, kebanyakan bilangan mereka adalah terdiri dari pelajar-pelajar sekolah dan mahasiswa dan mahasiswi universiti. Golongan ini memerlukan komunikasi yang jelas dan berkesan. Jika para Jurulatih gagal mengadakan bentuk komunikasi yang berkesan, maka akan timbul pelbagai persoalan tentang maklumat yang diberi.

Contoh yang paling mudah, boleh kita lihat dalam proses penurunan buah-buah silat. Jika para Jurulatih gagal membuat penerangan dengan jelas dan tepat, pastinya para penuntut tidak akan berasa puas hati. Gerak mereka sukar menjadi tepat. Seiring dengan itu pelbagai persoalan akan mereka timbulkan tentang gerak-gerak yang ada dalam SC. Hal yang demikian tentunya akan menyebabkan para Jurulatih tidak akan berasa senang hati.

Maklumat yang telah kita sampaikan pada orang lain, perlu ada kesinambungannya. Sepatutnya, komunikasi yang kita lakukan perlulah  dalam proses yang berterusan. Dalam hal ini, kita perlu membuat perulangan penerangan untuk menarik perhatian para pendengar. Susunan ayat yang dilisan atau ditulis, perlu ada hubungkait untuk melicinkan penerimaan pendengar.

Dalam pembelajaran SC, kita dapat lihat betapa setiap pelajaran yang diajar, mempunyai kesinambungannya. Pelajaran Kaedah akan melahirkan buah-buah Asas dan buah Jatuh. Manakala pelajaran Potong ada hubungkaitnya dengan pelajaran Jatuh. Hal yang demikian telah menyebabkan para penuntut dapat memahami SC dengan lebih berkesan.

Sebaik-baiknya, para Jurulatih akan sentiasa membuat perulangan penjelasan dalam setiap gerak yang disampaikan. Perulangan yang dilakukan itu akan menyebabkan maklumat yang disampaikan mudah diingati oleh penuntut mereka. Oleh itu, para Jurulatih jangan sesekali berasa jemu dalam proses penyampaian ilmu. Lakukan perbuatan mengulang penerangan tersebut berkali-kali.

Saya dapat lihat betapa pelajaran potong dan serang dalam SC tidak mudah disampaikan dengan sekali penerangan sahaja. Para Jurulatih perlu mengambil anisiatif untuk memahamkan para penuntutnya melalui beberapa siri penerangan. Penerangan-penerangan yang diberi perlu diikuti dengan latihan praktikal. Semasa pratikal pun, penerangan yang berulang-ulang tentang isi pelajaran SC perlu dilakukan dari masa ke masa. Perulangan penerangan akan memudahkan penguasaan pelajaran dalam kalangan penuntut.

Selain daripada faktor komunikasi yang berkesan sebagai usaha untuk menghebatkan diri, penonjolan diri  juga amat penting bagi menghebatkan diri kita. Kadang kala penonjolan diri dapat dikatakan sebagai cara-cara kita ’menjualkan’ diri kita pada orang lain. Dalam konsep itu, mereka yang ada di sekeliling kita akan berasa kagum dan menerima kehadiran kita. Hal yang demikian akan menyebabkan kita mudah dikenali dan diberi perhatian oleh orang lain.

Penonjolan diri juga membawa maksud  tidak memencilkan diri dan sentiasa mengambil kisah pada persekitaran yang ada. Mereka boleh bergaul dengan mudah dan dapat menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi dan tempat. Tentunya penonjolan diri yang dilakukan tidak bertahap melampau hingga menjadikan orang lain tidak begitu senang dengan kehadiran kita. Biarlah kita lakukan sesuatu itu secara sederhana dan bersesuaian dengan fokas kita dalam satu-satu perkara dan ketika.

Terdapat pelbagai cara bagi membolehkan kita menonjol diri. Dalam setiap aktiviti yang kita terlibat, pastikan penyertaan atau penglibatan kita adalah secara maksimum. Setiap acara yang ada perlu kita sertai pada waktunya. Jangan sesekali lewat hingga boleh menyusahkan orang lain. Melibatkan diri secara total dalam setiap acara akan menyebabkan diri kita tertonjol. Bukan mudah bagi individu untuk berbuat demikian.

Di samping itu, tunjukkan komitmen kita dalam setiap aktiviti yang dijalankan.  Patuhilah pada setiap arahan yang diberikan tanpa ada sebarang bantahan dalam segi apa sekalipun. Komitmen yang kita tunjukkan akan menyenangkan orang lain untuk terus berhubung dengan kita. Secara langsung diri kita akan tertonjol, berbanding dengan orang lain.

Konsep komunikasi berkesan akan mewujudkan situasi, ”kehadiran kita sangat dinanti-nantikan, ketiadaan kita akan membawa kesuraman.” Dalam keadaan kita telah menjadi orang utama, berhati-hatilah dengan penggunaan ayat atau perkataan yang kita keluarkan.  Hormatilah setiap individu yang ada bersama kita. Jadikan mereka diutamakan. Hal yang demikian boleh ditunjukkan dengan cara menjadikan kehadiran mereka juga sangat diperlukan sama seperti kehadiran kita. Perasaan rendah diri yang kita tunjukkan, pastinya akan menyemarakkan lagi kehebatan kita. Sekian.

 
Comments Off on 7.2 HEBATKAN DIRI III

Posted by on 07/08/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: