RSS

7.1 HEBATKAN DIRI II

05 Aug

Bahagian Kedua

           Cara kita berhubung atau bergaul dengan orang lain juga akan melambangkan kehebatan diri kita. Hubungan tersebut tentunya diasaskan pada cara komunikasi yang kita bina dengan pendengar yang lain. Dalam hal ini, perkara yang paling penting, biarlah percakapan kita itu jelas, tepat dan mudah difahami. Hal yang demikian akan menarik minat orang lain atau pendengar lain untuk mengikuti perbualan kita.

Saya berpendapat, jangan mudah kita berbual dengan orang lain tanpa memahami situasi perbualan ketika itu. Kita juga perlu memahami dengan siapa kita akan berbual. Oleh itu, lebih baik jika dengar dulu sebelum kita bercakap. Itulah antara langkah-langkah yang sebaik-baiknya yang pernah saya lakukan apabila bergaul dan berkomunikasi dengan orang lain.

Dalam konteks SC, Jurulatih memainkan peranan yang penting sebagai barisan depan untuk menyebarkan ilmu persilatan yang dipusakai dari Ustaz  Hanafi. Seiring dengan itu, mereka juga berperanan sebagai penghubung dalam hubungan antara ahli-ahli SC yang dididiknya dengan guru utama yang ada. Peranan yang sedemikian tentunya memerlukan bentuk hubungan yang berkesan agar anak didiknya akan sentiasa menghormati para Jurulatih.

Oleh itu, para Jurulatih dalam SC perlu didedahkan dengan ilmu pengetahuan tentang kemahiran berkomunikasi secara berkesan. Hal yang demikian akan dapat membantu para Jurulatih untuk memainkan peranan bagi menarik sokongan pada anak didiknya pada adat dan adab yang sedia ada dalam persilatan SC. Secara langsung, peranan mereka itu akan dapat memberi impak baik yang maksimum pada perkembangan SC. Mungkin dalam perbincangan saya berikutnya akan dapat membantu para Jurulatih untuk mewujudkan komunikasi berkesan dengan para penuntutnya.

Bagi mewujudkan komunikasi yang berkesan, langkah pertama yang harus dilakukan ialah wujudkan situasi yang membolehkan orang lain menyenangi atau menerima kehadiran kita. Hal yang demikian membawa maksud kita perlu mewujudkan situasi yang menyebabkan para pendengar mempercayai diri kita sebagai pemberi maklumat yang betul atau isi percakapan kita dianggap berguna. Mungkin jawatan yang kita sandang akan banyak mempengaruhi faktor kepercayaan tersebut. Lebih-lebih lagi jika kita berjawatan tinggi dalam satu-satu organisasi.

Untuk mendapatkan kepercayaan itulah, para Jurulatih perlu meluaskan pengalaman dan meningkatkan ilmu, agar pengajaran mereka lebih berkesan. Saya selalu menyarankan pada mereka supaya tidak bersifat ego dalam mencari ilmu pengetahuan. Bergaullah dengan orang-orang lama yang berkemahiran. Ilmu yang diberi boleh dijadikan sempadan atau sebagai panduan. Jangan cepat menolak pengetahuan tanpa disertai dengan pemikiran yang seimbang dan pemikiran yang terbuka.

Jika orang lain menerima kehadiran kita dan mempercayai isi maklumat yang kita ingin sampaikan maka secara langsung mereka akan memberi tumpuan pada percakapan kita. Hal yang demikian tentunya akan memudahkan kelancaran penyampaian. Kita sendiri akan terus berasa yakin dengan perbualan yang kita lakukan.

Persoalannya ialah bagaimana kita boleh mempastikan  kehadiran kita dalam kalangan mereka adalah sangat menyenangkan.  Kita tentunya tidak mahu melihat kehadiran kita sebagai menyakitkan para pengikut atau anak didik kita sendiri. Dalam hal ini, saya sarankan agar kita menggunakan  pelbagai strategi untuk mencapai maksud yang kehadiran kita benar-benar dihargai oleh mereka.

Kita perlu berhati-hati dengan isi perbualan kita. Mesej komunikasi yang kita lakukan perlulah ada kebenaran dalam konteks yang tertentu. Kalau boleh, nyatakan data-data yang berkaitan atau bahan rujukan yang menjadi punca percakapan kita. Namun begitu, setiap tajuk perbualan perlu dirujuk pada situasi tempat kita berada. Tentunya dalam majlis berkhatan atau perkahwinan, soal-soal yang menyentuh tajuk-tajuk berat seperti masalah negara, dasar-dasar negara yang berkaitan dengan reformasi ekonomi dan pendidikan, tidak perlu dibincangkan.

Begitu juga dalam kelas-kelas latihan silat. Soal-soal yang berkaitan dengan masalah negara yang berat-berat seperti isu-isu pendidikan atau ekonomi tentunya tidak berapa sesuai dibincangkan dalam kalangan penuntut silat kita. Beri peluang kepada mereka memikirkan masalah penyesuaian diri mereka dengan ilmu persilatan yang disampaikan. Tentunya, hal-hal yang berkaitan dengan ilmu persilatan akan lebih memberi makna pada mereka dalam konteks mereka sendiri sedang berusaha menambahkan ilmu persilatan.

Oleh itu dalam majlis bukan silat yang bersantai, berbuallah tentang tajuk-tajuk yang tidak memerlukan perbahasan atau perbincangan. Tajuk-tajuk perbualan tentang jenis-jenis masakan, buah-buahan tempatan dan sebagainya boleh dilakukan. Hal yang demikian akan menyebabklan perbualan kita mudah diterima oleh pendengar yang lain dalam konteks majlis yang bersantai.

Walaupun kita bebas memilih tajuk-tajuk perbualan, pastikan bahawa perbualan kita tersebut tidak kebudak-budakan. Kandungan mesej hendaklah ada makna. Hal yang demikian kerana makna dalam perbualan kita itu akan mempengaruhi pendengar untuk terus menerus mendengar akan apa yang kita bualkan.

Kita mungkin ada pengalaman bersama rakan-rakan yang suka membuat lawak. Kadang kala lawak tersebut adalah berbentuk kebudak-budakan dan kebodoh-bodohan. Gelaknya sering kali melebihi senyuman kita. Ketika dia bercakap seriuspun, orang lain tidak akan memberi kepercayai atau memegang kata-katanya sebagai sandaran. Oleh itu, jika kita inginkan bahan bualan kita memberi makna kepada orang lain, pastikan kita serius dengan cara penyampaian kita. Jangan sesekali menjadikan diri kita umpama seorang badut sarkis yang bertaraf pelawak dan penghibur.

Perkara yang ingin kita sampaikan jangan mengelirukan pendengar yang lain. Kalau mereka menyuruh kita mengulangi balik apa yang kita cakapkan, bermakna penyampaian kita tidak jelas. Dalam hal ini, penggunaan bahasa yang mudah dan penggunaan simbol-simbol tertentu akan banyak mempengaruhi pendengar untuk memahami akan apa yang kita ingin sampaikan.

Dalam SC, perhatian pesilat bukan setakat tertumpu pada percakapan Jurulatih, malah perbuatan mereka juga akan diambil kira. Perbuatan akan menguatkan percakapan. Oleh itu setiap perkataan yang kita sampaikan perlu diterjemahkan melalui perbuatan kita, memek muka atau gerak-gerak tangan bagi menguatkan makna perkataan yang kita keluarkan.

Selain itu, kita juga perlu memikirkan tentang cara-cara menyebar maklumat yang ada. Kaedah penyebaran maklumat boleh berlaku dalam beberapa saluran yang dipilih. Pemilihan kaedah tersebut perlu  disesuaikan dengan tujuan penyampaian sesuatu maklumat. Dalam hal ini, pertimbangan juga harus diberi  pada kumpulan sasar dan saiz.

Bersambung.

 

 
Comments Off on 7.1 HEBATKAN DIRI II

Posted by on 05/08/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.