RSS

7.0 HEBATKAN DIRI I

01 Aug

Bahagian Pertama

Orang yang pandai atau bijak mengurus diri adalah juga akan menjadi orang yang hebat. Dalam konteks organisasi, kehebatan seseorang pastinya dihubungkan dengan budaya kerja yang cemerlang. Budaya kerja ini adalah merupakan satu proses hasil pemupukan pelakuan yang dilakukan dari masa ke masa bagi mencapai kesempurnaan kerja. Semuanya bergantung erat pada sikap. Saya telah menyentuh tentang soal sikap dalam tulisan yang terdahulu.

Orang yang mengamalkan budaya kerja cemerlang selalunya mengamalkan kerja-kerja cemerlang secara berterusan dan secara bersungguh-sungguh. Mereka sentiasa mencari kesempurnaan dengan mengamalkan nilai dan etika yang ditetapkan. Mereka juga sentiasa suka akan kerja atau tanggungjawab yang dilaksanakan itu. Kerja-kerja yang dihasilkan merupakan satu bentuk kemanisan pada diri mereka sendiri. Hal yang demikian tentulah akan memberi kepuasan kerana penghasilan kerja semestinya hebat dan luar dari kebiasaan, terbaik dan berkualiti.

Keyakinan mereka diri adalah tinggi. Hal yang demikian menjadikan hasil kerja adalah bermutu tinggi. Sifat mereka yang demikian akan menyenangkan pelbagai pihak terutamanya kepimpinan tertinggi. Fikiran mereka sentiasa positif. Kerja yang seberat mana sekalipun, akan dipikul dengan penuh kerelaan dan dedikasi tanpa ada sebarang rintihan, rungutan atau bebalan.

Kita perlu akui betapa kehebatan diri adalah merupakan sesuatu yang boleh diusahakan. Kehebatan bukannya lahir semula jadi dengan kelahiran kita. Kehebatan boleh dipupuk dari masa ke masa. Dalam proses pemupukan kehebatan dalam diri setiap individu, elakkan diri dari terperangkap dengan perangkap minda atau helah diri kita sendiri.

Kita tidak perlu bersifat membela diri dan selalu berdalih apabila timbul sesuatu isu.   Kesilapan yang dilakukan, perlu diterima dan bertanggungjawab padanya. Tidaklah perlu bagi kita menyalahkan orang lain pada kelemahan yang berlaku kerana hal yang demikian menunjukkan sifat keakuan kita yang tinggi. Orang yang bersifat demikian selalunya suka memandang rendah pada diri orang lain.

Kesilapan yang kita lakukan perlu kita akui dan perbetulkan supaya tidak berulang pada masa depan. Sifat memohon maaf adalah merupakan tindakan yang baik dan perlu diamalkan. Kesalahan yang berlaku anggaplah sebagai sesuatu yang boleh dipelajari bagi mempastikan hal yang sama tidak berulang di masa-masa depan. Kita belajar daripada kesilapan. Oleh itu, tidak perlu bagi kita mempertahankan sebarang kesilapan yang telah kita lakukan. Akui sahaja dan perbaiki kesalahan tersebut.

Kelemahan yang kita hadapi tidak perlu menuding jari pada orang lain. Menyalahkan orang lain atas hal yang berlaku adalah merupakan satu jalan keluar yang tidak disukai oleh orang lain. Itu sebabnya saya selalu tekankan tentang makna konsep ’tanggungjawab’. Tanggung bermakna tugas atau amanah yang diberi pada kita. Manakala perkataan jawab bermakna, bila orang tanya maka jawab sahaja tanpa merungut atau mempersoalkan hak orang lain untuk bertanya.

Orang yang hebat tidak mudah menyerah kalah dalam satu-satu program atau matlamat yang kurang berjaya mencapai sasarannya. Mereka akan terus berusaha dari masa ke masa tanpa mengenal erti jemu atau berputus asa bagi mempastikan apa yang dirancang akan tetap menemui kejayaan. Pastinya, perancangan yang dibuat adalah hasil daripada perancangan yang hebat dan kemas. Orang-orang ini selalunya sanggup menghadapi risiko dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Kelemahan atau kegagalan yang menimpanya akan dianggap sebagai satu cabaran. Tidak timbul soal menyesal atau sebarang bentuk kekesalan dalam jiwa mereka ekoran kegagalan program yang telah dijalankan tersebut. Sebaliknya, mereka akan berusaha membaiki sebarang kelemahan untuk program seterusnya.

Orang yang hebat sentiasa berfokas dalam sebarang usaha yang dilakukan. Mereka akan cuba sedaya upaya untuk menjauhkan diri daripada kumpulan-kumpulan yang lebih banyak menghabiskan masa membuat komen pada peribadi orang lain. Saya selalu menegaskan betapa orang yang berfikiran kecil, hanya mampu membincangkan isu-isu remeh temeh tentang peribadi atau perkara yang dibangkitkan. Manakala orang yang berjiwa besar akan menumpukan idea-idea besar di sebalik sesutu program yang dijalankan.

Orang yang tidak melibatkan diri dengan golongan berfikiran kecil akan dapat menjauhkan diri daripada terjebak dengan pelakuan-pelakuan yang nagetif. Menyentuh peribadi orang lain biasanya memungkinkan kita menjadi sebagai pembahas atau orang yang suka menambah atau menyebarkan fitnah. Maka jadilah diri kita umpama golongan penipu yang memperkatakan sesuatu hanya berdasarkan perasaan. Pelakuan yang berdasarkan perasaan lebih banyak dipengaruhi oleh hawa nafsu. Akal sering kali diketepikan dalam tindak tanduk pelakuan seharian. Maka jadilah mereka golongan yang sangat kurang disenangi oleh orang lain. Hal yang demikian akan mengurangkan keupayaan mereka untuk menghebatkan diri mereka sendiri.

Orang yang hebat tidak merungut atau merintih akan segala tugas yang dipertanggungjawabkan pada diri mereka. Setiap arahan akan dipikul dengan tenang dan dalam keadaan bersedia menerima untuk menjalankan tugas. Orang yang merintih hanya akan membunuh kehebatan diri sendiri. Oleh itu, mereka yang ingin menghebatkan diri tidak perlu berasa bimbang akan segala beban tugas yang perlu dipikul. Yakinkan pada kebolehan diri untuk memikul sebarang bentuk tanggungjawab.

Segala yang dilakukan perlu ikhlas, tanpa mengharapkan sebarang pulangan atau ganjaran. Ayat-ayat yang keluar dari mulut pada setiap arahan akan didahului dengan perkataan ”yes sir.” Semuanya akan dilakukan dengan penuh keyakinan dan ketegasan. Ayat-ayat negatif seperti ”saya akan cuba.” akan sentiasa dielakkan dalam penggunaan ayat. Kalau asyik mencuba maka mana ada tumpuan serius. Maka bergelarlah individu itu sebagai ” Si Mamat tukang cuba.” Asyik mencuba tanpa bersungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu perkara tersebut dengan berkesan.

Menghebatkan diri juga boleh diukur secara membuat bandingan. Diri kita boleh dianggap hebat jika dibandingkan dengan kehebatan orang lain. Oleh itu, galakkan diri kita bertukar-tukar pendapat atau mendapatkan pengalaman daripada orang lain. Jika perlu, kita boleh pergi ke tempat-tempat lain yang berkenaan untuk maksud penandaarasan.

Cuma, yang pentingnya ketika berada di tempat orang, kita tidak perlu bersifat sinis dengan mengatakan tidak ada pembaharuan atau sesuatu yang menunjukkan kita memandang rendah pada tempat yang kita lawati. Hormatilah kehebatan orang lain. Yang baik kita tiru dan jadikan teladan. Manakala yang tidak baik jadikan pengajaran dan sempadan. Dengan cara yang demikian kita akan dapat menambahkan kehebatan diri kita dari masa ke masa.

Bagi menghebatkan lagi diri kita, dua aspek penting yang perlu diambil berat ialah cara kita berkomunikasi dan cara kita ‘menjual diri’ atau menonjolkan diri dalam sesuatu organisasi. Ikuti sambungannya.

 
Comments Off on 7.0 HEBATKAN DIRI I

Posted by on 01/08/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: