RSS

6.4 PENGURUSAN DIRI V

25 Jul

Bahagian Kelima

Mengurus diri memerlukan kita sentiasa berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara. Maknanya, kita perlu sentiasa berada dalam pemikiran sedar. Perkara itu meliputi pada diri sendiri atau melibatkan orang lain. Orang yang berfikir dahulu sebelum membuat sesuatu perkara adalah merupakan orang yang sentiasa berada dalam keadaan sedar. Orang-orang ini selalunya berada dalam kehebatan dan dikagumi oleh orang-orang lain. Dia tahu akan apa yang dilakukannya.

Oleh itu, jagalah diri kita apabila berhubung dengan orang lain. Ketika berjanji, tepati janji berdasarkan masa yang telah ditentukan. Saya selalu tegaskan dalam tulisan yang terdahulu. Orang yang hebat sentiasa mendahului masa. Orang biasa sering kali menepati masa. Manakala orang yang ’anu’ kerap kali melewati masa. Oleh itu semestinya kita sentiasa tepat waktu dalam urusan yang telah ditentukan.

Untuk sentiasa mendahului masa, diri kita perlu diurus dengan sempurna. Ketika menunaikan janji atau menetapkan masa, pastikan kita berkeupayaan berbuat demikian. Jika kita yakin dengan janji yang dikatakan, uruskan diri kita supaya dapat menepatinya. Seperti kata seni kata lagu,”Jangan berbuat janji jika janji tidak ditepati.”

Dalam kefahaman SC, menunaikan janji adalah merupakan salah satu perkara yang sangat ditekankan Ustaz. Saya pernah menulis tentang janji yang gagal ditepati oleh seorang ahli pada Ustaz. Kegagalan menunaikan janji tersebut, menyebabkan Ustaz berasa tidak senang. Selepas peristiwa tersebut, saya tak pernah menemuinya lagi.

Selain daripada itu, ketika berhubung dengan orang lain, urus diri kita dengan sebaik-baiknya. Terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Salah satunya, ketika bersalam, pastikan mata bertentang mata. Tenung muka atau mata orang yang kita salam.

Ingat pepatah kita yang mengatakan, ’Dari mata turun ke hati.” Tenungan mata akan menyebabkan hati seseorang itu berasa lembut atau tenang melihat diri kita. Lebih-lebih lagi jika peranan kita berupa pemimpin organisasi. Termasuklah di kelas-kelas latihan yang melibatkan para jurulatih. Kalau Jurulatih bersalam tanpa memandang muka anak didiknya, menampakkan sifat ego atau tidak menerima kewujudan anak didiknya sendiri.

Nampaknya, ketika ini pelakuan merenung mata mula kurang diberi perhatian. Kita boleh nampak betapa ada dalam kalangan pemberi salam yang menghulurkan tangan tanpa memandang muka kita. Sekali imbas menampakkan sifat ego atau bangga diri dalam kalangan orang-orang tersebut.

Orang sekarang agaknya kurang menggunakan mata. Benda yang tak nampak pun dengan segera membuat kesimpulan sendiri. Pada hal, Tuhan menganugerahkan kita dua mata dan dua telinga. Kalau sesuatu itu tidak kita lihat maka pertimbangan telinga biarlah adil dan tepat. Kalau hal yang demikian diambil berat, tentulah pepecahan tidak terjadi dek kerana mempercayai segera pelakuan kepemimpinan kita.

Seperti yang dikata, kalau mata tidak dapat digunakan maka gunakan telinga dengan bijaksana bagi menentukan kesahihan. Hakim yang mengadili kes En Mat telah terpaksa menggunakan telinga bagi menentukan kesahan. Tapi orang arif sahaja yang boleh menggunakan telinga dengan betul. Keputusan telah diberi. Walau bagaimanapun masih terdapat mereka yang tidak melihat tapi masih meletakkan keputusan berdasarkan telinga capang, atau telinga cabang atau telinga labang.

Memang menjadi lumrah ketika ini yang sering mengetepikan mata. Hinggakan cenderamata pun diganti dengan cenderahati. Semuanya ditafsir mengikut hati tanpa merujuk pada penglihatan untuk membuat ketentuan atau kesimpulan. Pada hal, pepatah ada mengatakan,”Dari mata turun ke hati.”

Selain daripada itu, pengurusan diri biarlah teratur. Nampakkan kekemasan pada cara berpakaian. Pada orang-orang lelaki, jaga rambut dan jaga pembesaran perut. Biasanya, rambut dan perut adalah lambang kesegakan orang lelaki.

Dalam pergaulan, nampakkan diri kita sentiasa bertenaga. Ceriakan muka dan tekal bercakap secara optimis dan sentiasa memberi dorongan kepada para pendengar. Kalau mengidap penyakit, jangan menampakkan muka kerut atau sifat-sifat yang melambangkan pesimis. Lebih baik duduk di rumah jika sakit daripada bergaul dengan orang lain. Kalau nak bergaul juga, tunjukkan kehebatan dan kesegaran.

Orang akan berasa senang dengan kita jika kita sentiasa membimbing dan memberi nasihat kepada rakan-rakan kita. Jika ada sebarang masalah yang dihadapi oleh rakan-rakan, cubalah beri beberapa altenatif penyelesaian  supaya rakan kita dapat membuat penyelesaian.

Satu perkara lagi yang menyebabkan orang akan menyenangi kita ialah jika kita sentiasa memelihara masa, bukannya mengurus masa. Saya selalu tegaskan betapa masa itu tidak boleh diurus. Melainkan kita sendiri mengurus diri kita supaya dapat disesuaikan dengan peruntukan masa yang ada.

Usaha-usaha untuk menonjolkan diri kita adalah merupakan salah satu usaha yang sangat perlu dilakukan. Hal yang demikian akan membolehkan ketua  kita dapat menilai kualiti yang ada pada diri kita.

Kita perlu mempertingkatkan kualiti diri kita dari masa ke masa. Jadikanlah diri kita sebagai seorang yang berwibawa. Orang yang berwibawa berupaya mempertingkatkan kualiti diri sendiri di samping memberi sumbangan meningkatkan kualiti diri orang lain. Hal yang demikian akan membolehkan diri kita boleh diharap atau dipercayai. Kalau diibaratkan air, orang yang hebat adalah umpama air mutlak yang suci lagi menyucikan. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan konsep air mustakmal atau air mutanajjis.

Selain daripada itu, tunjukkan diri kita supaya sentiasa bersungguh dan berminat dengan sesuatu perkara. Elakkan daripada menggunakan ayat-ayat atau perkataan-perkataan yang berbentuk kuman nagetif seperti tidak boleh, mengapa pula saya,  saya tak tahu, tak mahu, susahnya, saya tiada masa, malaslah atau mesti tak elok atau lantaklah.

Oleh itu, jangan lupa menjadikan diri kita untuk terus berusaha dan menimba pengalaman dari pelbagai sudut yang ada. Bergaullah dengan orang-orang yang hebat. Pergaulan yang sedemikian akan memungkinkan kita menerima tempias akan kehebatannya. Saya telah menyentuh tentang hal tersebut dalam tulisan-tulisan yang lalu.

Dalam dunia sekarang, banyak sumber ilmu yang boleh kita manfaatkan. Ilmu pengetahuan dan pengalaman yang luas akan menjadikan diri kita sentiasa dihargai dan dipandang tinggi oleh orang lain. Oleh itu, berusahalah mendapatkan ilmu dan pengalaman sebanyaknya dengan pelbagai usaha dan pelbagai penglibatan. Sekian.

 
Comments Off on 6.4 PENGURUSAN DIRI V

Posted by on 25/07/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: