RSS

6.3 PENGURUSAN DIRI IV

18 Jul

Bahagian Keempat

Pengurusan diri ada kaitan dengan pengurusan masa. Saya lebih suka menggunakan istilah pengurusan diri berbanding dengan pengurusan masa. Namun begitu, ramai penulis atau penceramah yang lebih gemar menggunakan istilah pengurusan masa, berbanding dengan istilah pengurusan diri.

Pada pandangan saya, secara praktikal eloklah digunakan ungkapan ”pengurusan diri”. Masa yang diuntukkan Tuhan adalah selama dua puluh empat jam dalam sehari dan semalam. Masa adalah tetap. Tak payah diuruspun, masa tetap berjalan dan berlalu. Hanya kita yang yang perlu menyesuaikan diri kita sendiri dengan masa yang ada. Jika kita cekap dan kemas melayan diri, maka mudahlah kita menggunakan masa yang dianugerahi Tuhan. Diri akan menjadi hebat dan disenangi oleh orang lain.

Orang yang pandai menyesuaikan diri dengan masa, akan dapat menggunakan masa dengan sebaik-baiknya. Manakala orang yang cuba menyesuaikan masa dengan dirinya, sering mengecewakan orang lain. Apatah lagi jika diri seseorang itu tidak berdiplin, bergerak sambil lewa ikut IT-nya sendiri. Orang sebegini, jika berjanji biasanya akan gagal menepatinya.

Pengurusan diri adalah bermakna  cara kita bawa diri. Diri itu disesuaikan dengan masa dan keadaan. Hal yang demikian akan menggambarkan perwatakan kita. Pada kebiasaannya, orang lain akan mentafsir akan sifat yang kita tunjukkan pada  mereka. Tafsiran itu akan melebelkan atau menggredkan diri kita sama ada berada sebagai seorang yang hebat atau sebaliknya.

Mengurus diri meliputi banyak aspek sama ada cara berpakaian, tutur kata, cara berkomunikasi, cara bergaul dan sebagainya. Oleh itu, kesemua aspek tersebut perlu dilakukan dalam pemikiran sedar. Maknanya, berfikirlah sebelum melakukan sesuatu perkara. Hal yang demikian akan menjamin kewibawaan kita sebagai seorang individu yang boleh dihormati sepanjang masa.

Satu perkara yang amat penting dalam aspek pengurusan diri, ketika kita bercakap dengan orang lain, maka bercakaplah dengan penuh yakin. Tunjukkan keyakinan kita ketika bercakap. Keyakinan boleh ditunjukkan jika kita tahu akan apa yang dicakapkan. Ilmu dan pengalaman kita tentang isi percakapan yang hendak diucapkan perlu banyak. Sebaik-baiknya, bercakaplah jika kita berkebolehan untuk mengeluarkan idea pada tajuk yang berkenaan. Kalau dirasakan kurang yakin, lebih baik mendengar dahulu sebelum bersegera mengeluarkan apa-apa pandangan.

Biasanya, kita kerap kali cuba bercakap secara berusaha menyenangi si pendengar. Hal yang demikian ada baik dan ada keburukannya. Namun begitu kita harus ingat, jangan sesekali membuat lawak yang kurang sesuai dengan maksud menyenangi hati orang lain. Walaupun mungkin orang lain akan ketawa, hati orang itu tetap akan berkata-kata jika lawak berkenaan tidak disukainya.

Di samping itu kita perlu berhati-hati dengan tutur kata yang kita ucapkan. Janganlah kita menyentuh perasaan orang lain atau cuba melepaskan geram dengan menyentuh kewibawaan orang lain. Hal yang demikian akan menyebabkan pendengar kita akan membuat kesimpulan negatif pada diri kita.

Ketika orang lain mengeluarkan pendapat, seelok-eloknya jangan sesekali menyampuk. Dengar akan apa yang cuba disampaikan. Jika perkara yang ingin dicakapkan itu kurang berkenaan dengan kita, lebih baik kita mendengar tanpa perlu berbuat apa-apa komen mengenainya. Hormati pendapat orang lain secara lebih banyak mendengar daripada menyampuk. Secara langsung kita tidak akan terlibat dengan isu yang mungkin ditimbulkan.

Dalam konteks pengurusan diri, saya mempunyai tanggapan yang tertentu. Pengurusan diri juga erat kaitannya dengan cara kita menampilkan diri terutamanya dalam satu-satu majlis. Terdapat beberapa saranan  untuk menyakinkan diri kita dalam penampilan. Saya bincangkan dalam tulisan ini berdasarkan fahaman dan aplikasi yang pernah saya lakukan.

1.        Berpakaianlah seperti yang kita suka atau kita selesa terutamanya dari segi pilihan warna dan bentuk pakaiannya. Namun begitu pakaian tersebut perlu disesuaikan dengan etika berpakaian dalam majlis-majlis tertentu. Untuk kekemasan diri, berdandanlah dengan rapi dan sesuai dengan tempatnya. Rambut biar kemas bersikat. Kalau rambut panjang hingga ke bahu, ramai yang mengikatnya. Pada kaum wanita, gincu yang digunakan biarlah sesuai dengan diri atau kulit.

Jangan jadikan diri kita umpama papan iklan. Maksudnya kita berpakaian seolah-olah membuat promosi. Bila ada yang bertanya, mulalah menerangkan asal usul pakaian tersebut dibeli atau ditempah.  Hal yang demikian akan menyebabkan perbualan hanya akan berfokas pada diri kita sendiri. Tentunya situasi itu tidak akan menyenangkan semua orang yang mendengar perbualan kita.

2.        Kita perlu yakini diri sendiri. Jangan berfikir perkara yang bukan-bukan ketika menghadiri sebarang majlis. Fikiran kita perlu berfokas pada program yang diadakan. Sentiasa bersikap positif agar perbualan kita juga akan sentiasa menunjukkan sikap kita yang positif.

3.       Ketika berbual, sedaya upaya kita perlu bersikap tenang. Jangan kelam kabut sama ada dari segi percakapan atau tindakan. Sebaik-baiknya kita perlu bersikap seadanya atau sewajarnya atas jawatan yang kita sandang. Jika memerlukan pedebatan, maka berdebatlah secara kehormat. Semua pendapat adalah betul. Oleh itu, janganlah kita cuba menegaskan pendapat kita sahaja yang betul tanpa ada sifat bertolak ansur dari segi pendapat.

4.       Dalam perbualan harian kita dengan orang lain, elakkan berbicara tentang ’bintang-bintang’ atau zodiak. Hal yang demikian tentunya tidak sesuai dengan kepercayaan agama kita. Perbicaraan mengenainya akan menyebabkan perbandingan. Sudah tentu perbualan akan tidak menyenangkan pihak pendengar.  Wang juga jangan dijadikan topik perbualan. Tidak kiralah apa saja yang berkaitan dengan wang, sama ada simpanan, perniagaan atau pelbagai lagi hal yang berkaitan dengan wang.

Ketika berbual juga, elakkan diri daripada terlibat dengan bualan-bualan gossip. Saya selalu sarankan betapa perlunya kita melihat dan mendengar berkali-kali, daripada membuat kesimpulan sekali. Hal yang demikian erat kaitannya dengan pelambangan angugerah Tuhan dua mata dan dua telinga, berbanding dengan satu mulut yang kita ada.

5.       Hindari kata-kata yang kasar ketika berbual pada sesuatu yang dianggap serius atau memerlukan perhatian perhatian. Begitu juga dengan perbuatan bercakap yang melibatkan humor yang lucah. Bukan semua pendengar suka akan unsur-unsur percakapan lucah. Lihat dulu siapa pendengarnya dan dalam situasi apa sebelum melakukan perbuatan berlisan lucah atau berlisan humor demikian.

6.       Orang lain akan memandang tinggi pada kita jika kita tidak mudah terpengaruh dengan cakap-cakap orang lain. Hadapilah sesuatu perkara itu dengan tenang. Jangan mengambil tindakan terburu-buru. Katakan ’tidak’ kalau sememangnya tidak. Percakapan kita melambangkan apa yang sebenarnya berada di hati. Itulah cakap benar namanya.

7.       Ketika bercakap, sebaik-baiknya jangan timbulkan sebarang isu. Isu boleh menyebabkan orang tercengang atau terperanjat atau terpanpan. Hal yang demikian akan membantutkan perbualan kita.

8.     Dalam sebarang majlis yang kita hadiri, janganlah kita bersifat sombong atau bongkak pada orang lain. Rendah diri pada tempatnya. Hal yang demikian tidak merugikan diri sendiri. Apabila kita bergaul dengan mereka yang suka bersifat sombong, maka berhati-hatilah. Jangan sesekali masuk campur akan percakapan mereka yang berlagak sombong atau bongkak tersebut. Lebih baik jangan langsung mengia atau menidakkan pendapatnya. Diam sahaja dan ikuti perkembangan percakapannya jika dirasakan perlu. Kalau difikirkan kehadiran kita tidak diperlukan lagi, bersegeralah berundur dari situ. Jangan berfikir panjang lagi.

Ketika keluar majlis kerana menunaikan hajat atau satu-satu sebab yang tertentu, keluarlah seorang. Tak perlu mengajak teman atau bertemankan sesiapa. Perbuatan yang sedemikian adalah menghormati majlis yang kita hadiri. Ketika berbual dengan orang lain, minta izin mereka terlebih dahulu. Ketika berjalan,pandanglah ke hadapan. Mata jangan melilau  kiri kanan. Selamba sahaja. Hal yang demikian melambangkan keyakinan yang wujud pada diri kita.

9.        Ada dalam  kalangan kita yang suka berpuasa sunat pada hari-hari tertentu. Kalau majlis makan-makan, cuba elakkan daripada hadir. Kalau perlu hadir juga, sesuaikan diri dengan tuntutan majlis tersebut. Kita tidak mahu menganggu perasaan orang lain.

Begitu juga dengan mereka yang  melakukan diet. Tidak perlu menonjoklkan diri untuk menerangkan tindakan kita tersebut. Sesuaikan diri dengan makanan yang terhidang. Jangan merintih jika makanan tersebut tidak sesuai dengan kita.

Oleh itu, ketika kita keluar rumah ke majlis-majlis tertentu, eloklah membuat  persediaan rapi sama ada dari segi pakaian dan  maklumat tentang majlis berkenaan. Kita perlu ingat bahawa di mana kita berada, sudah tentu ada si tukang nilai. Lebih-lebih lagi jika kita ada jawatan tertentu yang utama dalam organisasi yang kita berada. Penilaian negatif yang mereka peroleh, tentunya akan disebarkan ke merata-rata tempat. Hal yang demikian tentunya akan mempengaruhi pandangan orang lain pada diri kita.

Bersambung lagi.

 
Comments Off on 6.3 PENGURUSAN DIRI IV

Posted by on 18/07/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: