RSS

6.2 PENGURUSAN DIRI III

14 Jul

Bahagian Ketiga

Saya berpendapat bahawa jika seseorang ahli itu ingin menjadikan dirinya hebat dan memastikan kewujudannya bermakna pada organisasi atau persatuan yang diceburinya, maka dia perlu memahami akan dirinya sendiri. Hal yang demikian kerana akhirnya, dirinya perlu disesuaikan dengan kehendak organisasi atau persatuan yang dia terlibat. Jika gagal berbuat demikian, sumbangannya pada persatuan tidak akan memberi makna yang hebat.

Salah satu aspek yang penting dan ingin saya bincangkan dalam tulisan ini adalah berkaitan dengan pengurusan  diri individu berkenaan. Sebagai pemimpin, kalau diri sendiri boleh diurus maka secara langsung organisasi yang dipimpinnya boleh bergerak dengan baik dan berkesan.

Kalau dirinya itu adalah sebagai ahli yang dipimpin, maka akan jadilah dirinya sebagai seorang pengikut yang hebat serta sentiasa memberi sumbangan kepada persatuan atau organisasinya. Orang-orang inilah yang selalu dikiaskan umpama lebah yang sentiasa memberikan sumbangan. Bukannya seperti lalat yang hanya akan merosakkan apa saja yang disentuhnya.

Walau bagaimanapun saya yakin, sebelum kita berupaya mengurus diri kita, sikap kita hendaklah betul. Saya berkata demikian kerana  ada kaitannya antara sikap yang ada pada diri kita dengan diri kita sendiri. Sikap adalah meliputi pelbagai segi. Sikap ini meliputi juga  sama ada sikap kita pada pembentukan peribadi diri kita sendiri atau sikap kita apabila melihat sesuatu perkara di depan mata. Hal yang demikian kerana sikap juga adalah cara kita menggunakan pemikiran kita.

Walau bagaimanapun, kita jangan menafikan betapa sikap kita sendiri akan sentiasa dinilai oleh orang lain. Orang lain akan bertindak atau memberi tindakan atas apa yang kita fikir atau apa saja tindakan yang kita lakukan.

Oleh itu, riaksi orang lain pada kita erat juga kaitannya dengan cara kita memindahkan sikap atau mood kita orang tersebut. Jika kita bersikap optimis dan menerima kejayaan orang lain dengan ikhlas dan berlapang dada, secara langsung kita akan memindahkan sikap positif pada orang itu. Yakinlah betapa orang berkenaan juga akan merasainya dan pasti akan  memberi riaksi atau  maklum balas yang baik pada kita.

Ada yang mengatakan betapa sikap kita akan disalurkan melalui aura yang kita miliki. Aura ini akan disampaikan pada orang lain secara automatik melalui gelombang yang tertentu. Hanya orang lain yang akan merasainya atau mentafsir akan diri kita sendiri. Itu sebabnya menurut pakar psikologi, jika kita bersikap membenci pada seseorang, isyarat benci akan dihantar pada orang berkenaan dan orang itu akan merasainya. Kalau orang itu berfaham negatif, sudah tentu orang itu turut membenci akan diri kita.

Begitu juga sebaliknya. Jika  sikap kita pasimis dan hanya  menjangkakan keburukan yang ada pada orang lain, sesungguhnya kita akan memindahkan sikap negatif kita pada orang tersebut. Pastinya orang itu  akan menjauhi diri kita. Hal yang demikian  kerana orang itu turut merasai apa yang kita rasa.

Oleh itu, sebagai pemimpin dalam mana-mana organisasi atau persatuan, berusahalah untuk menguasai pemikiran yang sentiasa bersifat positif. Untuk menguasai pemikiran positif, kita juga perlu tahu akan makna pemikiran negatif. Sesuatu yang bersifat negatif, perlulah diurus dengan baik atau  betul. Carilah dan sebarkan perkara-perkara yang positif sama ada merujuk pada diri individu atau pada penghasilan kerja yang dilakukan oleh ahli-ahli itu sendiri. Walaupun wujud gejala-gejala negatif dalam kalangan ahli, jangan banyak ungkit-mengungkit.  Pilih hasil-hasil yang positif untuk dijadikan tajuk bualan atau tajuk perbincangan yang utama.

Untuk melihat sesuatu itu bersifat positif, maka pemikiran kita perlu sentiasa bersifat positif. Galakkan kemesraan dalam kalangan ahli. Kesannya, kita akan menerima tindakan yang sama daripada individu berkenaan. Oleh itu, lihatlah hanya yang baik sahaja pada seseorang itu. Kalau kita memandang sesuatu itu dari sudut kebaikan maka kebaikanlah yang kita peroleh. Sebaliknya, jika  kita memandang sesuatu itu dari sudut keburukan maka keburukanlah yang kita akan peroleh.

Seperti yang saya jelaskan terdahulu betapa seseorang itu mempunyai pemikiran yang bercampur-campur antara pemikiran negatif dan pemikiran positif. Jangan susah-susah. Pilih sahajalah hanya hasil positif yang ada pada seseorang itu. Dalam keadaan ini, kawallah pemikiran kita supaya sentiasa berada dalam pemikiran yang positif.

Terdapat banyak petua yang diberikan pada kita supaya mempastikan diri kita sentiasa berada dalam pemikiran yang positif. Sebagai pemulaannya, asuhlah diri kita supaya sentiasa melihat sesuatu itu secara positif. Oleh itu, antara petua yang pernah diamalkan ialah elakkan berbual atau  membaca sesuatu yang tidak berharga termasuk cerita-cerita yang bersifat negatif. Di samping itu pastikan diri kita tidak mendengar cerita-cerita atau perkhabaran yang negatif dan juga hal-hal yang berunsur  umpat. Kalau ada yang cuba mengumpat seseorang, lebih baik bersegera meninggalkan tempat berkenaan. Sifat mengumpat adalah asas segala kejahatan. Termasuk akan menjadikan sifat kita menjadi pasif dan negatif.

Ketika kita berbual, saya sering sarankan pada ahli-ahli organisasi yang saya pimpin agar sentiasa bercakap secara positif ’self-talk’. Jangan cepat mengalah atau merintih pada keadaan yang berlaku. Banyak ayat yang melambangkan percakapan yang sedemikian. Misalnya, ketika individu itu akan memulakan ayat percakapan, mulakan dengan ungkapan ”Saya  bersyukur pada Tuhan….”. Ataupun melahirkan sifat kerendahan diri melalui ayat percakapan, ”saya perlu belajar dari sesiapa yang tahu”.

Orang yang sentiasa berfikiran positif tentunya akan sentiasa  mengenal pasti serta menjauhi diri dari ungkapan pembawa ”kuman negatif” yang boleh menjangkiti  dirinya.  Berhati-hati menggunakan perkataan berbentuk negatif seperti, ”tidak boleh, mengapa pula saya, saya tidak tahu, tidak mahu, susahnya, saya tiada masa, bencinya, malaslah, mesti tidak elok” dan banyak lagi ayat yang berbentuk kuman-kuman negatif. Penggunaan perkataan tersebut bermakna kita mengasuh diri kita bersifat negatif dan pasimis dari masa ke masa. Hal yang demikian amat merugikan diri kita jika ingin menjadi orang yang dapat memberi sumbangan pada organisasi yang dihadirinya.

Berdasarkan perbincangan saya, kita boleh membuat kesimpulan

betapa pentingnya diri kita bersifat positif sepanjang masa. Orang yang bersifat positif akan sentiasa berada dalam keadaan tenang. Merekalah golongan yang sentiasa berjaya dalam kerjaya hidupnya atau dalam apa bidang yang diceburinya.

Segala masalah yang dihadapi akan dijadikan sebagai peluang oleh mereka yang berfikiran positif. Fikiran mereka yang memandang kebaikan secara langsung mengasaskan fikiran yang sihat. Perasaan baik sangka akan mendorong kepada komunikasi yang lebih berkesan. Maka, secara langsung akan menjadikan hubungan mereka sesama individu akan lebih subur dan bertambah mesra dari masa ke masa. Bersambung

 
Comments Off on 6.2 PENGURUSAN DIRI III

Posted by on 14/07/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: