RSS

6.1 PENGURUSAN DIRI II

10 Jul

Bahagian Kedua

Kalau kita menganggap diri kita sebagai pendokong SC di peringkat cawangan, sedaya upaya elakkan sebarang bentuk pepecahan dalam kalangan ahli-ahli kita. Hubungan baik sesama ahli, perlu diwujudkan dalam apa keadaan sekali pun. Banyak cara boleh dilakukan. Dalam tulisan terdahulu, saya telah membincangkan tindakan-tindakan yang boleh dilakukan. Pelakuan memberi salam sambil berjabat tangan dan ziarah-menziarahi sesama ahli adalah antara perbuatan yang boleh kita buat.

Salah satu faktor yang kerap mengundang pepecahan ahli, erat kaitannya dengan perasaan tak puas hati yang dibina dalam diri mereka sendiri dari hari ke hari. Oleh itu, sebarang aduan atau rungutan yang ditimbulkan oleh para ahli, perlu diberi perhatian. Sensitiflah pada perasaan mereka. Kekuatan persatuan banyak bergantung pada sokongan dan kerjasama mereka.

Anggaplah segala aduan atau rungutan yang ditimbulkan ahli SC adalah berupa hadiah pengurusan buat kita. Lebih-lebih lagi jika peranan kita  sebagai pengurus persatuan atau sebagai Jurulatih dalam bidang persilatan. Teguran atau rungutan yang ditimbulkan itu akan memudahkan kita membuat pembetulan atau penambahbaikan pada masa-masa yang akan datang. Syarat yang penting, kita perlu membuang perasaan ego yang tinggi. Orang yang berego tinggi selalunya menganggap segala teguran sebagai mencabar kewibawaannya. Maka mereka akan cepat melenting atau cepat melatah. Akhirnya mereka akan membuat tindakan atau membuat keputusan yang melulu hingga merugikan persatuan.

Saya berpendapat bahawa peranan pengadu adalah umpama ’batu kati’ yang akan menentukan pengurusan kita berada dalam landasan yang betul ataupun tidak. Konsep ’batu kati’ boleh dianggap sebagai kayu ukur buat diri kita untuk mengetahui sama ada pengurusan kita betul atau tidak. Oleh itu, janganlah kita  berterusan memberi riaksi yang negatif pada mereka yang suka mengadu. Ajak mereka berbincang bagi membetulkan segala masalah atau persolan yang timbul.

Aduan yang ada dalam kalangan ahli tentunya berkaitan dengan pengurusan persatuan dan proses penyampaian ilmu SC. Namun begitu, biasanya rungutan atau aduan yang ditimbulkan ahli lebih banyak berkaitan ilmu persilatan yang diturunkan oleh Jurulatih. Antara lain aduan yang biasa ditimbulkan termasuklah cara pengajaran yang tidak bermutu, ponteng kelas dan sifat sombong atau angkuh diri dalam kalangan Jurulatih.

Walau bagaimanapun, apabila ada sebarang aduan atau rengetan atau segala bentuk kritikan terhadap kepemimpinan, maka cepat-cepatlah selesaikan situasi yang timbul tersebut. Lebih-lebih lagi hal yang ditimbulkan itu berkaitan dengan Guru Utama atau barisan ketua yang lain.  Jika tidak diselesaikan dengan sempurna, maka jadilah hal tersebut umpama api dalam sekam. Sedikit demi sedikit menyemarakkan perasaan tak puas hati dalam kalangan penuntut.

Saya rasa, dalam konteks organisasi SC, kita  mempunyai pengalaman tentang hal yang berkenaan. Perasaan tak puas hati pada Guru Utama,  sedikit demi sedikit berleluasa dari masa ke masa. Tidak ada usaha-usaha menanganinya secara serius. Tanggungjawab  mententeramkan suasana perasaan tidak puas hati, tidak jelas terletak pada bahu siapa. Maka perasaan tersebut terus menerus berleluasa, tanpa ada usaha sedikitpun untuk membendungnya. Penasihat yang ada Cuma berbincang sesama mereka tanpa ada tindakan mengatasi yang berkesan.

Dalam konsep pengurusan secara mutlak, hal yang demikian adalah merupakan salah satu kesan yang boleh berlaku.  Orang-orang kanan yang ada sekeliling ketua atau pemimpin, tidak berani untuk memberi nasihat sama ada kerana takut atau kecewa kerana semua nasihat dikesampingkan begitu saja. Oleh itu mereka juga akhirnya akan merintih apabila mengenangkan perkembangan perasaan tak puas hati yang berlaku dalam kalangan ahli dari masa ke masa.

Pada pandangan saya, pada kebiasaannya pemimpin yang mengamalkan kepimpinan secara mutlak akan merujuk masalah yang dihadapinya pada mereka yang sangat dipercayainya. Amat jarang sangat ketua atau pemimpin mutlak yang merujuk pada orang sekeliling yang menjadi pesaing pengaruh. Lebih-lebih lagi jika yang bersaing pengaruh itu merupakan orang kanannya yang terlantik kerana peraturan persatuan. Hati ketua mungkin tidak selesa. Tapi nak buat macam mana. Peraturan persatuan telah membenarkannya.

Tulisan ini lebih banyak merujuk pada corak kepemimpinan saya pada organisasi yang saya pimpin. Saya sangat berminat dan sering kali mengamalkan pengurusan secara mutlak. Ada baik dan buruknya pengurusan yang bercorak mutlak. Tapi saya percaya,  yang baik lebih banyak dari yang buruk.

Walau bagaimanapun, dalam pengurusan secara mutlak, peranan orang kepercayaan pemimpin akan memainkan peranan. Mereka akan menjadi penasihat yang berkesan atau punesihat yang memberi padah.  Saya melihat akan peranan orang kanan kepercayaan ketua itu,  memberi kesan pada dua keadaan.

Pertamanya, sama ada mereka akan dapat memberi nasihat sempurna  atau tidak pada ketuanya, banyak bergantung pada tahap pemikirannya. Pemikiran itu tentunya dirujuk sama ada pemikirannya sempit atau kecil atau pemikirannya besar. Orang yang berfikiran sempit dan kecil tentunya hanya akan terhad merujuk pada isu yang timbul tanpa memandang secara keseluruhan kenapa isu itu boleh timbul. Kita boleh menilai sendiri akan keadaan yang berlaku dahulu ketika kita dalam proses berpecah. Saya tidak berminat lagi untuk membincangkan tajuk ini secara terperinci.

Keduanya, orang kanan kepercayaan pemimpin atau ketua itu yang dicurahkan amanah, boleh atau tidak merahsiakan atau dapat menerima sebarang bentuk masalah atau kesulitan yang dihadapi oleh ketuanya. Dalam prinsip pengurusan mutlak, pemimpin atau ketua yang terdesak hanya akan menaruh kepercayaan atau keyakinan pada mereka yang terpilih berdasarkan kriterianya untuk mendapatkan nasihat dan sokongan.

Dalam keadaan itu, jika orang kepercayaan ketua dapat merahsiakan segala masalah ketuanya, maka bertuahlah ketua atau pemimpin berkenaan. Kesetiaan yang diberi tidak berubah hati. Mereka sentiasa bersama ketuanya bagi ’melepaskan’ masalah yang dihadapi oleh ketua atau pemimpin tersebut.

Sebaliknya, jika orang kepercayaan ketua itu berubah hati akibat masalah yang dikemukakan, maka amat malanglah ketua atau pemimpin  tersebut. Orang kepercayaan tersebut boleh menjadi duri dalam daging yang mencuck dari dalam. Kesedapan bagi orang lain, tetapi tidak sedap pada empunya diri. Itulah risiko yang perlu dihadapi oleh mereka yang mengamalkan kepemimpinan secara mutlak.

Berbalik pada situasi ahli-ahli yang mula berasa tidak puas hati pada ketua atau pemimpin utama. Akhirnya akan timbul pelbagai tohmahan dan tafsiran tentang mereka. Dalam konteks organisasi SC, hal yang demikian telah melibatkan ketuanya iaitu Guru Utama. Orang kanan atau orang kuat Guru Utama pun mula menjadi goyah.

Itu sebabnya surat pertuduhan ke atas Guru Utama melarat tentang hal-hal peribadi. Saya ada membacanya. Pertuduhan telah melarat pada hal-hal yang berkaitan dengan sikap, sifat dan wang ringgit. Tidak perlu saya mengulas lanjut dalam penulisan ini. Orang kanan yang berupa orang besi Guru Utama pun menjadi cair. Ramai yang cair. Bila cair tentu tak sesedap yang pekat.

Aduan-aduan atau rungutan terhadap kita, tidak terikat dalam kalangan ahli persatuan atau organisasi kita sahaja. Malah, orang-orang luar yang lain juga kadang kala berminat untuk mencampuri urusan pengurusan kita. Kita boleh layan aduan atau rungutan mereka itu, jika difikirkan bekenaan dan mustahak. Jika tidak berkenaan, lupakan sahaja.

Biasanya bentuk teguran atau aduan yang ditimbulkan oleh bukan ahli, ada juga kaitannya dengan perjalanan persatuan dan persilatan. Namun begitu, bilangan mereka yang membuat aduan itu tentunya tidak banyak. Hanya layan jika difikirkan perlu. Kalau menegur kita tentang penggunaan nama buah silat Melayu yang melibatkan silat mereka dalam sistem pengajaran SC, lihatlah keadaan sama ada perlu menjawabnya ataupun tidak.

Dalam konteks pengurusan organisasi kita sendiri,  semakin sikit aduan atau rungutan yang kita terima maka semakin baiklah pengurusan kita di peringkat persatuan atau di peringkat persilatan. Oleh itu, kita perlu sentiasa muhasabah diri bagi membiasakan yang betul dan membetulkan yang biasa. Hal yang demikian memerlukan diri kita supaya berfikiran terbuka dan mempunyai kemahiran mendengar dengan lebih baik dan lebih tinggi. Kebolehan mendengar akan menyebabkan para pengadu atau perenget berasa puas walaupun hal yang ingin diselesaikan belum lagi menemui hasratnya.

Selain daripada hal-hal yang telah saya bincangkan di atas, bagi menjadikan organisasi kita bertambah mantap,  setiap ahli dalam sesebuah organisasi itu perlu memainkan peranan penting mengikut bidang atau tugasan yang diberi. Hati mesti rela. Pupuklah sifat rela dalam kalangan ahli-ahli kita ketika menjalankan tugas tanpa wujud rengetan dan membebel tanpa tujuan dan hala. Kerelaan akan melicinkan tugasan yang diberi. Hati yang rela akan membolehkan seseorang itu melakukan apa saja tugasan yang diberi. Sebaliknya, jika hati tidak rela, jarum sebatang yang ada di atas lantai amat sukar diambil kerana terasa begitu berat.

Oleh itu, para pemimpin perlu mengekalkan hubungan yang baik antara sesama ahli dalam mana-mana organisasi. Kemesraan akan mewujudkan perpaduan yang kental. Hal yang demikian akan memancu organisasi tersebut menjadi hebat dan berkesan. Bersambung.

 
Comments Off on 6.1 PENGURUSAN DIRI II

Posted by on 10/07/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: