RSS

6.0 PENGURUSAN DIRI I

02 Jul

Bahagian Pertama

Satu ketika lalu, organisasi kita iaitu Persatuan Silat Cekak pernah mendapat pengiktirafan sebagai sebuah organisasi yang baik. Persatuan kita dikatakan mempunyai pengurusan yang mantap bagi membolehkan kita menerima pengiktirafan tersebut. Pada masa itu persatuan kita disegani oleh persatuan silat Melayu yang lain. Kita yang menjadi ahli persatuan ketika itu tentunya berasa megah kerana berada dalam persatuan SC yang hebat dan mantap dari segi pengurusan.

Dalam kalangan ahli biasa, pastinya mereka kurang arif tentang gelaran demikian. Apa yang membolehkan persatuan kita menjadi mantap dan hebat hingga membawa kepada gelaran persatuan yang baik. Mungkin hanya orang-orang kanan persatuan yang merupakan perancang utama yang mengetahui ciri-ciri yang menjadikan organisasi kita hebat dan berkesan. Merekalah yang bertanggungjawab ’melayarkan’ persatuan kita pada satu ketika lalu ke puncak pengiktirafan.

Di peringkat cawangan juga, barisan kepimpinannya kurang didedahkan dengan ciri-ciri menjadikan pengurusan persatuan mantap dan berkesan. Peranan mereka hanya melaksanakan segala apa yang dirancang dari pusat. Hala tujunya telah ditentukan oleh Guru Utama. Sememangnya cara yang demikian adalah sesuai dan bertepatan dengan peranan cawangan sebagai barisan pelaksana.

Oleh itu, seperti yang dinyatakan, di peringkat cawangan strategi menjadikan pengurusan persatuan hebat adalah tersangat kurang diberi tumpuan. Tanggungjawab hakiki setiap cawangan adalah untuk menyebarkan ilmu SC dalam kalangan masyarakat. Ukuran kejayaannya lebih banyak ditentukan pada bilangan ahli yang dapat dibawa masuk menjadi ahli persilatan.

Barisan kepimpinan cawangan kurang didedahkan dengan petua-petua bagi membolehkan perancangan tersendiri dilakukan. Pendedahan pada pemimpin cawangan kerap kali dikaitkan dengan prosedur pelaksanaan pengurusan persatuan yang dikehendaki oleh pengurusan pusat. Walau bagaimanapun, hal yang demikian bukanlah satu isu yang perlu dibahaskan. Cuma, kreativiti dan inovasi dari cawangan dalam pengurusan persatuannya adalah agak terhad.

Saya sendiri pun yang memimpin persatuan di peringkat cawangan, tidak dilibatkan secara langsung dengan ilmu tentang ciri-ciri menjadikan organisasi yang kita pimpin baik dan mantap. Tiba-tiba terdengar berita persatuan kita secara keseluruhannya dinobatkan sebagai sebuah persatuan yang mempunyai pengurusan yang terbaik. Kita hanya menumpang gembira. Kejayaan persatuan di peringkat pusat membawa makna pengurusan di peringkat cawangan pun adalah baik dan mantap.

Walau bagaimanapun, saya berpendapat, sebagai pemimpin di peringkat cawangan, mereka perlu didedahkan tentang ciri-ciri yang boleh membawa kejayaan dan kehebatan pengurusan persatuan yang dipimpin. Kemantapan pengurusan persatuan akan memberi pulangan atau kesan yang dikehendaki. Pada pemerhatian saya, persatuan SC di peringkat cawangan yang hebat ada kaitan dengan barisan kepimpinannya. Kehebatan itu dilambangkan dengan ’keriuhan’ ahli-ahli persilatan SC yang bertambah dari masa.

Selama ini, pengurusan persatuan di peringkat cawangan lebih banyak bergantung pada keperibadian pemimpinnya dengan panduan dari persatuan pusat. Kebolehan memimpin atau mengurus lebih banyak bergantung kepada kekuatan peribadi dan ilmu serta pengalaman yang ada pada diri pemimpin persatuan berkenaan. Betul gayanya, maka persatuan yang dipimpin akan terus bergerak dengan lancar. Tak betul gaya kepimpinannya, maka akan berlakulah pergolakan kecil dalam persatuan. Pengurusan agak lembab kerana wujud penentangan-penentangan kecil secara senyap-senyap.

Berdasarkan pengalaman saya, organisasi atau persatuan yang berkualiti ada sifatnya. Sifat-sifat yang ada itu perlu diamalkan bagi memantapkan pengurusan persatuan. Para pemimpinnya perlu tahu dan amalkan sifat-sifat atau ciri-ciri menjadikan pengurusan persatuan lebih mantap dari masa ke masa.

Faktor utamanya ada kaitan dengan kerja-kerja atau tugas-tugas yang diamanahkan kepada kita. Tugasan yang diberi adalah berupa amanah. Amanah perlu dilaksanakan tanpa kerja bertangguh. Oleh itu, jangan menangguh kerja atau amanah yang diberi pada kita. Laksanakan segala amanah yang diberi tepat pada waktunya. Semua kerja atau tugasan yang diberi perlu disiapkan secara cepat dan mengikut masa yang telah ditetapkan.

Dalam konteks SC, setiap cawangan telah diamanahkan untuk menyebarkan SC dengan bersungguh-sungguh. Cawangan yang hebat akan terus menerus menunaikan amanah tersebut tanpa ada perasaan jemu dan bertangguh-tangguh.

Dalam persatuan, kita ada carta organisasi yang menerangkan peranan setiap penjawat tugas atau peranan setiap lapisan yang ada dalam organisasi tersebut. Masing-masing ada peranan dan tanggungjawabnya. Sifat proaktif perlu wujud dan dilaksanakan secara meluas. Hal yang demikian akan menjadikan sesebuah persatuan atau organisasi itu berjalan dengan lancar dan tersusun.

Hubungan sesama ahli perlu sentiasa baik dan akrab. Sifat menuding jari dengan meletakkan kesalahan pada individu yang tertentu yang lain perlu dielakkan. Sifat suka tuduh-menuduh akan membentuk suasana atau iklim persatuan yang tidak menyenangkan semua pihak. Terasa ’panas’ ketika berada dalam persatuan. Hal yang demikian akan menimbulkan perasan syak wasangka atau prasangka buruk dalam kalangan ahli.

Sifat akrab yang wujud akan memudahkan kerja-kerja dilakukan dalam satu pasukan. Masing-masing akan dapat menumpukan perhatian dan misi ke arah matlamat persatuan yang ditetapkan oleh pemimpin tertinggi dalam persatuan. Dalam persatuan kita, pastinya kepemimpinan tertinggi tersebut adalah Guru Utama sendiri.

Persatuan yang baik pastinya mempunyai jaringan kerja yang lancar dan jelas. Kerja-kerja yang dilakukan tidak berulang-ulang yang memungkinkan pembaziran masa, tenaga dan wang ringgit. Kepercayaan pada penjawat jawatan perlu diberi sepenunnya supaya mereka boleh menjalankan tugas tanpa ada sebarang gangguan atau halangan. Kita perlu akui betapa penjawat jawatan dalam persatuan adalah terdiri dari mereka yang ada pengalaman untuk menjalankan tugas. Beri kebebasan kepada mereka tanpa perlu mengarahkan mereka menjalankan tugas seperti yang kita kehendaki.

Jika kerja-kerja telah dilakukan mereka, beri sokongan atau perbetulkan mana-mana yang perlu tanpa menyuruh mereka membuat semula. Hal yang demikian tentunya akan menyebabkan tugasan tersebut dilakukan secara berulang dan akan membuang masa dan tenaga. Akhirnya, akan wujudlah perasaan tak puas hati dalam kalangan ahli. Jika perasaan tidak puas hati mula timbul maka kesannya pasti akan menyusahkan pengurusan persatuan. Para pemimpin persatuan akan terasa terbeban. Akhirnya, terundanglah pepecahan seperti mana yang pernah kita alami satu ketika yang lalu.
Bersambung lagi.

 
Comments Off on 6.0 PENGURUSAN DIRI I

Posted by on 02/07/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: