RSS

5.4 PERANAN PENGURUSAN TIGA ARAS V

20 Jun

Bahagian Kelima

Meneruskan perbincangan tentang orang kanan, peranan mereka yang keempat ialah berperanan sebagai ’mata dan telinga’ ketuanya. Sepatutnya, orang-orang kanan itu dapat mencerap, menilai dan membuat keputusan bagi pihak ketuanya. Sifat mereka mesti berwibawa. Maklumat-maklumat yang diberi kepada ketua adalah tepat dan benar. Hal yang demikian akan menyenangkan ketua tersebut membuat keputusan demi kebaikan organisasi itu sendiri.

Akhirnya, satu perkara penting yang perlu dimilikinya ialah sentiasa bersedia untuk menjalankan sebarang tugas yang diberi oleh ketuanya. Walaupun arahan tersebut akan membawa beban kerja yang bertambah, namun kesediaan menjalankan tugas, perlu ada. Lakukan kerja secara ikhlas tanpa merintih dan tanpa membebal dan membebel. Setiap yang baik itu pasti akan berbalik kebaikannya pada diri kita sendiri.

         Di samping golongan pertengahan yang diwarnai oleh orang-orang kanan ketua organisasi, barisan pelaksana turut memainkan peranan penting. Mereka perlu ada kekuatan dan kehebatan ketika berjuang untuk menaikkan persatuan.

Saya selalu tegaskan betapa kalau organisasi itu hendak berjaya, aras lapisan pelaksana perlu memainkan peranan yang penting. Seperti yang sering saya tegaskan, merekalah merupakan golongan atau barisan hadapan yang akan menentukan kejayaan sesebuah organisasi. Dalam konteks SC, merekalah para Jurulatih yang akan memainkan peranan penting untuk memajukan dan memantapkan bidang persilatan Silat Cekak.

Dalam mana-mana organisasi, jika golongan yang berada dalam barisan hadapan ini diberi perhatian, maka organisasi itu akan beroleh kejayaan besar. Kalau organisasi itu berorientasikan keuntungan maka keuntungan yang diperoleh akan berlipat ganda. Jika organisasi itu berasaskan perkembangan kuantiti atau kualiti maka akan berlaku peningkatan yang hebat pada kedua-dua bidang matlamat organisasi tersebut.

Kehebatan barisan hadapan ini banyak bergantung pada sikap yang ada pada mereka. Sikap boleh dipupuk oleh pemimpin atau ketua organisasi berkenaan dari masa ke masa. Perkara pentingnya, seperti yang saya katakan ialah kekalkan hubungan mesra dan keakraban. Walau bagaimanapun, mereka juga turut memainkan peranan untuk memajukan organisasi. Inisiatif untuk berubah perlu ada pada mereka dari masa ke masa. Didik atau asuh mereka supaya sentiasa berubah mengikut hala tuju yang diinginkan oleh ketua organisasi.

Kita perlu mengasaskan sifat agar barisan hadapan ini sentiasa memberi tumpuan dan mendengar dengan teliti segala perancangan yang dirangka oleh golongan aras pertengahan dan segala arahan yang dikeluarkan oleh golongan aras atasan. Kalau tak boleh ingat, catatkan apa yang didengar. Kalau nak cepat, buat rakaman. Kalau tidak jelas maka perlulah bertanya hingga dapat penjelasan yang memuaskan. Jangan disimpan dalam hati hal-hal yang tidak jelas.

Walau bagaimanapun, kita sedar betapa golongan ini menghadapi masalah untuk mendapatklan kebenaran sebenar daripada golongan orang kanan. Akan tetapi saya percaya, daripada bilangan orang kanan yang ramai, tentu ada antara mereka yang boleh dijadikan rujukan.

Pada golongan Jurulatih yang merupakan barisan hadapan, saya ingin berpesan. Tugas yang diberi anggaplah sebagai satu  amanah. Dalam konsep amanah, selagi tidak habis sesuatu kerja yang diberi maka teruskan tugas hingga selesai. Bila buat sesuatu, biar sampai habis. Jangan sekerat jalan. Barulah kita akan mendapat kepuasan.

Di samping itu, kerja yang dilakukan perlulah dibuat secara bersungguh-sungguh. Kerja yang bersungguh-sungguh membawa makna kerja itu dilakukan berdasarkan hati yang rela dan ikhlas. Kalau tidak bersungguh bermakna melakukan kerja ikut suka hati.  Hal yang demikian akan menyebabkan apa saja jawatan atau tugas yang kita pikul, tidak memberi kesan yang sepatutnya.

Tempoh masa yang ditetapkan perlu dipatuhi. Kerja-kerja bertangguh perlu dihindarkan. Mereka perlu bertindak cepat untuk menyelesaikan sesuatu tugasan yang diberi dalam tempoh yang ditentukan. Jauhkan diri kita daripada sikap sambil lewa sahaja. Aktifkan diri. Secara langsung jiwa kita akan ’hidup’ dan sentiasa bersemangat untuk menjalankan sesuatu aktiviti hingga ke akhirnya.

Kita perlu faham abahawa jikalau sesuatu tugasan itu suka bertangguh maka berlakulah kelemahan dalam pengurusan. Apatah lagi apabila tiba tarikh yang ditetapkan. Maka akan berlakulah kesilapan di sana sini. Kerja-kerja mereka menjadi kelam kabut kerana terkejar-kejar masa untuk menghabiskannya. Aktiviti yang dijalankan pastinya tidak akan berkesan malah boleh sampai ke peringkat buang masa dan sia-sia. Hal yang demikian akan menyebabkan stress.

Kebiasaanya, semua yang berkaitan dengan stress adalah disebabkan oleh sikap suka bertangguh. Suka bertangguhlah yang akan menyebabkan kerja menjadi bertindih-tindih. Akhirnya lahirlah sifat berkira kerana tidak ada masa untuk membantu orang lain. Budaya kerja mereka akan membentuk budaya kerja sendiri atau sorang-sorang tanpa ada masa atau ada ruang untuk bekerja secara berpasukan. Macam mana hendak berpasukan, kerja yang ada pada diri sendiripun tidak dapat diurus dengan baik.

Berdasarklan teori Pengurusan Tiga Aras yang saya bincangkan dalam lima bahagian, jelas memperlihatkan pada saya betapa SC juga mengamalkan pengurusan tersebut sejak zaman Ustaz. Sebagai seorang ketua, pengurus dan pemimpin sebuah organisasi yang bergelar Persatuan Silat Cekak, saya dapat rasakan betapa Ustaz menjalankan pengurusan berdasarkan amalan teori berkenaan sama ada secara sedar atau tidak sedar.

Kaedah dan pengalaman yang sama, saya gunakan sepenuhnya ketika memimpin cawangan tempoh hari. Apabila teori itu didedahkan kepada saya dalam pengurusan organisasi, memantapkan lagi pengurusan cawangan SC yang saya pimpin. Saya fahamkan mereka yang saya pimpin secara tidak langsung dalam pengurusan cawangan tempoh hari.

Walau bagaimanapun, ketika itu ramai juga pihak-pihak tertentu di peringkat pusat yang tidak senang dengan cara pengurusan  saya di cawangan. Di tahap cawangan, saya bertindak secara mutlak. Maka dikatakan mereka saya berlagak umpama raja. Di peringkat pusat, kedudukan saya adalah sebagai pelaksana. Maka saya tuntut kebajikan dan pengiktirafan. Sekurang-kurangnya bagi mendapatkan uniform silat dan kedudukan istimewa ketika diadakan sebarang majlis di peringkat pusat. Maka saya dikatakan sebagai seorang yang sangat  berkira dan nak percuma saja. Itulah tanggapan yang lahir daripada manusia yang buta kayu dan bangang dengan kemahiran pengurusan.

Teringat kata-kata orang tua-tua tentang perangai mereka itu.  Merekalah golongan yang kaya dengan ”5B.” – Bebal, Bangang, Bengong, Bahlul dan Baghal.

Sekian untuk tajuk ini.

 
Comments Off on 5.4 PERANAN PENGURUSAN TIGA ARAS V

Posted by on 20/06/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: