RSS

5.3 PERANAN PENGURUSAN TIGA ARAS IV

18 Jun

 Bahagian Keempat

Orang kanan juga amat perlu mengetahui stail kepemimpinan ketuanya. Apakah corak atau stail kepimpinan yang diguna pakai oleh ketuanya. Biasanya kepemimpinan banyak bergantung pada stail tradisional  sama ada berbentuk mutlak, berbincang atau suka hati. Segala-galanya banyak bergantung pada penglibatan ketuanya dalam pengurusan pada satu-satu situasi. Malah, ringan atau berat peranan orang kanan itu banyak bergantung pada pengurusan ketuanya. Kalau ketuanya menjalankan pengurusan secara mutlak atau secara pengawalan sepenuhnya, maka tugas orang kanan amat kurang untuk merancang. Mereka hanya menjalankan perancangan yang mungkin disediakan oleh ketuanya sahaja.

Walau bagaimanapun, terdapat juga dalam kalangan ketua yang memberi kepercayaan dan kebebasan kepada orang kanannya untuk menjalankan sesuatu perkara. Namun begitu, beliau tetap akan bertindak sebagai ketua. Semua hal perlu merujuk padanya terlebih dahulu. Kalau dikias, bolehlah diumpamakan layang-layang. Pergerakan lelayang masih boleh bebas, tapi tali lelayang tersebut dipegang oleh pemiliknya. Layang-layang itu akan direntap turun apabila berlaku sesuatu hal yang memerlukan tindakan segera daripada pemiliknya.

         Mungkin golongan orang kanan dalam sesebuah organisasi itu berasa selesa jika ketuanya menjalankan pengurusan secara perundingan dan galakan penyertaan semua. Penglibatan mereka akan dihargai. Jika ketua dalam organisasi itu menyerahkan pengurusan  sepenuhnya kepada orang kanannya, maka di situlah peranan orang kanan sangat diperlukan. Di bahu merekalah terletaknya tanggungjawab untuk memajukan sesebuah organisasi itu.

Dalam konteks ini, para pembaca bolehlah hubungkan dengan bentuk kepemimpinan yang ada dalam persatuan kita sekarang. Malah, boleh juga dihubungkan dengan bentuk atau peranan mereka dalam kepemimpinan persatuan di peringkat cawangan.

Peranan kedua yang perlu dimainkan oleh orang kanan, ada kaitannya dengan sifat diri mereka. Orang kanan itu mestilah bersikap jujur dalam melaksanakan kerja atau meneruskan pengaruh dan kerjanya. Ketika berhubung dengan ahli-ahli yang lain, jangan sesekali cuba mempopularkan diri sendiri, secara mengetepikan peranan ketua kita. Ketika menerangkan dasar-dasar persatuan, pastikan dasar itu adalah merupakan cetusan pemikiran ketua. Janganlah hendaknya menghubungkan dasar yang ada itu dengan usaha diri sendiri. Seolah-olah dasar yang terbentuk itu adalah hasil pemikirannya sahaja.

Saya teringat akan satu peristiwa yang berlaku di cawangan sebuah negeri di selatan tanah air pada awal tahun dua ribu yang lalu. Cawangan itu diletakkan bawah pengawasan seorang orang kanan Guru Utama. Beliau mempunyai wawasannya yang tersendiri. Mungkin Guru Utama telah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada beliau hingga terlupa untuk mengawasi pengaruhnya. Peluang itu digunakan untuk meluaskan pengaruh peribadinya. Daripada percakapan orang kanan itu, beliau membuktikan betapa peranan beliau amat penting untuk merancang semua aktiviti dalam persatuan. Tanpa peranan yang dimainkannya maka dikatakan bahawa persatuan tidak akan bergerak atau tidak akan maju seperti yang sedia ada.

Pengaruhnya juga disebarkan pada cawangan-cawangan lain. Saluran penyebarannya adalah melalui orang-orang suruhannya sama ada disedari mereka ataupun tidak. Ahli-ahli barisan hadapan yang terdiri daripada para Jurulatih telah menjadi fokas utama. Agaknya, Guru Utama amat kurang memahami keadaan yang berlaku. Itu sebabnya apabila Guru Utama menghadapi situasi kepemimpinan yang meruncingkan, para Jurulatihnya sendiri telah berbelah bahagi. Baru jelas betapa barisan hadapan SC telah porak peranda. Orang kanannya itu telah berjaya membawa anak biji buahnya bersama untuk menyeberang fahaman ke pihak lain.

Selain daripada perkara yang dibincangkan,   sebagai orang kanan, mereka mestilah menjadi orang yang boleh dipercayai ketuanya. Beliau tidak boleh menyalahgunakan kuasa, kepercayaan dan keyakinan yang telah diberi ketua. Tunjukkan kesetiaan kita sepanjang masa. Janganlah menyalahgunakan kepercayaan yang diberi kepada kita selama ini. Kepercayaan yang diberi oleh ketua adalah merupakan satu amanah. Kalau kita bersifat endah tak endah bagi mendapatkan kepercayaan ketua, lebih baik tidak menjadi orang yang bergelar sebagai orang kanan dalam satu-satu pertubuhan atau persatuan.  Sungguh malang apabila orang kepercayaan ini, akhirnya akan membuat ’tikaman anwar’.

Untuk menjadi orang kepercayaan ketua, ada pelbagai cara. Sifat terpenting ialah jangan membantah apabila disuruh. ”Never say ’no’’ pada ketua kita. Setiap masalah yang timbul atau dijangka timbul, hanya akan dibincangkan setelah kita bersedia menerima tugasan yang diberi. Tunjukkan sifat positif dan bersedia untuk memikul tanggungjawab atau menjalankan tugas. Masalah yang timbul akan dibincang kemudian.

Janganlah kita berhati busuk. Hati busuk tersangat kaya dengan sifat dengki mendengki, buruk sangka, fitnah dan pelbagai sifat yang dipusakai syaitan. Dalam hal ini, hanya diri sendiri yang boleh membaiki sifat buruk yang ada. Sedar diri dan perbaiki diri. Jika tidak diperbaiki diri sendiri, pasti akan merosakkan orang lain dan juga organisasi. Jika dibiarkan, mereka akan menjadi umpama lalat. Di mana saja mereka pergi, pasti akan menimbulkan bala petaka yang berpanjangan.

Sebagai orang kanan, mereka juga mesti tahu akan kedudukan mereka sendiri sebagai orang yang berada di bawah seorang ketua. Kemahiran berkomunikasi dengan ketuanya perlu ada. Jangan sesekali merendah-rendahkan ketuanya dalam apa keadaan sekalipun. Fahamilah stail kepemimpinan dan stail pengurusan ketua. Kalau sudah kenal maka mudahlah kita memahami tindak tanduk ketua kita. Secara langsung keadaan yang demikian akan memudahkan ketua kita memberi kepercayaan sepenuhnya pada diri kita.

Bagi mendapatkan kepercayaan mudah dari ketua, orang kanan juga perlu mengambil berat kebajikan ketuanya sama ada dari segi kedudukan atau ketrampilannya. Tunjukkan sifat kita yang menyenangi kehadirannya. Beri kejasama sepenuhnya kepada ketua kita walaupun kadang kala perbuatan kita itu tidak disenangi oleh orang lain. Ketua adalah tetap ketua. Oleh itu, jagalah kerahsiaan atau rahsia yang diamanahkan oleh beliau. Maruah ketua perlu dijaga.

Perkara-perkara aib yang dilakukan oleh ketua kita tidak perlu dicanangkan merata-rata tempat, semata-mata untuk mempopularkan diri. Sepatutnya, perkara aib yang dilakukan itu, perlu disimpan dalam kalangan pihak yang tertentu sahaja. Carilah penyelesaian. Tidak perlu mencanangkan perkara tersebut secara berleluasa. Bukan ajaran agama kita bagi mencanangkan sesuatu perkara yang buruk pada orang lain.

Di samping itu, orang kanan juga perlu membina keyakinan ketuanya terhadap dirinya supaya mudah dipercayai. Apabila berjanji maka tunaikan janji tersebut. Seseorang ketua akan berasa gembira apabila orang-orang kanannya sentiasa memelihara janji dan memelihara ketetapan masa. Wujudkan pengaliran komunikasi yang berkesan bagi membolehkan hubungan antara kita dengan ketua adalah berada dalam suasana yang harmonis. Bersambung.

 
Comments Off on 5.3 PERANAN PENGURUSAN TIGA ARAS IV

Posted by on 18/06/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: