RSS

5.2 PERANAN PENGURUSAN TIGA ARAS III

17 Jun

Bahagian Ketiga

Berdasarkan tulisan terdahulu, demikianlah hebatnya kemahiran komunikasi yang ada pada Ustaz. Kemahiran tersebut menyerlahkan lagi kehebatan Ustaz secara keseluruhan. Kehebatan itu pula telah menyinari kehebatan  persatuan SC yang merupakan organisasi yang dipimpinnya. Hal ini kerana kemahiran dan kehebatan Ustaz mewujudkan jaringan komunikasi berkesan dalam kalangan anak muridnya menjadikan organisasi yang dipimpin Ustaz  menjadi amat mantap. Semua lapisan ahli dapat memainkan peranan yang sepatutnya dalam perkembangan SC.

Kemantapan persatuan merupakan satu kebanggaan ahli-ahli SC. Persatuan kita ketika itu sangat-sangat dihormati oleh kawan dan lawan. Sebut sahaja Silat Cekak, terasa getaran pada jiwa mereka yang mendengarnya. Kita berasa bangga  berada dalam SC. Bukan setakat persilatannya sangat hebat, malah persatuan yang menaunginya juga tersangat hebat. Tidak ada tolok bandingnya.

          Setiap ahli dalam lapisan aras yang berlainan, tahu akan peranan masing-masing. Ketika itu tidak ada sesiapa pun yang berani melanggar sempadan lapisan yang sedia ada. Arahan Ustaz akan menjadi dasar. Lapisan pertengahan akan menyusun program-program atau strategi bagi merealisasikan impian Ustaz menjadi kenyataan. Para Jurulatih pula berperanan menyebarkan dan melaksanakan semua strategi yang terbentuk dalam kalangan ahli di setiap cawangan.

Walau bagaimanapun, saya tetap mengakui betapa jawatan yang kita sandang akan banyak mempengaruhi cara kita bercakap atau cara kita berkomunikasi. Lagi besar jawatan yang disandang  maka lagi banyak beban atau tanggungjawab yang perlu dipikul. Manusia tetap manusia. Perasaan adalah merupakan satu sifat yang ada pada kita. Mustahil dapat dielakkan. Cuma, adakah perasaan itu dapat dikawal atau sebaliknya. Di sinilah perlunya ketenangan dan kesabaran dalam menghadapi sesuatu perkara atau sesuatu petaka. Jika sifat ketenagan dan kesabaran itu dapat kita sebatikan pada diri, maka akan jadilah kita seorang pemimpin yang tersangat hebat.

Kadang kala akibat bebanan yang terlampau, tekanan yang terkeluar, dipancarkan melalui bahasa lisan atau percakapan kita sendiri.   Percakapan seseorang mungkin boleh berbentuk emosi yang tidak terkawal tanpa sedar. Hal yang demikian menampakkan sifat panas baran atau merampus atau bebal dalam kalangan mereka. Tentunya keadaan itu akan mengganggu sedikit sebanyak maksud komunikasi berkesan yang kita harapkan antara penutur dan pendengar. Secara langsung juga, hubungan antara peringkat atasan dengan peringkat pelaksana akan sedikit terganggu.

Di sinilah lapisan pertengahan dapat memainkan peranan. Lapisan golongan ini merupakan orang kanan pada ketua organisasi. Janganlah mereka ’tumpang sekaki’ ketika ketua organisasi menegur ahli anggotanya. Di samping peranan sebagai orang kanan yang merangka strategi untuk memajukan organisasi yang diketuai oleh ketua organisasi, mereka juga bertanggungjawab bagi menenangkan suasana. Hal yang demikian akan dapat mengurangkan tekanan dan kekerohan dalam hubungan antara ketua dengan pengikutnya.

Oleh itu, sifat kemanusiaan perlu banyak dalam diri orang-orang kanan. Konsep empati perlu menguasai diri mereka berbanding dengan konsep simpati. Empati bermakna orang-orang kanan cuba merasai seperti apa yang ahli-ahlinya rasai atau alami. Manakala simpati hanya mereka melahirkan perasaan untuk menyokong ahli-ahli yang ditimpa masalah sahaja tanpa cuba merasai seperti mana yang ditanggung oleh para ahli yang dipimpinnya.  Kesedihan yang wujud hanya sementara. Mudah lupa.

Saya berpendapat, peranan orang kanan sebagai pengimbang dalam satu-satu persatuan yang merupakan sebuah organisasi adalah tersangat penting. Dalam zaman Ustaz, kelemahan mereka tetap wujud. Saya pernah sentuh dalam tulisan yang terdahulu. Betapa ramai yang tersingkir kerana tokok-tambah maklumat yang diberi oleh orang kanan pada Guru Utama. Malah, ramai kalangan ahli yang menjauhkan diri daripada SC kerana merajuk hati akibat tohmahan yang sengaja dibina bagi memperkecilkan kawan-kawan sendiri. Begitulah malangnya nasib ahli-ahli, apabila orang kanan mempunyai kepentingan diri dan tidak tahu akan peranan mereka yang sebenarnya.

Walau bagaimanapun, perlu ditegaskan betapa kedudukan orang-orang kanan yang berada di tengah-tengah antara aras atas dan aras bawah, menjadikan mereka sebagai golongan pengimbang. Dalam kedaan tersebut, ada ketikanya mereka akan berada dalam suasana selesa. Ada ketikanya pula kedudukan mereka akan berasa panas, umpama kek dulu-dulu yang dibakar pada bahagian bawah dan bahagian atas. Namun begitu, mereka harus menerima kenyataan betapa peranan mereka sangat penting dalam merangka strategi bagi merapatkan hubungan antara orang atasan dengan barisan pelaksana. Suasana harmonis dan ketenangan dalam hubungan manusia yang ada dalam satu-satu lapisan organisasi itu banyak bergantung pada peranan orang-orang kanan.

Oleh itu, golongan orang kanan ini perlulah mempunyai sifat-sifat yang tertentu. Cuba kita bandingkan antara tuntutan tugas orang-orang kanan dalam sesebuah organisasi itu dengan apa yang berlaku dalam persatuan kita sekarang, sama ada di peringkat pusat atau di peringkat cawangan. Hanya buat renungan.

Pertamanya, mereka perlulah mengetahui kehendak ketuanya. Kehendak ketua itu mungkin berupa hala tuju atau dasar atau matlamat atau visi yang ingin dibawa olehnya. Kalau sudah mengetahuinya maka mereka juga perlu memahaminya tanpa ada perasaan ragu-ragu atau komen-komen negatif. Hal yang demikian tentunya mengambil masa sedikit untuk memahaminya. Tetapi adalah baik mereka memahami kehendak seorang ketua daripada ketua yang perlu memahami kehendak mereka yang pelbagai.

Kalau orang-orang kanan itu menerima dan memahami segala kehendak ketuanya, maka mudahlah mereka bergerak bagi memenuhi kehendak-kehendak tersebut. Perancangan mereka akan terarah dan memudahkan mereka membuat kerja. Di sinilah ilmu, pengalaman dan kepakaran orang-orang kanan amat berharga. Setiap kehendak atau keinginan itu hanya tinggal kehendak dan keinginan, jika tidak disertai dengan perancangan yang mantap dan rapi.

Jika tidak, ketua organisasi akan berasa kecewa kerana apa yang dihajatkan tidak difahami oleh orang kanannya yang juga merupakan orang harapannya. Ketua tersebut akan makan hati dan membebel tentang keupayaan orang kanannya. Maknanya, ’nasib’lah apa yang ada pada orang keliling ketua organisasi tersebut. Kalau ada ketokohan pada orang kanannya, maka bertambah hebatlah persatuan. Jika kurang ketokohan pada orang kanannya, maka teruklah seseorang ketua itu bagi menggerakkan organisasi yang dipimpinnya.

Kehebatan seseorang ketua tidak akan kekal lama tanpa dibantu oleh orang-orang kanan dan barisan pelaksana. Cuma, sejauh mana bantuan yang diterima atau sejauh mana seorang ketua itu berusaha mendapatkan kerjasama orang kanannya hingga tidak menggadaikan prinsip diri yang sedia ada. Organisasi yang baik tentunya tidak wujud soal menggadai prinsip untuk mendapatkan sebarang sokongan padu. Sambung.

 
Comments Off on 5.2 PERANAN PENGURUSAN TIGA ARAS III

Posted by on 17/06/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: