RSS

5.1 PERANAN PENGURUSAN TIGA ARAS II

14 Jun

Bahagian Kedua

Dalam konteks SC, hubungan baik dan akrab antara golongan atasan dengan golongan pertengahan dan golongan pelaksana sangat penting. Selama ini, hubungan yang baik sesama ahli pada setiap lapisan dalam SC telah mewujudkan suasana hormat dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi pada Guru Utama. Hal-hal yang berkaitan dengan perasaan tak puas hati atau ’tikaman anwar’ telah dapat dihindarkan. Maka barulah buat kerja menjadi seronok. Masing-masing tahu akan peranan yang perlu dilaksanakan tanpa melanggar adab atau batasan yang diterima pakai oleh semua ahli.

Berdasarkan pengalaman saya dalam SC dan berdasarkan pengetahuan saya pada teori tersebut, maka saya aplikasikan pada sebarang pengurusan dalam organisasi yang diamanahkan kepada saya dari masa ke masa. Saya telah dapat membuat tanggapan atau kesimpulan sendiri dalam pengurusan sesebuah organisasi bagi maksud kehebatan. Kehebatan ketua dalam sesebuah organisasi akan menentukan kehebatan organisasi yang dipimpinnya. Hebat ketuanya atau pemimpinnya maka hebatlah organisasi yang dipimpinnya. Tidak hebat seseorang ketua atau pemimpin itu maka tidak hebatlah organisasi yang dipimpin atau diketuainya itu.

Sering kali saya tegaskan betapa pengurusan atasan adalah merupakan ketua organisasi. Organisasi berkenaan akan menjadi hebat jika ketuanya perlihatkan banyak kehebatan. Penonjolan hebat adalah sesuatu yang saya anggap perlu. Salah satu cara memperlihatkan kehebatan ialah melalui ilmu. Semua ahli akan mengakui kebolehan yang ada pada pemimpin tertingginya jika pemimpin itu tersangat tinggi ilmunya.

Dari segi ilmu silat, jika kita hubungkan Ustaz sebagai ketua dalam organisasi SC yang dipimpinnya dengan ilmu yang ada, pasti ketara kehebatannya. Ilmu persilatannya adalah tersangat tinggi. Tidak ada mana-mana anak muridnya yang menyangkal ketinggian ilmu silat yang dimiliki Ustaz. Mana mungkin kita berguru pada mereka yang kurang berilmu. Kehebatan Ustaz bercakap membuktikan kehebatannya. Isi percakapan Ustaz adalah selari dengan kehebatan perbuatannya.

Selain daripada kehebatan ilmunya, ketua organisasi juga perlu mengamalkan komunikasi yang hebat. Perbincangan yang berlaku bukan dipengaruhi emosi tapi lebih pada perasaan hormat-menghormati. Oleh itu, komunikasi yang dibentuk perlu berkesan. Keberkesanan berkomunikasi akan memudahkan proses pencapaian matlamat organisasi.

Saya teringatkan Ustaz. Percakapannya sentiasa menarik perhatian para penuntut. Cakaplah apa saja. Semua orang akan memberi tumpuan pada percakapannya. Kebolehan Ustaz menarik perhatian para pendengar dapat kita jadikan teladan dalam komunikasi kita sendiri.

Berdasarkan pengalaman dan rujukan saya pada teori komunikasi berkesan, terdapat sekurang-kurangnya tujuh sifat yang telah ada pada Ustaz hingga membolehkannya mendapat perhatian pendengar. Mereka sentiasa mengikuti syarahan atau ucapan Ustaz dari masa ke masa tanpa jemu-jemu. Walaupun kadang kala isi percakapannya adalah berulang, para pendengar tetap tidak berasa jemu untuk mendengarnya lagi. Nampaknya hal yang demikian ada juga pada En Mat selaku Guru Utama yang diberi mandat atau amanah berikutnya. Guru yang lain, saya tak nampak. Cuma, pengikut setianya saja yang nampak. Proses muhasabah dan istiqamah.

Faktor utama komunikasi berkesan ialah orang yang berucap itu mestilah dipercayai oleh pendengar. Kepercayaan ini diasaskan oleh ilmunya, ’cakap serupa bikin’ dan pelbagai sifat peribadi yang lain. Ustaz memiliki kesemuanya. Ilmu Ustaz dari segi persilatan dan keagamaan adalah amat dikagumi dan tidak boleh dinafikan kehebatannya oleh semua lapisan ahli. Saya telah menyentuh hal yang demikian dalam tulisan-tulisan yang lalu.

Cuma sekarang ini, kepercayaan kita pada tokoh-tokoh persilatan SC yang lalu telah berbelah bahagi. Maka berlakulah krisis kepercayaan dalam SC. Tentunya percakapan PA sentiasa ditolak oleh murid SC yang berlainan guru di pihak En Mat. Begitu juga dengan percakapan En Mat yang tentunya ditolak oleh anak-anak murid PA. Hal yang demikian adalah disebabkan mereka tidak lagi mempercayai guru yang berlainan itu. Kalau tidak mempercayai seseorang itu, maka segala bentuk percakapannya akan ditolak begitu sahaja. Tidak akan diendahkan oleh mereka yang berlainan kepercayaan.

Sekadar mengingatkan kisah-kisah lalu. Kepercayaan pada Ustaz adalah bulat dan bersepadu. Kehebatan Ustaz dalam dunia persilatan memang sudah terbukti. Semua murid SC tetap mengkaguminya. Walaupun ada yang menderhaka, tentunya kerana ada angkara. Kepentingan dan keuntungan diri telah menjadi kiblat utama. Kehebatan Ustaz yang diakui itu menjadikan semua ahli memberikan penghargaan pada Ustaz. Hal yang demikian bukan saja percakapannya, malah pelakuannya pun cuba ditiru. Maka apabila Ustaz bercakap, semua orang akan memberi tumpuan. Tumpuan yang diberi itu adalah hasil kepercayaan yang jitu pada kepemimpinan Ustaz sendiri.

Selain daripada itu, perkara yang disyarahkan atau dikatakan Ustaz adalah dalam konteks keperluan pendengar itu sendiri. Isi percakapan Ustaz banyak menyentuh tentang silat dan agama. Memang tajuk itulah yang dicari-cari oleh anak-anak muridnya. Mana mungkin mereka berguru jika mereka menolak tajuk-tajuk perbincangan itu. Oleh itu, segala percakapan Ustaz akan memberi makna pada pendengar. Ustaz amat jarang membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan politik negara. Mungkin hal yang demikian terkecuali pada orang-orang rapatnya atau mereka yang berminat dengan politik sahaja.

Kandungan ucapan atau syarahan yang diberikan Ustaz adalah menepati taraf dan kehendak para pendengar. Isi percakapan adalah sesuai dengan kehidupan seharian para pendengar. Maknanya, apa yang diucapkan Ustaz tetap boleh digunakan dalam kehidupan seharian. Kandungan isi percakapannya tidaklah ilmiah hingga sukar kita fahami atau sukar untuk dipraktikkan. Secara langsung, hal yang demikian membolehkan para pendengar memberi tumpuan dan mengikuti syarahan atau ucapan Ustaz dari satu peringkat ke peringkat yang lain. Secara langsung, terjadilah komunikasi berkesan apabila Ustaz memulakan percakapan.

Selain dari faktor yang dibincangkan di atas, isi percakapan atau syarahan Ustaz juga adalah jelas dan mudah diterima. Bahasa yang digunakan mudah difahami oleh pelbagai peringkat ahli. Oleh itu, para pendengar boleh terus-menerus mendengar dan memahami secara langsung isi ceramah atau syarahan Ustaz, tanpa perlu memikir-mikir akan ayat-ayat atau perkataan-perkataan yang susah-susah. Kupasan Ustaz adalah secara berperingkat dari awal hingga akhir percakapan. Hal yang demikian akan membolehkan kita membuat kesimpulan yang amat berfaedah pada diri sendiri. Ramai penceramah yang bercakap hingga kita tidak tahu mana hujung dan mana pangkalnya. Isi percakapan mereka melompat-lompat. Bahasa yang digunakan terlalu tinggi hingga dia sendiri saja yang faham. Atau ada juga para pencemarah yang mementingkan stail percakapan. Seronok didengar tapi kita tidak akan ingat apa yang dicakapkannya.

Kaedah percakapan Ustaz adalah secara lisan sahaja. Dalam majlis-majlis syarahan atau ceramahnya, saya tidak pernah melihat Ustaz menggunakan komputer dan LCD. Walau bagaimanapun pendengar tidak berasa jemu mendengar, kerana setiap percakapan Ustaz akan diselit juga unsur-unsur jenaka. Nada percakapannya adalah nada tinggi dan ada ketikanya rendah. Hal yang demikian tentunya boleh menaikkan semangat para pendengar. Maka secara langsung, para hadirin yang ada, akan memberikan tumpuan pada syarahan atau ceramah Ustaz tersebut.

Oleh sebab prinsip Ustaz, ’cakap serupa bikin’ maka setiap arahan atau percakapannya akan ada kesinambungan. Ustaz akan mendapatkan laporan dari masa ke masa pada arahan-arahan yang telah dikeluarkannya. Hal yang demikian secara langsung telah menyebabkan para pendengar akan memberi tumpuan pada butiran percakapan Ustaz. Malah kadang kala kita boleh menganggap betapa dalam syarahannya ada arahan yang perlu dilakukan oleh para ahli SC. Hal yang demikian juga akan mendorong para pendengar untuk mendengar secara teliti bagi menangkap makna pada sebarang bentuk arahan dalam percakapannya. Ramai yang akan menulis segala isi percakapan yang dikeluarkannya.

Satu lagi faktor terpenting yang menyebabkan komunikasi Ustaz adalah berkesan, bila Ustaz bercakap, beliau akan mengambil kira keupayaan pendengarnya. Itulah kesimpulan saya setelah mendengar beberapa siri ceramah atau syarahan Ustaz. Tentunya cara penyampaian dan isi penyampaian tidak sama ketika Ustaz menyampaikan ilmu pada pelajar-pelajar universiti dengan orang-orang lain yang sedang bekerja dan berumur. Orang muda tentu lain kehendaknya berbanding dengan orang-orang tua. Begitulah sebaliknya.

Saya dapat simpulkan di sini, betapa kehebatan Ustaz dalam ilmunya yang ada dan dikuatkan dengan amalan komunikasi yang berkesan, telah menyebabkan diri Ustaz sentiasa dihormati dan disanjungi. Hal yang demikian memudahkan Ustaz untuk menarik perhatian dan tumpuan ahli-ahli SC dalam setiap aras pengurusan bagi mencapai matlamat persatuan. Hal yang demikian juga tidak menghairankan kita betapa stail kepemimpinan Ustaz secara mutlak sentiasa berjaya. Sambung.

 
Comments Off on 5.1 PERANAN PENGURUSAN TIGA ARAS II

Posted by on 14/06/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: