RSS

5.0 PERANAN PENGURUSAN TIGA ARAS I

11 Jun

Bahagian Pertama

Sepanjang pengalaman saya mengurus sesebuah organisasi, saya amat tertarik dengan teori Pengurusan Tiga Aras. Berdasarkan teori ini, dalam organisasi ada tingkat taraf atau hirakinya. Bermula dengan golongan atasan, pertengahan dan diikuti golongan pelaksana. Masing-masing ada peranannya yang tertentu. Peranan itu adalah jelas kerana berdasarkan lapisan yang mereka  berada. Cuba kita lihat rajah berikut bagi memudahkan kefahaman kita.

Berdasarkan teori Pengurusan Tiga Aras, pengurusan atasan adalah merupakan ketua organisasi atau kepimpinan tertinggi dalam organisasi. Beliau bersifat penentu dasar. Dasar yang ditentukan itu  perlu dijalankan oleh semua anggota organisasi.

Di bawah ketua, menggambarkan peranan pengurusan pertengahan. Mereka ini terdiri daripada orang kanan ketua atau orang kanan kepimpinan atasan. Merekalah yang bertanggungjawab bagi mempastikan dasar yang diharapkan oleh ketuanya menjadi kenyataan. Golongan ini perlu mahir untuk merancang atau menyusun strategi bagi mencapai matlamat yang dihajatkan oleh ketua mereka. Mereka tidak boleh campur tangan atau merintih atau melahirkan perasaan tak puas hati pada dasar yang dibentuk oleh ketua. Jika hal yang demikian berlaku, pasti akan mengundang hubungan tengang antara ketua dengan orang kanannya. Hal yang demikian akan menyebabkan pengurusan organisasi akan terganggu dan tentunya akan merosakkan perjalanan organisasi.

Lapisan ketiga dalam Pengurusan Tiga Aras tersebut, wujudnya pengurusan hadapan. Mereka adalah merupakan golongan pelaksana dan merupakan barisan hadapan untuk menentukan kejayaan sesebuah organisasi tersebut.

Dalam Pengurusan Tiga Aras itu, dasar yang dibentuk oleh pengurusan atasan akan disambut oleh pengurusan pertengahan. Mereka yang bergelar orang kanan itu, akan membuat  strategi bagi mempastikan idaman pengurusan tertinggi akan tercapai. Strategi itu perlu dilaksanakan. Di sinilah peranan golongan lapisan pelaksana memainkan peranan penting. Dasar yang dibuat jika tidak dijalankan oleh golongan lapisan pelaksana maka dasar itu hanya tinggal sebagai dasar sahaja tanpa dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Cuba bayangkan dalam medan pertempuran. Golongan barisan hadapan adalah merupakan askar-askar yang turun padang untuk berjuang. Jika mereka tewas maka tewaslah negara yang berdaulat tersebut. Oleh itu, kesihatan dan kebajikan mereka perlu dijaga. Kesihatan dan kebajikan akan memberi impak yang besar pada diri mereka sama ada untuk terus bersemangat berjuang ataupun hilang semangat dalam perjuangan.

Saya cuba kaitkan teori pengurusan tersebut dengan apa yang ada dalam pengurusan SC. Nampaknya teori itu bukannya asing bagi kita. Saya rasa, kita tidak pernah mengaitkan secara khusus akan teori tersebut dengan apa yang berlaku dalam pengurusan organisasi SC. Namun begitu, berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya menjadi pemimpin dalam organisasi yang lain, nampaknya teori itu wujud dalam organisasi SC secara tidak langsung. Jelas pada saya bagaimana teori itu telah berperanan menjadikan pengurusan SC berada dalam keadaan mantap ketika SC dipimpin oleh Ustaz.

Saya cuba kaitkan semua lapisan ahli yang ada dalam SC dengan teori Pengurusan Tiga Aras itu. Saya dapat membuat kesimpulan bahawa peranan pengurusan tiga aras itu telah berperanan penting untuk memantapkan pengurusan SC selama ini. Setiap ahli dalam SC tahu memainkan peranan tanpa diarah. Nampaknya peranan dan tanggungjawab yang dipikul oleh semua lapisan ahli SC berjalan tanpa dipaksa-paksa atau dirancang.

Hubungan setiap ahli dalam SC dapat diumpamakan sebagai lima jari. Setiap jari tersebut mempunyai peranan yang tersendiri. Sekurang-kurangnya, ibu jari berperanan untuk melahirkan perasaan suka atau tidak suka, telunjuk berperanan untuk menunjuk. Jari hantu untuk mengorek anu orang lain, jari manis sebagai tempat cincin dan jari kelengkeng untuk mengorek ruang yang ada pada diri. Apapun alasan atau peranan yang ada, dalam SC, semua ahli memainkan peranan berdasarkan kemampuan masing-masing.

Kebolehan seseorang ahli SC adalah tidak sama antara mereka. Ada yang cakap pandai, tapi kerja tak cekap.  Ada yang kerjanya hebat  tapi cakap tak pandai. Namun begitu, kebolehan yang berbeza-beza itu apabila disatukan dalam satu kumpulan maka akan terserlah kehebatan yang ada dalam SC.

Berdasarkan teori pengurusan tersebut, dalam SC dapatlah kita buat pelambangan. Pengurusan tertinggi ialah Guru Utama. Beliaulah yang akan menentukan hala tuju persatuan dan persilatan yang dibentuk atau dipimpinnya. Stail kepemimpinannya adalah berdasarkan sifat peribadinya.

Golongan pertengahan dapat dirujuk pada barisan orang kanan Guru Utama. Pastinya mereka yang tergolong dalam kumpulan ini termasuklah barisan exco yang akan menggerakkan persatuan. Merekalah perancang utama untuk menggerakkan segala dasar yang telah ditetapkan oleh Guru Utama. Oleh itu, ilmu merancang perlu banyak dalam kalangan mereka bagi mempastikan perancangan yang dibuat dalam persatuan SC akan berjalan dengan lancar dan berkesan.

Lapisan ketiga ialah kumpulan Jurulatih yang turun padang untuk menyebarkan SC. Merekalah yang akan menentukan sama ada mutu SC akan berterusan atau jatuh menjunam. Oleh itu, golongan ini perlu dijaga dari segi ilmu dan kebajikan mereka. Ilmu yang sepenuhnya tentang SC perlu diberi pada mereka. Hal yang demikian kerana merekalah yang bertanggungjawab untuk menyebarkan ilmu SC pada masyarakat lainnya. Termasuk juga dalam peranan mereka ialah untuk mempertahankan SC apabila dicabar oleh orang lain.

Itu sebabnya pada saya, lapisan ketiga ini perlu diberi perhatian sepenuhnya oleh Guru Utama. Peranan mereka adalah sebagai  barisan hadapan bagi menyampaikan hasrat guru di peringkat akar umbi. Kalaulah kebajikan mereka sentiasa dijaga, dorongan untuk meneruskan perjuangan yang dihasratkan oleh Guru Utama akan berterusan dan membara dari masa ke masa. Sambung lagi.

 
Comments Off on 5.0 PERANAN PENGURUSAN TIGA ARAS I

Posted by on 11/06/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: