RSS

4.0 KETEGASAN

05 Jun

Salah satu sifat yang dihargai oleh orang lain pada kita ialah sifat ketegasan. Bukan mudah untuk bersifat tegas. Hubungan yang erat sesama ahli akan menjadi penghalang utama. Kegagalan bertegas terhadap seseorang secara adil dan dalam semua situasi akan menyebabkan timbul perasaan tak puas hati dalam kalangan ahli organisasi. Maka mulalah lahirnya istilah-istilah pilih bulu dan sebagainya.

Ketegasan diperlukan dalam pelbagai bentuk. Biasanya, ketegasan dirujuk pada keputusan atau tindakan yang kita ambil. Hal yang demikian termasuklah ketika membuat keputusan pada seseorang, ketika membuat keputusan pada satu-satu perkara yang dibincangkan atau ketika menentukan hala tuju organisasi berikutnya. Menetapkan dasar yang ingin kita laksanakan dalam kalangan ahli juga turut memerlukan ketegasan.

Orang yang memberi keputusan dengan cepat akan memperlihatkan ketegasannya. Setiap mesyuarat yang diadakan untuk mengambil sebarang keputusan, akan berakhir dengan satu keputusan yang ada. Hal yang demikian akan memperlihatkan ketegasan yang ada pada pemimpin itu. Membuat keputusan yang salah adalah lebih baik daripada tidak membuat keputusan langsung.

Dalam konteks membuat keputusan dengan cepat, telah memperlihatkan perwatakan Ustaz yang sedemikian. Lebih-lebih lagi ketika SC diancam oleh pelbagai pihak. Secara langsung situasi tersebut telah memperlihatkan ketegasan Ustaz sebagai seorang pemimpin dan dihormati oleh anak murid silatnya.

Kadang-kadang saya bertanya pada diri sendiri. Selama berhubung dengan Ustaz, adakah perhubungan itu bersandarkan pada perasaan takut. Susah juga untuk menjawabnya. Saya rasa, semua perasaan ada. Ada perasaan takut, ada perasaan sayang, ada perasaan hormat dan pelbagai jenis perasaan lagi. Tapi, yang pastinya semua ahli mempunyai satu tanggapan yang tinggi pada Ustaz. Beliau dianggap sebagai seorang yang hebat dan mengetahui segala macam ilmu yang berkaitan dengan ’ilmu megah’ masyarakat Melayu.

Saya melihat Ustaz sebagai seorang pemimpin yang mempunyai ketegasannya yang tersendiri. Ketegasaannya telah menyebabkan semua lapisan ahli dalam SC perlu berhati-hati apabila berhubung dengan Ustaz atau ketika menjalankan segala bentuk arahan yang dikeluarkan Ustaz.

Walau bagaimanapun, Ustaz mudah didekati sama ada secara formal atau tak formal. Cuma, dalam suasana yang memerlukan keputusan yang segera, Ustaz akan menampakkan ketegasannya. Ketika itu, tidak ada sesiapapun yang membantah atas segala keputusan yang beliau ambil.

Ketegasan Ustaz dapat dilambangkan melalui perwatakannya. Janji adalah merupakan satu faktor yang amat dipentingkannya. Setiap janji perlu dikotakan dalam situasi apa sekalipun. Saya masih ingat lagi satu peristiwa yang berlaku di rumahnya di Keramat. Saya ada di rumah Ustaz. Ketika itu Ustaz sedang ’bersyarah’ dengan seorang ahli yang selama ini begitu rapat dengan Ustaz. Walaupun saya kurang pasti isu yang dibualkan, namun terdengar suara tinggi Ustaz yang berasa kesal kerana kegagalan ahli berkenaan menunaikan janji untuk berjumpa Ustaz pada tarikh yang telah ditentukan.

”Walaupun hujan ribut sekali pun. Kalau dah janji mesti ditunaikan.” Itulah antara lain kata-kata yang dikeluarkan Ustaz padanya. Banyak kata-kata lain yang saya dengari. Saya jadikan buat panduan dan pegangan diri saya sendiri. Setelah peristiwa tersebut, saya tidak pernah nampak muka ahli tersebut sepanjang kegiatan saya dalam SC.

Peristiwa yang berlaku itu benar-benar memberi kesan dalam tindak tanduk dan pegangan saya. Ustaz bersifat tegas dengan janji yang dilafazkan. Kalau tidak berdaya untuk menunaikan janji, lebih baik jangan berjanji. Orang yang tidak menunaikan janji adalah merupakan pembohong besar. Lain yang dicakap maka lain pula yang dilakukan. Orang-orang ini melambangkan sifat tidak tegas dan sambil lewa. Oleh itu kalau kita meletakkan satu tanggungjawab yang besar padanya, pasti akan menemui kegagalan dalam pelaksanaannya.

Saya dapat simpulkan, mereka yang tidak menunaikan janji adalah petanda mereka itu tidak mempunyai sifat ketegasan. Jika sifat ketegasan itu tidak ada maka berhati-hatilah ketika memberi kepercayaan pada mereka. Pada anggapan saya, jika mereka diarah atau diberi tanggungjawab untuk menjalankan satu-satu tugas atau amanah yang besar, pasti akan menemui kegagalan. Apa yang kita harapkan, pastinya tidak akan kesampaian. Itulah kesimpulan saya hasil pengalaman saya bersama Ustaz yang telah ’bersyarah’ pada ahli yang tidak menunaikan janji tersebut.

Sepanjang saya menjalankan amanah memegang pentadbiran beberapa organisasi, soal menunaikan janji amat saya beratkan. Malah, saya telah jadikan prinsip menunaikan janji sebagai satu kayu ukur untuk menentukan seseorang itu boleh dipercayai ataupun tidak atas tanggungjawab menjalankan satu-satu tugas. Orang yang sering tidak menunaikan janji, pasti akan saya ketepikan daripada jawatan pengurus sesuatu program. Nampaknya, tindakan saya tersebut benar-benar mendatangkan kesan yang baik pada organisasi yang saya pimpin.

Ketika saya mewariskan jawatan tertinggi cawangan, soal menepati janji juga saya utamakan. Harap-harap berkekalan sifat yang sedemikian. Apa yang dijanji maka perlu dikotakan. Jangan sesekali dikotekan.

Sesungguhnya, sifat dan sikap mengambil berat pada janji adalah merupakan satu lambang ketegasan yang ada pada Ustaz. Hal yang demikian telah menjadikan anak didik Ustaz sentiasa berhati-hati ketika berhubung dengan Ustaz.

Bercakap tentang janji, tentunya saya tidak boleh melupakan satu pengalaman bersama Ustaz. Beliau menjanjikan satu petua tapi ditangguhkan pada satu hari yang lain. Saya menunggu begitu lama hingga terlupa akan janji tersebut. Sehinggalah lebih kurang enam tahun berlalu baru Ustaz tunaikan janji tersebut sebelum Ustaz pergi buat selama-lamanya.

Satu lagi perwatakan Ustaz yang melambangkan ketegasannya ialah, ”Cakap serupa bikin.” Hal yang demikian boleh kita lihat sama ada dalam bentuk pesilatan yang diajarnya atau tindak tanduknya dalam konteks hubungan sesama manusia dalam organisasi SC.

Dalam bidang persilatan, ’cakap serupa bikin’ adalah merupakan satu kenyataan dan bukannya satu perasaan atau hayalan. Kehebatan SC yang dibuktikan secara lisan, boleh diperlihatkan dalam gerakannya. Saya banyak kali menulis tentang hal yang demikian.

Namun begitu, ada juga dalam kalangan Jurulatih yang tidak dapat menyelaraskan diri antara percakapan dengan perbuatan. Hal yang demikian tentunya akan menyebabkan diri Jurulatih berkenaan akan kurang dihormati. Saya boleh lihat akan kelemahan tersebut ketika menurunkan buah-buah SC. Sebelum mereka membuat penerangan, biasanya Jurulatih akan memberi buah terlebih dahulu secara pesilat menumbuk mereka. Perbuatan mereka diperhatikan oleh para pesilat. Salah satu sifat pembelajaran ialah pemerhatian pada pelakuan. Apa yang diperhatikan adalah lebih banyak kesannya daripada apa yang diterangkan.

Malangnya, ketika membuat penerangan, apa yang diperhatikan oleh persilat pada gerak mereka, berlainan dengan apa yang diterangkan. Tentunya pesilat akan kurang berpuas hati dan akan merujuk pada Jurulatih yang lain. Hal yang demikian akan mendatangkan satu kesimpulan yang tersendiri dalam kalangan anak murid silat yang dipimpinnya ke atas diri Jurulatih tersebut.

Di samping wujud kelarasan antara lisan dan perbuatan dalam bidang persilatan, Ustaz juga memperlihatkan prinsip ’cakap serupa bikin’ dalam tindak tanduknya sebagai seorang pemimpin. Perkara pastinya ialah kehebatannya sendiri dalam menguasai persilatan yang dianjurkannya. Saya ada pengalaman pada satu peristiwa ketika Ustaz menurunkan buah potong di cawangan saya. Salah seorang pesilat cuba membuat satu gerakan yang berbeza dari yang sepatutnya. Di situ memperlihatkan kehebatan Ustaz mengatasi gerak yang dianggap nakal tersebut. Mungkin banyak lagi contoh yang tidak perlu saya tuliskan di sini.

Walau bagaimanapun, ketegasan Ustaz juga sentiasa diperlihatkan dalam tindakannya. Apabila timbul sesuatu peristiwa yang boleh mengancam masa depan persilatan SC, Ustaz akan mengambil tindakan segera. Itulah lambang ketegasannya. Banyak contoh yang berlaku dapat dirujuk bagi membuktikan kata-kata saya tersebut. Kita boleh lihat sendiri tindakan Ustaz yang telah merehatkan beberapa orang ahli persatuan daripada terus bergiat dalam persilatan. Nama-nama yang berkenaan pernah saya bincangkan dalam penulisan yang terdahulu.

Ketegasan Ustaz juga disertai dengan perancangan yang jitu. Hal yang demikian telah menyebabkan semua pihak berasa kagum dengan kemahiran penakulannya itu. Misalnya, ketika kebanyakan silat Melayu belumba-lumba bertapak dalam kalangan anggota pasukan askar dan polis, Ustaz menyusun strategi untuk bertapak di universiti. Walaupun ada pendapat supaya menumpukan perhatian dalam kalangan anggota polis dan tentera, Ustaz tetap bertegas dengan pendapatnya. Sesungguhnya, strategi Ustaz mengena.

Di sebalik ketegasan Ustaz, tetap ada kelembutannya. Kita berasa senang untuk bergaul mesra. Ustaz juga mudah didekati. Hal yang demikian menjadikan perwatakan Ustaz dikagumi oleh semua lapisan ahli. Maka eloklah dicontohi kehebatan Ustaz tersebut sebagai seorang pemimpin organisasi.

 
Comments Off on 4.0 KETEGASAN

Posted by on 05/06/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: