RSS

3.0 MESRA

02 Jun

Dalam satu mesyuarat yang saya hadiri bersama dengan ketua jabatan, beliau dengan tegas menyatakan betapa pentingnya kaki tangan menunjukkan sifat kemesraan sesama ahli organisasi atau dengan pelanggan. Padanya, kemesraan boleh ditunjukkan melalui senyuman. ”Kita perlu sentiasa senyum dalam apa suasana pun.” Demikianlah kata-kata tegasnya kepada kami yang juga sedang memimpin satu-satu organisasi yang tertentu.

Sesama kami yang hadir hanya saling berpandangan dan menguntum senyum simpul sahaja. Apa tidaknya. Cakap tidak serupa bikin. Air muka ketua jabatan itu sendiri pun tidak mudah dan amat jarang melahirkan senyuman kepada kami sama ada ketika berhubung dalam mesyuarat atau dalam satu-satu majlis. Mukanya serius. Memang tak pernah senyum. Apabila berbicara dengannya, sering melahirkan ketegangan. Tidak ada kemesraan langsung. Orang ketawa, beliau baru nak senyum. Itu pun hanya senyum sumbeng. Kedekut senyum. Tapi, yang hairannya macam mana orang seperti itu boleh mengeluarkan arahan supaya sentiasa senyum. Pada hal, beliau sendiripun tersangat susah untuk senyum.

Arahan yang diberinya, secara langsung telah menyebabkan kami semua yang tersenyum. Senyuman lahir dari kesimpulan kami padanya, ”Cakap tak serupa bikin.” Saya rasa, cakap tak serupa bikin adalah merupakan penyakit yang sering melanda manusia. Lain yang dicakap atau disaran maka lain pulak yang dilakukan.

Terkenang dengan kefahaman yang ada pada saya dalam SC. Senyum ada kaitan dengan mesra. Ustaz telah mengajar kita betapa pentingnya hubungan mesra sesama ahli SC. Semasa saya memimpin persatuan cawangan, hal yang demikian sangat saya ambil berat. Hubungan mesra sesama ahli adalah merupakan satu agenda utama yang ditekankan dari masa ke masa.

Kemesraan yang ada dalam SC dapat dilihat dalam pelbagai perkara. Hal yang demikian termasuklah soal-soal yang berkaitan dengan bidang persilatan atau dari sudut hubungan kemanusiaan sesama ahli. Saya pernah membincangkan prinsip mesra dalam tulisan-tulisan yang terdahulu.

Pada awal perkembangan SC, Ustaz sangat mementingkan hubungan mesra sesama ahli, terutamanya ahli-ahli yang datang dari luar lingkungan ibu pejabat. Pada masa dulu, perhubungan antara cawangan dengan pusat sangat jauh dan mengambil masa. Lebuh raya belum ada lagi. Ustaz menyarankan agar ahli-ahli di ibu pejabat mempelawa rakan-rakan dari luar KL agar datang ke rumah. Satu bentuk kemesraan yang dianjurkan Ustaz. Begitulah penekanan yang telah diberikan Ustaz bagi mempastikan semual lapisan ahli yang musafir dan memerlukan bantuan, dilayan dengan sebaik mungkin.

Di peringkat cawangan, saya rasa banyak majlis kenduri kendara anjuran ahli atau keluarga mereka yang melibatkan ahli-ahli SC yang lain. Tentunya keadaan tersebut dapat melahirkan hubungan mesra yang bertambah dalam kalangan ahli.

Budaya memberi salam dalam SC menunjukkan konsep kemesraan sangat diberatkan. Salam yang dilakukan adalah berbentuk lisan atau perbuatan. Secara lisan, biasanya sesama ahli akan menegur dengan ucapan selamat sejahtera. Manakala secara perbuatan dapat kita lihat melalui bersalaman tangan.

Bentuk-bentuk salam yang berkenaan telah menjadi satu budaya unggul dan budaya tinggi yang terdapat dalam SC. Hal yang demikian melambangkan kemesraan yang ada.

Cuma, saya perhatikan ketika ini minat pemberi salam secara berjabat tangan, tidak menunjukkan kesungguhan. Ramai yang memberi salam sambil lewa sahaja. Tangan dihulur tapi mata memandang ke arah lain. Seolah-olah pada mereka, menghulurkan tangan untuk bersalam sebagai satu bebanan. Pada saya, hal yang demikian memperlihatkan diri mereka yang perasan hebat dan perasan diri mereka mengatasi kehebatan penerima salam.

Sepanjang pengalaman saya, menguhulurkan tangan tanpa memandang mata atau muka hanya dilakukan oleh mereka yang berkedudukan tinggi atau menganggap makam diri lebih tinggi berbanding dengan penerima salam tangan tersebut. Saya tak pernah lihat atau alami, mereka yang berada pada golongan ’bawahan’ yang menghulurkan tangan , tapi mata memandang ke arah lain.

Dalam silat, pastinya, pemberi salam yang tidak memandang muka atau mata adalah terdiri dari para Jurulatih atau pemegang jawatan tinggi yang selalu lupa daratan dan lupa lautan. Namun begitu, pastinya apabila mereka bersalam dengan Guru Utama, mata tetap memandang mata atau muka. Pada orang lain, belum tentu. Apatah lagi orang itu tidak ’berkenaan’ padanya.

Dalam organisasi pekerjaan, tentunya pemberi salam yang tidak memandang mata atau muka tersebut adalah terdiri daripada barisan atasan atau golongan tertinggi. Tak pernah saya lihat orang bawah yang menghulurkan tangannya kepada ketua atau bosnya secara sambil lewa tanpa memandang mata atau muka. Di situlah menampakkan sifat ego yang wujud dalam kalangan manusia hidung tinggi yang kita hubungi.

Jika kita pengamal SC, hal yang demikian tentunya tidak mendatangkan sebarang kesan pada perasaan kita. Itulah pendapat dan pengangan saya. Berdasarkan kefahaman Ustaz, manusia yang hebat, semakin lama semakin merendah diri. Umpama padi yang semakin tunduk apabila semakin berisi. Berbeza dengan sifat lalang yang berakar umbi mencengkam buki dengan merosakkan tanaman lain. Tapi pendiriannya tidak tetap. Condong ikut tiupan angin. Lambang manusia yang berkepentingan diri.

SC mengasuh anak didiknya supaya menyedari hakikat diri. Sedar diri bermakna kenal diri. Kita sedar betapa pangkat, kekayaan, kehebatan dan sebagainya hanya sementara dan berbentuk pinjaman semata-mata. Kalau kita menyedari hakikat tersebut maka secara langsung kita akan sedar diri. Apabila kita sedar diri, secara langsung juga, sifat bongkak, pandang rendah pada orang lain atau sebarang bentuk pelakuan negatif yang lain dapat dihindarkan. Orang-orang jenis inilah apabila salam menghulurkan tangan, akan tetap menghormati orang yang disalam secara merenung matanya tanpa mengira siapa mereka sebenarnya. Hal yang demikian juga adalah merupakan ajaran agama kita.

Kalau kita benar-benar memahami dan mengamalkan ajaran SC yang ditinggalkan Ustaz Hanafi, maka dapatlah kita menyesuaikan diri dengan pelbagai bentuk pelakuan manusia yang bersifat sombong atau bersifat angkuh.

Kita tentunya sering berhadapan dengan manusia yang panas baran. Apatah lagi jika orang itu merupakan ketua kita. Sebagai pengamal SC, sifat panas baran mereka itu tidak akan meninggalkan kesan takut pada diri kita. Malah kita berasa kesihan atas sifat mereka yang tak sedar diri. Bila-bila masa saja kita boleh ’lepuk’ mereka. Tapi kita bukan jenis mereka yang baran atau sombong tak tentu pasal. Itulah kehebatan yang ada pada pengamal SC.

Sebagai pengamal SC juga, kita sering disarankan agar sentiasa mengamalkan sifat rendah diri. Hal yang demikian adalah bersesuaian dengan sifat bangsa kita yang sangat berbudi bahasa. Cuma, jangan lupa akan sifat Melayu itu sendiri. Umpama duri yang melayukan diri. Tapi jangan dipijak. Akibat buruk kesannya. Kalau pengidap kencing manis, tentunya akan berakhir dengan ’potong kaki’.

Panas baran bukannya satu pelakuan yang baik pada pengamal SC. Panas baran biasanya akan mengundang penyakit roh. Salah satu penyakitnya ialah darah tinggi. Dalam kefahaman SC, untuk keseimbangan pada sifat yang ’melampau’ seperti baran atau marah yang melebihi had, kita disarankan supaya sentiasa berselawat. Banyak ajaran dan nasihat mengenainya telah diajari Ustaz. Saya telah sentuh dalam tulisan yang terdahulu.

Namun begitu, kita tetap disaran supaya mempunyai ilmu isyarat. Saya beranggapan bahawa ilmu isyarat adalah penting supaya orang tahu tentang diri kita. Air muka kita, tutur kata kita, tingkah laku kita, semuanya merupakan isyarat pada orang lain. Alangkah malangnya diri kita apabila ada yang mengatakan, ”Aku tak tahu tentang dirinya. Bila masa dia marah. Bila marah dia suka. Bila masa dia benci.” Apatah lagi jika orang yang dikomen itu seorang pemimpin dalam sesebuah organisasi atau dalam institusi keluarga sendiri.

Dalam konteks ilmu isyarat, tak perlu menuntut beria-ria sangat ilmu berkenaan. Tak payah penggerun. Sama ada penggerun muka atau penggerun apa saja. Tak payah semak-semak. Cuma, fahamkan diri. Sifat manusia pasti memiliki pelbagai sifat dan perasaan yang umum. Semuanya kita ada. Kita ada perasaan marah, suka, gembira dan sebagainya. Janagan simpan sepanjang masa. Bayangkan jika anupun selalu disimpan tanpa guna. Pasti akan pening kepala.

Tugas kita, tunjukkan atau keluarkan sifat-sifat tersebut pada mereka yang ada di sekeliling kita pada masa-masa keperluan yang tertentu sahaja. Jangan sepanjang masa. Namun begitu, jangan lupa prinsip kesederhanaan. Jangan melampaui batas kemarahan, melampaui batas kegembiraan atau melampaui batas kesukaan atau pujian atau kejian. Sekadar memberi isyarat kepada orang lain tentang pelakuan kita.

Hal yang demikian penting supaya orang yang berhubung dengan kita dapat juga memahami perwatakan kita. Apabila wujud sifat saling memahami, secara langsung kita akan berjaga-jaga dalam konteks hubungan. Maka akan lahirlah kemesraan sesama kita. Kemesraan yang wujud akan memudahkan kita memberi senyuman sepanjang masa. Sekian.

 
Comments Off on 3.0 MESRA

Posted by on 02/06/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: