RSS

2.2 STAIL DALAM KEPEMIMPINAN III

29 May

Bahagian Ketiga

Berdasarkan pengalaman saya, stail kepemimpinan secara mutlak atau secara autokrasi itu akan mendatangkan kesan yang baik jika kepimpinan tertinggi mempunyai kelebihan-kelebihan yang tidak dimiliki oleh anak biji buahnya. Saya lebih suka menggunakan biji buah memandangkan anak muridnya adalah terdiri dari lelaki dan wanita. Hal yang demikian bermaksud dalam satu-satu organisasi itu, hanya ketua atau pengurus atau pemimpin tertinggi itu sahaja yang mengetahui atau berpengalaman hebat, berbanding dengan dengan ahli-ahli lain dalam organisasi yang dipimpinnya. Pengurusan secara mutlak akan memberi kesan optimum yang sangat hebat.

Walau bagaimanapun, di sebalik kelebihan itu, pastinya ada juga kelemahannya. Saya tidak menafikan betapa stail kepemimpinan autokratik atau mutlak itu menghadapi risiko kegagalan. Hal yang demikian akan berlaku jika adanya kepakaran dan kemahiran yang tertentu pada ahli-ahli yang dipimpin. Kepemimpinan secara mutlak mempunyai kecenderongan untuk menafikan sumbangan mereka hingga mungkin penglibatan mereka tidak digunakan langsung. Mereka tidak diberi ruang untuk melahirkan pendapat. Kalau memberi pendapatpun, pendapat atau pandangan mereka akan terketepi begitu sahaja.

Kalau sikap mereka adalah ’tak kisah’, mungkin pergolakan dalam organisasi itu tidak akan berlaku. Sebaliknya, apabila mereka ambil kisah, maka mulalah lahir bibit-bibit perasaan tak puas hati dari masa ke masa. Akhirnya memungkinkan wujudnya penentangan mereka yang selalunya dianggap sebagai orang bawahan.

Jika kita memahami prinsiip kepemimpinan secara mutlak seperti yang saya simpulkan dalam tulisan ini, maka kita bolehlah mengaitkan semua pergolakan yang telah berlaku dalam persatuan kita dengan perbincangan yang saya telah utarakan. Walau bagaimanapun, pendapat tersebut mungkin kurang maknanya dalam perkembangan awal dunia persilatan kita.

Dalam sejarah persilatan SC, saya berpendapat bahawa kuasa mutlak yang ada pada Guru Utama telah dapat diterima oleh semua lapisan ahli pada peringkat awal. Tidak ada sesiapa yang berani membantah akan stail kepemimpinan Ustas. Arahan Ustaz sentiasa dipatuhi. Golongan penentang yang wujud, telah terkubur begitu sahaja. Usaha-usaha untuk menjatuhkan Ustas tidak memberi kesan atau tidak mendatangkan apa-apa makna. Hal yang demikian adalah kerana Guru Utama sahaja yang tahu tentang alam persilatan SC dan mengetahui hala tuju persatuan yang ingin dibawanya ketika itu. Semua ahli berhutang budi pada Ustaz. Kerana Ustazlah maka mereka mengenali bidang persilatan dengan lebih mendalam. Tambahan pula, melalui Ustazlah maka para ahli SC lebih memahami prinsip hidup dalam kehidupan sehari-hari.

Namun begitu, masa tetap berganti masa. Kepemimpinan Ustaz adalah mantap dan SC telah berkembang pesat dari masa ke masa. Semua kegiatan yang dilakukan ketika itu adalah berfokas untuk memenuhi kehendak Ustaz sebagai Guru Utama merangkap Presiden Persatuan SC. Tidak hairanlah Ustaz dilantik sebagai Presiden seumur hidup tanpa perlunya persaingan daripada ahli yang lain. Dari kaca mata biasa, tidak ada dalam kalangan ahli yang boleh bersaing dengan kehebatan Ustaz, walaupun telah mula wujud manusia yang berperasan demikian.

Sepanjang kepemimpinan Ustaz, beliau telah berjaya melahirkan ramai pengikut yang merupakan anak biji buahnya. Tambahan pula pada ketika itu, golongan cerdik pandai telah mula menceburi bidang persilatan yang dibawa Ustaz. Konsep silat Melayu yang hanya diwarisi oleh ’orang kampung’, telah mula berubah. Kebanjiran golongan bijak pandai dalam SC, erat kaitannya dengan penapakan SC di pusat-pusat pengajian tinggi. Mereka telah dapat menguasai persilatan dan memahami hala tuju persatuan dengan cepat.

Ketika itu, saya dapat perhatikan betapa kuasa mutlak yang ada pada Guru Utama mula dikongsi bersama dengan orang-orang kanannya. Dalam hal-hal yang tertentu sahaja, kuasa mutlak Ustaz sangat ditagih oleh kepimpinan persatuan. Mereka lebih rela agar Ustaz sendiri yang memberi kata muktamat atau kata putus dalam satu-satu perkara. Kepemimpinan secara mutlak atau secara autokratik masih releven lagi selagi kerana ahli tetap mengakui keperluannya.

Walau bagaimanapun, ketika itu ramai juga dalam kalangan anak murid Ustaz yang perasan betapa diri mereka benar-benar telah memahami bidang persilatan dan benar-benar memahami tentang hala tuju silat dan hala tuju persatuan. Hal yang demikian, telah mendatangkan petaka setelah pemergian Ustaz. Petaka yang datang itu semakin parah apabila mereka juga menganggap betapa diri mereka turut memberi sumbangan besar dalam perkembangan SC.

Maka penggunaan kuasa mutlak dalam kalangan guru pengganti Ustaz mungkin mula tergugat kerana secara tidak langsung stail kepemimpinan yang demikian telah mula dipersoalkan. Akhirnya, telah menyebabkan berlakunya beberapa siri pepecahan dalam persatuan kita apabila kuasa mutlak Guru Utama yang berikutnya mula dipersoalkan. Saya tidak akan membincangkan lagi tentang perkara-perkata yang berkaitan dengan pepecahan tersebut. Cuma, saya hanya ingin kaitkan antara kuasa mutlak guru yang ada selepas Ustaz, dengan suasana yang ada ketika itu.

Seperti yang ditegaskan, seiring dengan perkembangan SC, telah mewujudkan ahli-ahli SC atau golongan-golongan anak biji buah Ustaz yang telah memiliki pengetahuan dan telah memahami hala tuju persilatan dan persatuan. Apabila ahli-ahli menganggap dirinya lebih tahu tentang persilatan dan hala tuju persatuan, maka lahirlah saingan pada kepemimpinan Guru Utama yang ada.

Saya telah nyatakan dalam tulisan terdahulu. Satu dari kesan pengurusan bercorak mutlak atau autokrasi ialah memungkinkan penentangan daripada ahli yang telah ada kemahiran atau pengetahuan yang sama seperti ketua atau pemimpin atau pengurus pada sesebuah organisasi. Pada mereka yang berminat dengan kenyataan saya tersebut, eloklah dibuat kajian secara terperinci. Saya tidak berminat melanjutkan perbincangan ini.

Walau apa pun keadaan yang wujud, saya tetap berkeyakinan berdasarkan pengalaman bahawa stail kepemimpinan mutlak atau dikatakan sebagai autokratik, sangat sesuai digunakan dalam dunia persilatan kita. Hal yang demikian adalah kerana ketua atau pemimpin atau guru sahaja yang patut menentukan matlamat dan boleh menjawab pada setiap soalan dan persoalan tentang bidang persilatannya atas konsep tanggungjawab. Pada saya, hal yang demikian ada logiknya.

Tugas Guru dalam SC adalah satu tugas yang profesional. Bukannya kerja separuh masa. Kehidupan guru adalah bergantung pada dunia persilatannya. Para pengikut atau anak muridnya tentulah ada pekerjaan lain atau memegang bidang profesyen yang lain. Maka tentulah pengikut silatnya pasti kurang komitmen berbanding dengan peneraju utama persilatan. Oleh itu, apabila persilatan itu menghadapi suasana yang kritikal atau mendesak, maka kaedah guru yang menggunakan kuasa mutlak adalah merupakan sesuatu yang tepat dan amat sesuai.

Sekian tentang tajuk ini.

 
Comments Off on 2.2 STAIL DALAM KEPEMIMPINAN III

Posted by on 29/05/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: