RSS

2.1 STAIL DALAM KEPEMIMPINAN II

28 May

Bahagian Kedua

Dalam persilatan SC, Guru Utama adalah merupakan kuasa yang tertinggi. Tugasnya adalah sepenuh masa dan bersifat profesional. Manakala orang-orang kanannya mempunyai bidang kerja yang lain, selain bertindak sebagai Jurulatih atau pentadbir dalam persatuan SC. Oleh itu, kuasa mutlak guru untuk menentukan peraturan-peraturan yang mesti diikuti dalam persilatannya perlu diakui oleh semua lapisan masyarakat ahli yang ada dalam persilatannya. Jangan merungut atau melahirkan perasaan tak puas hati. Rungutan akan tidak ke mana. Lebih banyak mengundang keburukan daripada kebaikan.

Oleh sebab guru atau pemimpin sesuatu organisasi itu yang akan menentukan hala tuju dan peraturan yang patut diikuti, secara langsung kuasa pemutus dalam semua hal yang berkaitan dengan hala tuju organisasi adalah secara dari ’atas turun ke bawah’. Prinsip atas ke bawah adalah merupakan bentuk komunikasi yang berkesan dalam pengurusan yang sedemikian. Orang bawahan termasuk orang kanannya hanya menerima apa saja arahan. Mereka tidak perlu memberi maklumat balik. Buang masa dan mengambil masa dalam pelaksanaan sesuatu program.

Berdasarkan suasana tersebutlah menampakkan satu stail kepemimpinan dalam kalangan mereka yang seolah-olah bersifat mutlak atau autokratik. Saya tetap berpendapat bahawa itulah cara yang terbaik untuk mengembangkan bidang persilatan dengan kemas dan teratur.

Ketika saya memegang kepemimpinan cawangan tempoh masa yang lalu, stail kepemimpinan demikian telah saya praktikkan. Pada masa itu hanya saya seorang sahaja yang tahu tentang SC. Ahli jawatankuasa yang baru terlantik adalah merupakan ahli-ahli yang baru menceburi dunia persilatan SC. Oleh sebab saya seorang sahaja yang mengetahui hala tuju SC diperingkat pusat maka di peringkat cawangan, saya berpendapat bahawa hanya saya seorang sahaja yang layak untuk menentukan hala tuju SC di cawangan. Orang lain tidak boleh banyak cakap. Ikut sahaja hala tuju yang ingin saya asaskan kerana anak didik saya juga sependapat dengan corak pengurusan yang saya bawa.

Semua pengikut saya tidak membantah. Semuanya menerima bentuk kepemimpinan yang sedemikian. Cuma apabila ada dalam kalangan anak didik saya mendapat tempat di tahap pengurusan yang yang lebih tinggi di pusat, maka barulah lahir sikapnya yang tersendiri. Sikap penerimaan stail kepemimpinan saya telah mula berubah. Umpama orang yang baru dapat bini. ”Siang malam asyik koner baring.”

Dalam bildang pengurusan organisasi, selalu saya perhatikan betapa sikap yang ada pada kita akan mempengaruhi sifat kita. Biasanya, mereka yang baru dapat kuasa dan amat kagum dengan kuasa yang ada pada dirinya, akan menunjukkan sifat kekuasaan. Maka jadilah ’pertunjukan kekuasaan’ sebagai fokas utama. Kekuasaan yang ditunjukkan adalah secara lisan atau melalui pelakuannya. Pelakuan dilambangkan melalui tingkah laku yang menampakkan kesombongan. Manakala secara lisannya, akan melahirkan kata-kata kasar atau kata-kata yang bertujuan menyakitkan hati orang lain.

Tidak hairanlah jika dikatakan stail kepemimpinan saya umpama pemerintahan monarki yang mementingkan kuasa diri. Stail saya juga dikatakan umpama raja yang sentiasa ingin disanjung. Semua kehendak perlu dipenuhi. Pengikut saya dikatakan umpama burung tekukur. Menurut tanpa membantah. Juga dikatakan pengikut saya umpama ayam berak kapur kerana tidak berani membantah.

Berbalik pada mereka yang baru berkuasa di pusat dan mula terpengaruh dengan peribahasa gila kuasa ketika saya memimpin cawangan dulunya. Kuasa yang ada akan lebih bermakna jika mereka berjaya menguasai cawangan-cawangan yang ada. Apabila cawangan saya gagal dikuasai atau apabila riaksi cawangan bertentangan dengan kehendak kepentingan diri, maka mulalah mereka mengeluarkan pendapat atau komen. Semuanya berpunca akibat kegagalan mereka menguasai pengurusan cawangan saya. Cakap mereka jarang saya ikuti. Oleh itu, terpaksalah mereka mengeluarkan pendapat bagi kepuasan diri mereka sendiri. Kepemimpinan mutlak yang saya amalkan, dianggap tidak baik dan pelbagai pendapat lagi.

Saya cuba menarik perhatian para pembaca tentang isu yang demikian untuk melihat tentang pengurusan saya secara mutlak di cawangan. Tapi saya berpuas hati. Sepanjang pengurusan saya di cawangan, pepecahan dalam kalangan ahli SC tak pernah berlaku. Keputusan dan pemikiran kami adalah sebulat. Kata putus terletak pada saya yang bertindak sebagai pemimpin persatuan dan sebagai Jurulatih Kanan yang juga merupakan wakil guru di cawangan. Cawangan saya terus berkembang dengan mengekalkan ’keaslian’ fahaman Ustaz Hanafi sama ada dari segi kefahaman fikiran atau fahaman persilatannya. Tidak mudah ’orang luar’ dapat mempengaruhi pengurusan yang ada pada organisasi SC yang saya pimpin.

Apabila cawangan menjadi mantap, pengurusan cawangan telah diserah kepada orang lain. Ketika itu telah wujud dalam kalangan ahli pimpinan saya yang mungkin telah memahami hala tuju persilatan dan hala tuju persatuan. Tidak pulak saya terus-menerus mengekalkan kuasa seperti yang didakwa umpama raja. Apabila saya menerima isyarat untuk menyerahkan kuasa, terus saya berbuat demikian.

Kuasa mutlak saya pada satu ketika yang lalu telah berganti. Harap-harap pengganti saya tidak mudah ditaji dan ditali. Tapi, kalau ditali dan ditaji, di bahagian mana ye. Tak boleh jawab. Pastinya di bahagian atas dan bukannya di bahagian bawah yang sememangnya ada tali dan taji.

Kegiatan dan penglibatan saya masih berterusan. Walaupun saya pernah dilantik sebagai punesihat persatuan di peringkat cawangan, tidak semua pandangan saya dipatuhi. Ada juga nasihat saya yang lalu di celah kangkang sahaja walaupun saya lebih mengetahui asal usul perjuangan SC di cawangan saya sejak dari puncanya. Pengurusan secara mutlak telah tidak sesuai lagi diamalkan di cawangan yang pernah saya pimpin.

Saya kenangkan dalam tulisan ini untuk memberitahu para pembaca tentang bahayanya sifat berseronok dengan kuasa yang ada hingga boleh menjadikan kita gila kuasa. Orang yang gila kuasa juga dapat dianggap cuba menjadikan dirinya berkuasa mutlak. Sesebuah organisasi itu akan menjadi malang jika memiliki golongan gila kuasa yang kurang pengetahuan dan kurang pengalaman. Pemikiran mereka akan menjadi tidak luas atau tidak besar dan sering memikir perkara-perkara yang kecil atau remeh.

Bebalik pada stail yang dikatakan mutlak atau autokratik. Pada saya, arahan mutlak dapat mempastikan segala matlamat yang dirancang mudah dicapai dan boleh dicapai secara cepat. Tidak banyak masa yang digunakan untuk terus berbincang dari masa ke masa. Perbincangan yang berlarutan akan membantutkan tindakan segera. Pada hal, tindakan bagi mencapai hasrat tersebut boleh dilakukan dengan cepat jika kuasa mutlak diterima pakai oleh ahli-ahli yang ada. Kita boleh terus bekerja tanpa ada halangan birokrasi atau memikirkan halangan-halangan yang ada.
Sambung lagi.

 
Comments Off on 2.1 STAIL DALAM KEPEMIMPINAN II

Posted by on 28/05/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: