RSS

2.0 STAIL DALAM KEPEMIMPINAN I

25 May

Bahagian Pertama

Saya masih ingat tentang amalan berbincang bersama dengan Ustaz ketika saya berada sebagai ahli jawatankuasa pusat. Dalam perbincangan biasa terutama yang berkaitan urusan seharian, menampakkan peranan Ustaz lebih sebagai seorang fasilitator atau sebagai pemudahcara. Nasihat yang diberi adalah dalam pelbagai bentuk bagi membolehkan para anak muridnya membuat pilihan dalam penyesuaian antara diri dengan saranan-saranannya itu. Hal yang demikian juga memberi peluang kepada anak muridnya supaya membuat keputusan sendiri secara berpandu.

Begitu juga dalam bidang pengurusan semasa mentadbir sebuah organisasi. Berdasarkan pengalaman saya bersama Ustaz dalam barisan kepimpinan persatuan, perbincangan dilakukan dalam konsep musyawarah. Ahli-ahli jawatankuasa tetap berpeluang untuk mengeluarkan pendapat atau mengemukakan bantahan. Walhal, Ustaz boleh menentukan sesuatu dengan hanya mengeluarkan kata-kata tegasnya sahaja. Namun begitu perkara yang demikian tidak berlaku dengan sewenangnya-wenangnya dalam pengurusan organisasi yang Ustaz pimpin.

Kerap kali dalam satu-satu mesyuarat yang diadakan bersama Ustaz, ahli-ahli jawatankuasa yang tertentu membentangkan kertas kerja untuk maksud perbincangan. Akhirnya kata putus ditentukan melalui undian atau keputusan sebulat suara. Biasanya bentuk-bentuk mesyuarat yang sedemikian adalah berdasarkan kerja-kerja harian biasa atau program-program persatuan yang biasa, tapi perlu dibincangkan dalam satu mesyuarat ke mesyuarat yang lain.

Walau bagaimanapun, saya dapat lihat betapa dalam suasana pengurusan yang serius, watak Ustaz boleh beralih sifat dari segi kepemimpinan. Kepimpinan secara mutlak boleh menggantikan kepimpinan bercorak demokratik. Itulah istilah kepemimpinan yang saya gunakan berdasarkan pandangan peribadi saya. Saya mentafsirkan bentuk kepemimpinan tersebut untuk merujuk stail kepimpinan yang diamalkan, berdasarkan pengalaman saya sendiri bersama Ustaz. Rujukan saya adalah berdasarkan kefahaman dan tafsiran saya tentang bentuk kepemimpinan yang berkenaan.

Dalam konteks kepemimpinan secara mutlak, semua arahan adalah merupakan dasar dan tidak boleh dipersoalkan lagi. Dalam konteks beberapa peristiwa yang berlaku dalam pengurusan organisasi kita, saya dapat lihat beberapa contoh yang boleh dikongsi bersama dengan para pembaca. Apabila stail kepemimpinan itu dilaksanakan, semua orang kanan Ustaz, lebih-lebih lagi para pengikut yang lain, perlu akur dan menyusun strategi bagi mempastikan arahan Ustaz itu menjadi kenyataan. ’Jangan banyak soal atau jangan banyak menimbulkan persoalan’.

Saya masih ingat satu peristiwa ketika kita diundang oleh sebuah pertubuhan silat untuk mempertemukan SC dengan seteru tradisi persilatan kita ketika itu. Kalau tak silap saya, majlis yang diadakan itu adalah bersempena dengan konvensyen silat Melayu sedunia. Sudah semestinya, asal usul silat kita dijadikan tema utama perbincangan. Setahu saya, jemputan tersebut bukannya ikhlas, melainkan ingin memalukan persilatan kita yang mereka anggap bukannya asli dan bukannya hak Ustaz Hanafi.

Ustaz menyedarinya. Saya berkeyakinan Ustaz telah membuat tindakan dengan cara membuat arahan tanpa ada persoalan. Arahan yang sedemikian, saya tafsirkan sebagai kepemimpinan bercorak mutlak. Beberapa strategi telah dirangka Ustaz. Hal yang demikian termasuklah menerbitkan satu dokumen yang membuktikan kebenaran SC. Semua muridnya akur akan arahan tersebut.

Strategi Ustaz mengena. Majlis pertemuan itu telah gagal untuk mempersoalkan keaslian SC yang dipimpin Ustaz. Ramai murid Ustaz berasa lega dan puas. Kemenangan dan kebenaran telah berada di pihak SC. Ramai yang terkenangkan peristiwa tersebut dan mengeluarkan kata-kata, ”Nasib baik kita ikut arahan Ustaz….”

Ada banyak lagi peristiwa yang telah menyebabkan Ustaz menggunakan kuasa penuhnya sebagai seorang ketua atau sebagai guru atau sebagai Presiden persatuan. Ustaz tidak memberi ruang untuk orang lain membuat persoalan. Pada pemerhatian saya, semua tindakan tersebut dilakukan Ustaz dalam suasana yang tertentu atau dikenali dengan perkataan popular ketika itu, ”dalam keadaan sesak”. Begitulah hebatnya Ustaz menyusun strategi dan menegaskan supaya strategi itu diikut tanpa banyak persoalan. Stail yang demikian saya anggap sebagai stail mutlak. Ada orang lain yang mentafsirkan stail mutlak sebagai kepemimpinan bercorak autokratik.

Ramai juga yang menganggap bahawa kepemimpinan secara mutlak atau secara autokratik sebagai sesuatu yang tidak baik. Biasanya autokratik atau mutlak, dihubungkan dengan istilah kuku besi. Orang yang bersifat mutlak cuba disamakan dengan tokoh-tokoh gagal seperti Hitler dan sebagainya. Namun begitu, berdasarkan pengalaman saya mengurus sebuah organisasi, corak kepemimpinan yang sedemikian amat banyak gunanya bagi memancu sesebuah organisasi mencapai kehebatan.

Berdasarkan pengalaman bersama Ustaz, tindakan yang menampakkan arahan tanpa perlu ada perbincangan atau tanpa perlu ada persetujuan amat sesuai dalam keadaan yang tertentu. Oleh itu, perasaan negatif terhadap arahan atau corak kepemimpinan secara mutlak atau secara autokratik, tentunya tidak berasas dan tidak tepat sama sekali.

Berdasarkan pengalaman, kepemimpinan secara autokratik sangat sesuai dalam satu-satu ketika tertentu. Lebih-lebih lagi ketika kita ingin menentukan hala tuju organisasi yang kita pimpin. Perbincangan akan membibitkan perbalahan. Hal yang demikian tentunya akan merugikan masa dan tenaga. Biarlah ketua atau kepimpinan tertinggi yang menentukan hala tuju yang ingin dibawanya. Jatuh atau bangunnya sesebuah organisasi itu banyak bergantung pada kepemimpinan ketua yang ada. Biarlah ketua yang menentukan hala tuju. Golongan lain tidak perlu campur tangan.

Saya beri contoh dalam kehidupan seharian kita untuk memudahkan tafsiran kita tentang istilah mutlak atau autokratik atau kepimpinan secara demokratik. Kalau setakat menukar jendela tingkap maka eloklah kita menggunakan stail kepimpinan ”laissez fair” atau saya tafsirkan sebagai kepimpinan ’suka hati’. Isteri kita yang lebih lama berada di rumah. Tidak salah kita menyerahkan keputusan kepada beliau secara keseluruhannya. Secara bulat-bulat.

Akan tetapi, apabila melibatkan perbelanjaan yang mungkin beribu ringgit, maka eloklah diadakan perbincangan. Suami dan isteri perlu bebincang bagi mendapatkan keputusan bersama. Tak boleh biar suka hati. Kita juga tidak boleh menggunakan kuasa mutlak. Kalau diterima, alamat berhutang. Kalau ditolak maka alamat bersengketa beberapa hari. Maka, tersangatlah perlu diuntukkan masa perbincangan. Oleh itu, stail kepimpinan demokratik boleh digunakan.

Namun begitu, ketika isteri kita mengerang kesakitan untuk melahirkan anak, kepemimpinan berbentuk suka hati atau bentuk perbincangan telah tidak sesuai lagi. Kita perlu bertindak segera sebelum anak keluar dari anunya. Di sinilah tindakan atau arahan mutlak amat perlu digunakan. Kaedah autokrasi amat penting bagi menyelesaikan segera akan masalah yang dihadapi. Mana ada masa nak bincang-bincang. Terus dibawa ke hospital. Kita sambung lagi.

 
Comments Off on 2.0 STAIL DALAM KEPEMIMPINAN I

Posted by on 25/05/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: