RSS

1.0 TINGKAT TARAF DALAM ORGANISASI

19 May

1. Adab Dalam Hubungan Pengurusan.

Saya cuba menghubungkan istilah tingkat taraf atau hiraki dengan perkataan adab. Konsep adab sering dinyatakan Ustaz dalam perbualan-perbualan dengan anak muridnya dari masa ke masa. ”Orang yang tidak beradab, bermakna orang itu biadab.” Rupa-rupanya apa yang pernah diperkatakan Ustaz tentang adab dalam pergaulan atau adab dalam hubungan, sangat besar ertinya apabila kita menjawat satu-satu jawatan.

Apabila saya mula terlibat dalam bidang pengurusan manusia, barulah erti adab memberi pengertian besar pada diri saya. Saya dapat kaitkan makna adab dan menjelaskan betapa adab sangat berperanan bagi mewujudkan suasana harmonis dalam satu-satu institusi atau organisasi. Susana harmonis akan membolehkan organisasi itu maju dan mantap.

Pada kefahaman saya sekarang, prinsip beradab perlu diberi perhatian oleh setiap lapisan dalam pengurusan sesebuah organisasi. Adab akan memandu atau membentuk pola pelakuan sebenar yang patut ada pada setiap ahli dalam lapisan pengurusan tersebut. Kadang kala dirasakan seolah-olah ada garis pemisah antara orang bawahan dengan ketuanya. Lebih tegas lagi, mereka menganggap perlu adanya jurang hubungan antara ketua dengan pengikutnya dek kerana keperluan beradab dalam pengurusan.

Dalam hal inilah, saya berkeyakinan bahawa pengalaman dan pengetahuan mengendalikan manusia amat diperlukan. Jika tersilap pembawaan maka wujudlah jurang pemisah. Ketua tidak boleh bercampur dengan pengikutnya atau pun hubungan yang wujud hanya di tahap formal sahaja. Hal yang demikian akan terbawa-bawa hingga pegawai berkenaan bersara. Ketika itu, jadiah mereka seperti kera sumbang yang sukar diterima oleh masyarakat yang pernah dipimpinnya.

Dalam bidang persilatan, adab seorang murid tentunya berbeza dengan adab seorang Jurulatih ketika mereka bersemuka atau berurusan. Tentunya juga adab kedua-dua kumpulan ahli tersebut berbeza antara adab yang mereka amalkan dengan adab yang diamalkan oleh guru. Dalam hal ini, konsep ’sedar diri’ dirasakan amat penting. Berdasarkan situasi tersebut, dalam organisasi, kita tentunya dapat hubungkan tentang adab seorang pekerja dengan penyelianya dan dengan ketuanya. Begitulah sebaliknya, antara adab ketua atau penyelia dengan adab pekerjanya ketika bersua muka atau ketika berhubung.

Jikalau adab-adab pada setiap golongan itu dilanggar, tentunya akan rosak atau mengganggu perjalanan sesebuah organisasi. Dalam organisasi SC, adab yang dianjurkan Ustaz adalah jelas. Semua lapisan ahli yang wujud dalam SC, perlu menghormati Ustaz sebagai Guru Utama. Setiap lapisan ahli berkenaan perlu tahu akan kedudukan mereka. Jika setiap lapisan ahli berkenaan gagal menentukan kedudukan masing-masing, pastinya organisasi berkenaan akan berada dalam keadaan pincang. Hal yang demikian telah terbukti apabila berlakunya pepecahanm sesama kita.

Kita yang berada di lapisan bawah kepemimpinan Ustaz suatu masa yang lalu, dikehendaki akur dengan segala kata-kata atau arahan yang dikeluarkan Ustaz. Kata-kata atau arahan tersebut adalah merupakan dasar Ustaz dan juga merupakan dasar organisasi SC. Mereka yang membantah dasar Ustaz tentunya kurang disenangi dan berakhir dengan ’sayonara’. Walau bagaimanapun, nasib yang demikian tentunya berbeza jika ahli yang berkenaan pandai bermuka-muka. Di depan Ustaz lain pelakuan dan bicaranya, manakala di belakang Ustaz lain pulak pelakuan dan bicaranya. Saya tidak berminat untuk membincangkan hal tersebut.

Sifat hormat pada Ustaz selaku ketua organisasi adalah pelbagai. Dalam proses hormat murid terhadap gurunya maka lahirlah pelbagai istilah yang berkaitan. Antara istilah yang popular ialah ’taksub’. Pastinya istilah tersebut berbentuk tafsiran pada seseorang. Lain orang maka lain pula maksud taksub yang ada. Ada yang menganggap diri seseorang itu taksub, pada hal orang itu menafikannya.

Dalam konteks organisasi, hormat pekerja atau orang bawahan pada ketuanya, sering dihubungkan dengan istilah ’bodek’. Istilah itu juga banyak dipengaruhi oleh tafsiran sendiri. Biasanya tafsiran itu ada kaitan dengan perasaan iri hati atau perasaan benci. Bila benci pada ketua maka seseorang itu cuba mengheret orang lain supaya turut membenci. Jika tidak berbuat demikian dan jika seseorang itu terus-menerus berhubung dengan ketua maka akan mudahlah perkataan bodek ditujukan pada orang tersebut.

Walaupun Ustaz dilambangkan sebagai seorang yang paling berkuasa, namun begitu hubungannya dengan orang lain tidak dibataskan dengan satu tembuk pemisah, walaupun konsep adab sangat ditekankan dalam persilatan SC. Ustaz masih boleh berseloroh, gelak ketawa atau mengeluarkan kata-kata lucu ketika berhubung dengan anak muridnya. Ternampak kemesraan antara beliau dengan mereka yang berada di sekelilingnnya. Jelas pada saya betapa Ustaz masih boleh memisahkan antara perwatakan ketika menjalankan tugas hakiinya dengan watak atau sifatnya ketika membuat hubungan dengan ahli yang lain sewaktu berada di luar tugas.

Dalam konteks menjalankan tanggungjawab di sesebuah organisasi, tentunya kita pernah mendengar komen-komen tentang ketua. ”Masa bertugas dia ketua, masa luar tugas, dia boleh menjadi kawan biasa.” Kenyataan tersebut sering kita dengar daripada pegawai-pegawai atasan kita atau komen-komen yang diberi pada mereka. Pada saya, berhati-hatilah dengan kenyataan tersebut jika ingin mengamalkannya.

Ramai yang bercakap atau berpegang pada kenyataan itukerana ingin membuktikan betapa dirinya boleh bergaul dan bersifat tolak ansur. Semua pelakuan yang dilakukan adalah untuk menarik minat orang bawahannya supaya menghormati atau mentaatinya. Sepanjang pengalaman atau pemerhatian saya, ramai yang gagal untuk menjadikan dirinya sebagai seorang yang berwibawa. Kewibawaannya tercabar apabila arahannya gagal dipatuhi dengan berkesan dalam kalangan pengikut atau orang bawahannya. Semuanya gara-gara sifat kemesraan yang melampau.

Dalam hal ini, saya tetap berpendapat betapa adab sentiasa perlu dijaga sama ada ketika bertugas atau di luar tugas. Gagal berbuat demikian, biasanya mengundang petaka. Cuba kita bayangkan betapa seorang ketua yang tegas dan serius ketika menjalankan tugas. Selesai tugas, melepak bersama-sama rakan sekerja dengan helai ketawa sambil berkongsi rokok dan pelbagai pelakuan lain yang tidak ada batasan adab lagi. Mereka ini seolah-olah mempunyai dua sifat yang berbeza mengikut suasana. Sama agaknya dengan sifat binatang yang boleh mengubah warna badan mengikut keperluan. Saya tidak akan mengulas panjang tentang situasi tersebut kerana hal yang demikian tersangat asing pada perwatakan saya.

Saya berkeyakinan, mereka yang bersifat dua alam tanpa kawalan adab akan mengalami sedikit kesusahan untuk menegaskan sesuatu tindakan. Mungkin mereka berjaya mewujudkan kemesraan, tetapi tetap terdedah pada riaksi yang kurang menyenangkan daripada ahli yang dipimpin. Sekurang-kurangnya dari sudut target yang ingin dicapai sama ada dari segi target masa atau target keberhasilan.

 
Comments Off on 1.0 TINGKAT TARAF DALAM ORGANISASI

Posted by on 19/05/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: