RSS

LEMBARAN BARU

17 May

Saya memulakan penulisan pada ruangan ini dalam bentuk yang lain. Seperti yang dikatakan terdahulu, hal-hal yang berkaitan dengan SC di masa-masa yang lalu, tidak perlu diungkit lagi. Semuanya telah menjadi kenangan abadi. Tinggallah catatan dalam artikal berjumlah ganjil empat puluh tujuh semuanya.

Angka empat puluh selalunya memberi makna tempoh matang seseorang. Tambah lagi dengan angka ganjil berikutnya, lagi matang seseorang yang berada dalam lingkungan tersebut. Dengan ini diharapkan mereka yang membaca tulisan-tulisan yang terjumlah tersebut telah dapat mematangkan diri.

Apa pun kenyataan yang diberi, segala-galanya telah berlalu. Nasi telah menjadi bubur. Terimalah kenyataan seadanya. Tidak ada apa pun yang dapat kita lakukan lagi bagi mengembalikan semula sejarah kegemilangan Silat Cekak yang hebat pada satu masa yang lalu. Semuanya tinggal kenangan. Itupun kalau ingin dikenang oleh generasi yang akan datang. Cakap macam orang yang telah hilang harapan. Tapi itulah kenyataan.

Ada yang berpendapat bahawa kenangan sejarah bukan mudah untuk dikenang oleh generasi sekarang. Itu sebab agaknya, kerajaan akan mewajibkan mata pelajaran sejarah dalam pembelajaran. Hal yang demikian kerana sejarah pernah dikatakan akan menghalang perancangan atau strategi bagi generasi yang ada. Tidak hairanlah negara Singapura memulakan sejarahnya sejak kedatangan Laksamana Cheng Ho dengan mengetepikan sejarah peranan Sang Nila Utama. Maka saya juga percaya silat-silat Cekak yang akan banyak berpecah-belah, akan memulakan sejarahnya dengan guru yang mereka sanjung sahaja.

Ramai antara kalangan ahli yang berasa penglibatan mereka dalam SC tidak membawa makna apa-apa. Malah ada yang mengatakan buang masa dan tenaga. SC yang dibina indah, akhirnya diruntuhkan oleh seorang dua ahli yang berkuasa. Gara-gara kuasa yang menjadi matlamat utama.

Berdasarkan pengalaman, saya kurang bersetuju dengan kenyataan tersebut yang dikatakan membuang masa dan tenaga. Sesuatu yang melibatkan diri kita, tentulah atas kehendak atau ketentuan ilahi dan semestinya ada hikmah sebaliknya. Itu sebab juga agaknya kita dianjur supaya muhasabah diri. Lihatlah bintang di langit ketika kita muhasabah diri.

Di samping ada yang berasa rugi kerana bergiat dalam SC, sebaliknya saya berasa beruntung atas penglibatan diri dalam SC. Sesungguhnya, SC telah membentuk pesonaliti saya sebagai seorang ahli dalam satu-satu organisasi. Organisasi itu ialah tempat saya bekerja dan menunaikan kewajipan sebagai kaki tangan kerajaan. Sifat dan sikap saya banyak dipengaruhi oleh budaya dan kefahaman yang ada dalam SC. Hal yang demikian tentunya telah mempengaruhi pelakuan saya sebagai penjawat awam.

Jawatan saya yang kini bertindak sebagai pengurus sebuah organisasi yang besar memerlukan kebolehan dari segi kepemimpinan, pengurusan, komunikasi, motivasi, hubungan sesama ahli dan pelbagai kebolehan atau kemahiran yang tertentu. Kemahiran-kemahiran tersebut memerlukan satu pegangan atau teori di samping pengalaman yang luas dan pemikiran yang matang dan tepat.

Dalam kerjaya, kita sentiasa menghadapi pelbagai ragam manusia yang berada di sekeliling kita. Lain orang maka lain pulak feel atau ragam atau perangainya. Kalau kita tidak mempunyai satu pegangan untuk dijadikan prinsip hidup, maka pelakuan kita akan terikut-ikut dengan ragam manusia yang kita hadapi. Akhirnya, manusia yang berada sekeliling kita akan memberi impak pada perangai, tingkah laku atau sikap kita sendiri. Mendampingi pembuat minyak wangi, pasti akan mengharumkan diri kita bersama. Jika kita bersifat negatif, hal yang demikian akan menjadikan kita tidak selesa, tertekan dan mengusik jiwa kita sendiri.

Dalam hal ini, pengajaran atau kefahaman yang dibawa Ustaz telah memainkan peranan yang penting. Hal yang demikian kerana pengajaran atau kefahaman yang terkandung dalam SC diyakini boleh membentuk diri seseorang supaya menjadi seorang ahli dan seterusnya sebagai seorang pemimpin dalam organisasi yang berjaya dalam kerjaya seorang penjawat awam. Saya rasa kenyataan tersebut dapat dikaitkan dengan diri saya sendiri. Saya begitu berterima kasih atas apa yang saya peroleh selama ini dalam penglibatan saya dalam SC.

Dalam tulisan ini dan tulisan-tulisan seterusnya, saya akan membincangkan tentang sifat dan kefahaman Ustaz yang dibawa dalam dalam SC dengan kemahiran saya sebagai seorang pemimpin atau sebagai seorang pengurus dalam satu-satu organisasi. Saya berharap tulisan saya ini akan membawa makna kepada para pembaca sekalian.

Setakat ini tulisan saya sebagai pemulaan dan pengenalan.

 
Comments Off on LEMBARAN BARU

Posted by on 17/05/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: