RSS

54.2. KEINGINAN MENJADI GURU UTAMA.

21 Nov

Kemunculan Guru-Guru Utama SC.

Kita masih lagi membincangkan tentang asal usul boleh wujudnya banyak guru dalam SC. “Ahli bertanya, saya jawab”. Untuk memahami keadaan tersebut, saya cuba mengimbau kembali suasana yang timbul sejak dulu lagi. Saya cuba buktikan bahawa hasrat menjadi Guru Utama sememangnya wujud sejak zaman Ustaz lagi. Bukan perkara baru. Cuma, cita-cita ketika itu tidak kesampaian. Hasrat yang berputik di hati mudah terpadam kerana masa dan suasana yang tidak sesuai. Tidak ada satu alasan yang kukuh bagi murid-murid Ustaz yang berhati ‘gajah’ untuk berbuat demikian. Bukan mudah mendapat sokongan daripada ahli-ahli lain, dalam keadaan peribadi Ustaz yang sangat berkaliber dan berketerampilan.

Menyingkap kembali tulisan yang lalu, berdasarkan kesimpulan dan pandangan saya, apabila membincangkan tajuk keinginan menjadi Guru Utama ini, saya bahagikan peristiwa itu berdasarkan masa. Memudahkan kita memahami akan perbincangan saya dalam tulisan ini. Pertamanya ketika awal zaman Ustaz. Keduanya ialah peringkat kecemerlangan SC, Ketiganya ialah awal pemergian Ustaz dan seterusnya ketika zaman guru-guru utama selepas Ustaz.

i. Peringkat awal zaman Penglibatan Ustaz.

Seperti yang dibincangkan, telah wujud watak-watak yang secara terang-terang ingin ‘merampas’ jawatan Guru Utama. Pelbagai helah dilakukan mereka supaya Ustaz meninggalkan persilatan SC. Secara langsung tanggungjawab sebagai Guru Utama akan ‘dirampas’ oleh mereka. Dua watak telah saya bincangkan. Namun begitu, usaha-usaha mereka itu telah gagal.

ii. Peringkat Kecemerlangan SC.

Ketika SC berkembang hebat dan berpusat di Kuala Lumpur, ketokohan Ustaz semakin menyerlah. Orang-orang kanan Ustaz mulai tunduk sepenuhnya pada Ustaz. Namun begitu, suasana untuk bersaing dengan ketokohan Guru Utama tetap ada, tapi tidak jelas. Cuma, timbul perwatakan yang cuba meniru gaya Ustaz. Lagaknya seperti Ustaz. Pada pandangan saya, perbuatan tersebut adalah semata-mata untuk mendapatkan penghormatan dari ahli. Mereka yang terlampau, telah menanggung kesan pemecatan. Manakala sebahagian besar ahli lain yang berperwatakan sedemikian masih selamat berada dalam persatuan. Namun begitu perbuatan yang sedemikian tidak memberi bekas atau memberi ancaman pada kepimpinan Ustaz.

iii. Peringkat Awal ‘Pemergian’ Ustaz.

Pemergian Ustaz mewujudkan kekosongan tanggungjawab sebagai Guru Utama. Lama sangat tak ada pengganti. Perkembangan SC telah terhenti. Kalau tak salah saya, dibiarkan kosong selama empat puluh hari. Tunggu-tunggu akan mimpi. Pasti ada kalangan ahli yang bermimpi. Mimpi isyarat akan pengganti. Agaknya, ramai yang termimpi diri sendiri. Akibat syok sendiri. Lebih-lebih lagi pada mereka yang anggap Ustaz sentiasa berada di hati. Ilmu dan kefahaman yang ada, menjadikan perasan diri untuk bergelar pengganti. Tak kurang juga yang tersalah mimpi. Bermimpi akan kedatangan ‘bidadari’. Basah hingga sampai ke kaki. Tunggu-tunggu tak boleh jadi. Mesti ada pengganti.

Pada pandangan saya ketika itu, kenapa perlu mendapat petunjuk termasuk secara bermimpi untuk memilih pengganti. Perbuatan sedemikian boleh cenderong kepada sifat tahyol dan khurafat. Banyak menyusahkan ahli-ahli yang sedang belajar SC. Terhenti seketika perjuangan SC. Mulalah timbul bibit-bibit perjuangan diri. Kalau dikatakan En Mat tidak cukup matang untuk menunaikan amanah yang ditinggalkan Ustaz, bukan susah melantik pemegang amanah. Ramai yang berkelayakan. Tidak perlu menunggu hari yang begitu lama.

Cubalah buat kajian. Ketika itu saya sendiri telah terfikir. Dulu tak berani tulis. Sekarang berani tulis. Semuanya gara-gara perasan layak memegang tanggungjawab sebagai Guru Utama. Tapi jawatan yang ada hanya satu. Sebaliknya, murid yang perasan layak sebagai Guru Utama adalah ‘bersatu-satu’. Lebih dari satu. Untuk menampilkan diri, terasa malu. Tak ada sokongan kuat atau tak ada ‘bala tentera’ lagi. Semuanya bersaing secara sempurna.

Maka telah timbul istilah baru. “Para pendokong SC”. Sengaja saya eja dengan huruf ‘o’ bagi menyedapkan bunyi. Bukan persatuan dan bukan pergerakan. Tapi hanya gelaran. Orang yang perasan telah banyak berkorban bersama Ustaz menganggap diri mereka sebagai pembela Pusaka Hanafi. Mungkin itu maksudnya para pendokong SC. Termasuklah peniru watak Ustaz Hanafi. Seolah-olah merekalah yang bertanggungjawab bagi mempastikan persilatan SC terus berkembang atas landasan yang ditentukan mereka sendiri. Istilah yang sesuai untuk menunjukkan keikhlasan mereka berjuang ialah “Pendokong.” Istilah yang dipanggil untuk sesama sendiri. Saya yakin, mereka menggelar diri mereka sendiri sebagai para pendokong kerana persaingan mendapatkan jawatan sebagai Guru Utama adalah terbuka dan bukan mudah lagi. Tak banyak harapannya.

Kenapa perlu mereka sahaja yang menentukan landasan perjuangan SC seterusnya. Jawapannya ialah atas dakwaan mereka sendiri. Hanya mereka yang faham akan perjuangan Ustaz. Anihnya, para pendokong itu adalah merujuk pada ahli yang berada di pusat sahaja. Orang cawangan agaknya semua ‘jahil’. Tak cukup layak. Belum masak. Itulah dakwaan mereka. Sebenarnya di cawangan pun ramai para pendokong kalau nak dikatakan pendokong. Saya pun boleh dianggap pendokong SC. Sah originalitinya.Bukan cakap besar, tapi cakap benar. Orang hebat saja yang boleh angkat bakul yang dimasuki sendiri. Tak ubah pendirian. Tafsiran dan kesimpulan saya sejak dulu lagi. Tidak hairanlah ketika tertubuhnya beberapa jawatankuasa berkaitan kes En Mat, semuanya dari pusat. Merekalah yang dikatakan para pendokong SC. “Siapa kata!. Deme kata”.

Cuma, sebagai lanjutan, jika ada dalam kalangan ahli-ahli yang ingin membuat kajian, elok juga dikaji akan asal usul dan maksud istilah atau gelaran ‘para pendokong’. Siapakah mereka itu dan siapa pulak yang membuat pengiktirafan atas gelaran tersebut. Hal yang demikian kerana kebanyakan para pendokong inilah yang menjadi punca SC terus-menerus berpecah. “Pendokong pepecahan”. Sejak zaman PA hinggalah ke zaman En Mat.

Apakah yang didukung mereka selama berada dalam SC. Bahagian mana yang didokong. Bahagian atas atau bahagian bawah. Sepatutnya, kalau diistilahkan ‘Para Pendokong” tentunya mereka ini akan terus-menerus memelihara perpaduan SC. Mereka akan tetap bersatu memelihara Pusaka Hanafi. Sampai ‘mati’ pun mereka akan tetap memelihara persilatan, persatuan dan kefahaman yang ditinggalkan Ustaz. Tak izin pepecahan. Buatlah kajian ketika mengenang kembali pensejarahan SC.

Akhirnya Pak Ak telah dilantik sebagai pemegang amanah untuk menunaikan tanggungjawab sebagai Guru Utama. Pelantikan itu dikatakan atas keputusan ahli keluarga bersama para pendokong SC. Masyhur lagi istilah “para pendokong”. Dari situlah mula popularnya gelaran berkenaan. Merekalah yang cuba menjadi penentu masa depan SC. Ramai ahli yang tak ambil kisah. Lebih-lebih lagi ahli-ahli yang berada di pusat. Ahli-ahli lama yang berada di cawangan mula mempersoalkan perkembangan tersebut, terutamanya diri saya sendiri. Puncanya ialah kerana sering diketepi.

Pada saya, pelantikan PA, dengan sendirinya menafikan dakwaan bahawa SC adalah merupakan hak keluarga. Kalaulah dianggap SC sebagai hak keluarga, anak sulung Ustaz pastinya boleh dilantik sebagai Guru Utama. Ada juga pilihan lain. Ustaz mempunyai ramai anak lelaki. Antara merekapun boleh diberi tanggungjawab sebagai pemegang amanah, sementara menantikan yang hak memegang tanggungjawab sebagai Guru Utama. Tapi, bukan itu jadinya.

Sudah pastilah ada kriteria yang tertentu atas tanggungjawab tersebut. Bukan boleh buat sesuka hati. Tak boleh hentam keromo. Tanggungjawab sebagai Guru Utama adalah besar. Ada amanahnya. Tugas besarnya adalah memandu mereka dalam dunia persilatan benar. Seiring dengan tugas itu, keperibadian ahli perlu dibentuk sesuai dengan sifat muslim sejati. Bukan senang kerjanya.

Tentu ada sebab atas pemilihan PA sebagai pemegang amanah. Tentu ada ikatan lisan atau ikatan tulisan antara keluarga Ustaz dengan PA. Tentu ada harapan besar ‘para pendokong’ SC yang memberi sokongan atas lantikannya. Saya tak sentuh hal yang demikian. Tak buat kajian. Namun begitu, sebagai pemimpin cawangan, saya akur atas pelantikan tersebut. Nama PA sememangnya ada dalam perhatian Ustaz. Hal yang demikian telah saya jelaskan dalam tulisan yang terdahulu. Ada dalam contoh surat yang saya lampirkan. Oleh itu, saya menyokong penuh lantikan PA sebagai pemegang amanah. Saya berkeyakinan bahawa satu masa nanti tanggungjawab sebagai Guru Utama perlu diserah pada En Mat seperti mana yang dikehendaki Ustaz. Saya juga telah tulis dalam lampiran salinan surat saya tempoh hari.

Dalam tulisan ini, saya ingin menarik perhatian para pembaca tentang munculnya golongan baru yang bergelar ‘Para Pendokong SC’. Peranan mereka inilah akhirnya menjadi besar dalam menentukan hala tuju SC seterusnya selepas pemergian Ustaz. Pengaruh besar mereka itu kerap kali menjadi saingan pada kewibawaan Guru Utama yang sedia ada, sama ada di zaman PA atau di zaman En Mat. Ramai yang tidak menyedarinya. Tetapi, pada saya yang berada di cawangan, kami sentiasa berbincang akan gelagat mereka sesama kami. Itu sebabnya bukan mudah Cawangan saya tunduk pada pengurusan yang mereka lakukan hingga saya dicap sebagai kiri. Elok juga sebelah kiri. Kata orang yang empunya cerita, nafas kiri dianggap ‘tunduk’ umpama padi yang berisi. Bersambung.

About these ads
 
Leave a comment

Posted by on 21/11/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: