RSS

27.0 CARA-CARA BAGI MENINGKATKAN KEBERKESANAN KEPIMPINAN ORGANISASI

26 Feb

“Seorang ketua itu tidak semestinya seorang pemimpin.

Seorang pemimpin itu pastinya seorang ketua.”

Saya sangat bersetuju dengan kenyataan di atas. Dalam bahasa yang mudah, Seorang ketua lebih mementingkan kerja atau tugas dan matlamat. Rujukannya ialah peraturan atau proses kerja yang sedia ada atau proses kerja yang dipersetujui. Manakala seorang pemimpin menggerakkan tugas atau kerja atau pencapaian matlamatnya dengan mengambill kira hati dan perasaan serta kebajikan ahlinya. Seorang ketua atau pengurus itu adalah berada dalam hierarki yang tertinggi. Beliaulah yang mengepalai satu-satu persatuan atau organisasi itu. Sebaliknya, pemimpin berada di mana-mana. Apabila dia berjaya mempengaruhi orang lain ke arah satu-satu pencapaian matlamat itu, maka peranannya itu ialah seorang pemimpin.


Pada saya, kata kunci yang penting ialah ”mempengaruhi”. Seseorang yang berjaya mempengaruhi orang lain secara sukarela tanpa sebarang paksaan ke arah pencapaian sesuatu matlamat itu maka dia telah menjadi seorang pemimpin. Manakala seorang ketua hanya boleh mengarah orang lain melakukan satu-satu kerja. Mengarah seseorang itu tidak semestinya dia berjaya mempengaruhi orang itu. Arahannya berbentuk peraturan atau peruntukan kuasa yang ada padanya. Luar bidang waktu, arahan ketua tersebut bukan merupakan tanggungjawab lagi. Kalau dibuat juga maka perlu ada upahnya.

Oleh itu, menjadi seorang pemimpin memerlukan kemahiran atau skill yang tertentu. Bukan mudah untuk menarik perhatian orang lain melakukan sesuatu tugasan secara sukarela dan dengan hati terbuka. Pelajaran untuk menguasai kemahiran memimpin bukannya mudah. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan peranan seorang pengurus. Seorang pengurus boleh bertindak sebagai ketua. Rujukan dan pegangannya adalah berdasarkan akta, pekeliling, perintah am, surat-surat siaran atau peraturan-peraturan bertulis yang dikeluarkan dari masa ke masa.

Sebagai pengurus atau ketua, kegagalan pengikutnya mematuhi perintah, boleh diambil tindakan hingga ke peringkat buang kerja atau ditarik balik segala tugasan yang diberi. Tentunya hal tersebut berbeza sebagai seorang pemimpin. Seorang pemimpin akan cuba menggerakkan hati seseorang supaya bekerja dengan penuh kerelaan dan keikhlasan. Mereka tidak mengharapkan pulangan atau upah yang berganda, sebaliknya sentiasa mempastikan hasilan kerja sentiasa berada dalam kualiti yang tertinggi. Soal mengambil tindakan pada pekerja bukan menjadi agenda utama. Sesungguhnya mereka yang bertaraf pemimpin akan dapat menggerakkan jentera organisasinya dengan penuh kehebatan dan kejayaan.

Memimpin adalah satu kemahiran. Nilai yang ada pada diri sendiri akan banyak mempengaruhi kemahiran seseorang itu untuk memimpin. Seperti yang ditegaskan, orang lain yang akan menentukan sama ada kepemimpinan kita mantap atau sebaliknya. Kita jangan terperasan mengatakan bahawa kepimpinan kita mantap atau baik dalam kalangan mereka yang dipimpin. Selalu saya tekankan betapa pentingnya kita selalu muhasabah diri setiap hari. Lihat kembali segala tindak tanduk kita pada hari-hari yang berkenaan. Mungkin ada antara perbuatan kita yang tidak menyenangkan anak buah kita. Perbaikilah kelemahan tersebut. Malah, kita yang berperanan sebagai pengikut, mungkin juga melakukan perbuatan yang tidak menyenangkan orang lain atau mengeluarkan perkataan yang kurang sopan pada orang lain. Perbaiki diri sendiri. Hal yang demikian adalah penting. Walaupun kita berperanan sebagai pengikut, peranan kita mempengaruhi rakan-rakan lain juga menjadikan kita seorang pemimpin.

Bagi memantapkan kepimpinan kita, latihan kepimpinan perlu diikuti. Jangan tolak sebarang kursus yang ditawarkan pada kita untuk maksud menajamkan bentuk dan kemahiran kepimpinan kita. Kemahiran memimpin tidak terhad pelajarannya hanya setahun dua. Malah, pembelajaran aspek kepemimpinan adalah berterusan untuk sepanjang hayat. Hal yang demikian kerana kita akan sentiasa berhadapan dengan sikap manusia yang sentiasa berubah-ubah.

Di samping latihan, kita tidak boleh berpisah dengan nilai-nilai keagamaan. Nilai keagamaan akan banyak membantu kita dalam kerja-kerja memimpin. Nilai-nilai Islam adalah merupakan nilai yang mantap dan sempurna. Amalkan nilai-nilai tersebut sebagai sebahagian daripada sifat kita. Sifat-sifat dengki, iri hati, panas baran, curi tulang dan banyak lagi sifat negatif yang seumpamanya eloklah dihindarkan. Sebaliknya sifat-sifat mulia yang dianjurkan agama kita, boleh dijadikan pegangan. Hal yang demikian akan menjadikan kita sebagai seorang pemimpin yang sentiasa disegani oleh para pengikut.

Orang yang berpegang kuat pada nilai atau ajaran agama adalah merupakan orang yang bercakap benar dan yakin pada diri kerana menganggap perkara yang berlaku adalah merupakan ketentuan Tuhan dan ada hikmahnya. Mereka juga mementingkan janji dan menepati masa yang dinyatakan. Hal yang demikian kerana mereka akan sedaya upaya mengelak diri daripada digolongkan sebagai sifat munafik. Oleh itu, kepemimpinan mereka sentiasa ditingkatkan dari masa ke masa.

Kepimpinan kita juga boleh ditingkatkan melalui perubahan sikap dan nilai yang ada pada diri kita. Oleh itu selalulah muhasabah diri bagi mencari kelemahan dan kekuatan diri. Kekuatan yang ada, terus tingkatkan manakala kelemahan diri yang wujud cubalah dibaiki dengan bersungguh hati. Saya selalu menekankan faktor ini. Saya rasa dengan cara muhasabah dirilah akan menyebabkan kita sedar diri. Kalau sedar diri maka mudahlah kita mengenali diri sendiri.

Ada juga dalam kalangan kita yang kurang arif untuk mengubah sikap dan nilai pada dirinya. Salah satu cara untuk mengatasi masalah mengubah diri adalah melalui latihan yang dianjurkan oleh mereka yang mahir berbuat demikian. Dalam latihan tersebut, seseorang itu diberi peluang untuk mengenal diri sendiri dan memberi peluang kepada orang lain untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dirinya sebagai pemimpin. Cuma, sejauh mana kita berfikiran terbuka untuk menerima teguran.

Dengan latihan yang kita hadiri akan menjadikan kita lebih yakin diri dan lebih yakin akan sifat sebenar diri sendiri. Hal yang demikian akan membolehkan kita meningkatkan daya kepemimpinan kita untuk memimpin para ahli. Dalam persatuan kita, selalu diadakan kurus-kursus kepimpinan. Cuma, sejauh manakah kursus-kursus berkenaan benar-benar memberi impak yang berkesan bagi memantapkan daya kepimpinan para Jurulatih yang memimpin penuntut silat. Begitu juga kesan kursus yang diadakan pada Penyelia Kelas yang memimpin cawangan. Satu sistem penilaian jangka pendek perlu dibentuk bagi mengetahui hal yang demikian sebaik sahaja habis kursus.

Untuk penilaian jangka panjang, satu kajian impak perlu dilakukan dalam kalangan mereka yang telah menghadiri kursus supaya masa dan perbelanjaan yang dikeluarkan, benar-benar membawa makna pada peserta kursus tersebut. Jika tidak, saban tahun kita terus-menerus mengadakan kurus-kursus kepimpinan, tetapi bentuk kepimpinan di cawangan tetap tidak berubah. Mereka masih mengamalkan sikap dan nilai yang sama. Hal yang demikian menyebabkan sebarang perubahan demi memajukan persatuan dan persilatan yang amat diperlukan, sukar dilakukan di cawangan atau mana-mana pusat latihan.

Bersambung…

About these ads
 
Leave a comment

Posted by on 26/02/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: