RSS

23.0 NILAI DAN KEPEMIMPINAN I

05 Jan

           Berbalik pada objektif penulisan dalam blog ini, kita sambung lagi tentang peranan para Jurulatih yang merupakan pemimpin persilatan. Saya selalu tekankan peranan Jurulatih kerana saya percaya merekalah barisan penting yang akan menentukan kemajuan dan pembangunan SC. Ilmu dan kemahiran mereka bukan setakat bidang persilatan SC sahaja, malah meliputi ilmu-ilmu lain yang berkaitan dengan pengurusan organisasi, motivasi, komunikasi dan sebagainya. Selalu saya tegaskan betapa hebat atau tidaknya pesilat yang dilatih dalam satu-satu kelas latihan SC  adalah banyak bergantung pada peranan Jurulatih. Para pesilat sentiasa mengharapkan agar Jurulatih yang melatih mereka benar-benar berkemampuan dalam bidang persilatan dan kefahaman SC. Mereka akan merintih ketika menerima pelajaran SC jika terdapat Jurulatih yang tidak berkemampuan dan panas baran. Hati mereka terpaksa menerima sifat Jurulatih tersebut. Sikap yang demikian hanya timbul apabila para penuntut ada pilihan pada Jurulatih. Mereka akan suka membanding-bandingkan sesama Jurulatih yang melatih mereka. Sebaliknya, jika kewujudan Jurulatih adalah terhad, maka mereka akan menerima seadanya pada Jurulatih yang terhad tersebut. Jika sudah ’tidak tahan’ dengan pembawaan Jurulatih berkenaan maka  mereka meninggalkan SC buat sementara ataupun buat selama-lamanya. Mungkin kita boleh mengatakan mereka itu tidak ada rezeki. Hakikatnya, kita gagal untuk mendidik manusia yang bergelar Melayu supaya menguasai pusaka nenek monyangnya.

Saya juga selalu tegaskan betapa Jurulatih itu sendiri banyak mempengaruhi anak didiknya. Malah, di sesetengah cawangan atau di pusat-pusat latihan SC yang tertentu, pengaruh Jurulatih telah menyamai Guru Utama; dan dalam satu-satu kes yang tertentu, pengaruh Jurulatih telah mengatasi pengaruh Guru Utama itu sendiri. Contohnya boleh kita lihat dalam suasana kita berpecah baik zaman PA atau di zaman En Mat. Hinggakan untuk mendapatkan tenaga dalam kalangan anak didik Jurulatih berkenaan, perlu mendapat restu daripada Jurulatih itu. Bersyukur, sikap yang wujud itu hanya sesuai pada pembawaan Guru Wawasan dan Guru Persatuan.

Oleh sebab itu, saya selalu sarankan supaya para Jurulatih dan kepimpinan yang lainnya agar benar-benar memahami perjuangan SC dan mengamalkan adat dan adab yang ada dalam SC. Ketaatan pada Guru Utama mestilah dijadikan tunjang utama. Pengaruhilah para ahli supaya mereka bergerak secara sederap untuk mencapai matalamat persatuan. Jangan sesekali pengaruhi mereka yang sedang belajar SC untuk kepentingan diri, termasuk jualan langsung yang bermaharaja lela pada satu ketika yang lalu.

Salah satu adab yang patut ada pada barisan kepemimpinan SC ialah mengamalkan nilai-nilai murni sebagai pemimpin persatuan atau pemimpin organisasi. Malah, nilai-nilai inilah yang sepatutnya menjadi amalan dan pakaian manusia yang bergelar pemimpin. Apatah lagi ketika menjadi manusia pemimpin terhebat dalam SC. Jadilah diri umpama lebah yang sentiasa memberi manfaat pada yang lainnya. Jangan berumpama lalat. Mana saja tempat yang didatanginya, akan menjadi porak peranda. Sepatutnya, kehadiran dan penglibatan kita benar-benar memberi manfaat pada ilmu yang ditinggalkan oleh Ustaz. Mengembangkan tinggalan ilmu tersebut akan memberi manfaat kepada Ustaz sendiri. Itulah juga tandanya kita benar-benar menyayangi dan mengkagumi jasa-jasa Ustaz. Bukan hanya setakat bacaan tahlil setiap tahun. Makanannya tentu sedap, tapi pahalanya tak tentu sampai. Atau bukannya kita asyik bercakap kosong untuk mempertahankan ilmu yang ditinggal Ustaz,  sebaliknya merobak robek isi dan sistem pelajaran yang telah dimantapkan oleh Ustaz.

Saya yakin, nilai-nilai murni yang ada dan diamalkan pada para Jurulatih, para kepemimpinan tertinggi, pengurusan pertengahan dan pengurusan pelaksana, akan menjadikan persatuan atau organisasi berkenaan dalam keadaan mantap dan tersusun baik. Iklim persatuan turut menjadi  baik dan sejahtera. Hal yang demikian akan menjadikan persatuan atau organisasi berkenaan semakin hebat dari masa ke masa.

         Dalam amalan kepimpinan, nilai yang dipunyai oleh seseorang individu akan mencorakkan gaya kepimpinannya dan corak kepimpinan akan mencerminkan sifat kepimpinan yang diamalkan. Para ahli atau pengikut yang dipimpinnya boleh membuat tafsiran atau pandangan pada bentuk kepimpinan tersebut. Dalam hal ini, teori-teori kepimpinan yang banyak diperkatakan, bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditiru-tiru. Sebaliknya, nilai yang ada pada seseorang itulah yang akan menentukan corak kepemimpinannya. Kita mungkin boleh mendakwa diri kita sebagai berfikiran terbuka dan rela menerima sebarang kritikan. Hal yang demikian hanya  pandangan atau pendapar kita sahaja. Hakikatnya, orang yang berada di sekeliling kitalah yang boleh dan layak memberi padangan tersebut. Itu sebabnya kita dapati ada yang mendakwa dirinya berfikiran terbuka, pada hal tafsiran orang lain menganggapnya berfikiran sempit dan tidak menerima atau tidak mendengar pendapat orang lain.

Sebenarnya, nilai yang baik itu boleh dipupuk dari masa ke masa. Nilai berkait erat dengan perbuatan yang berulang setiap masa dan ketika. Perbuatan yang berulang itu akan mengasaskan sikap dan apabila sikap itu telah sebati dan berkekalan pada seseorang maka terbentuklah nilai pada seseorang itu. Nilai itu akan berkekalan dan akan mencorak gaya kepimpinannya sama ada seseorang itu sedar atau tidak. Itulah harga diri seseorang. Orang yang sentiasa muhasabah diri atau menilai dirinya, akan menyedari kekuatan dan kelemahan dirinya. Sesungguhnya, perbuatan tersebut adalah merupakan satu penilaian pada nilai dirinya sendiri. Setiap kelemahan, cubalah perbaiki. Kekuatan pada nilai diri yang ada bolehlah dijadikan pengajaran pada anak buahnya atau para ahli yang dipimpinnya dalam satu-satu persatuan atau dalam satu-satu organisasi. Oleh itu, saya berpendapat eloklah bagi kita mengetahui akan nilai-nilai umum yang sepatutnya ada dalam diri kita supaya kita dapat memahami gerak laku kita sendiri.

Seperti yang saya tegaskan dalam tulisan terdahulu, ramai dalam kalangan ketua atau pemimpin kita yang mendabik dada dengan mengatakan bahawa dirinya adalah berfikiran terbuka. Pada hakikatnya, hal demikian tidak pernah berlaku. Mereka tidak sedar bahawa nilai yang ada pada dirinya, sebenarnya telah dan akan mencorakkan sifatnya yang sebenar. Tak perlu dinyatakan sifat dan sikap kita pada orang lain. Sebenarnya orang lain sentiasa berupaya untuk mentafsir tentang perwatakan diri kita. Oleh itu, kata-kata diri sebagai berfikiran terbuka, lebih merupakan khayalan semata-mata. Indah khabar dari rupa. Mungkin tak pernah berlaku pun dan hanya menjadi bahan cemuhan ahli-ahli yang dipimpinnya sahaja jika cuba ditegakkan benang yang basah.

Pada kebiasaannya, ada enam nilai yang biasanya ada atau sepatutnya ada pada seseorang. Sejauh mana nilai-nilai tersebut menjadi amalan atau kebiasaan atau pegangan seseorang dalam kehidupan sehariannya. Semuanya bergantung pada individu berkenaan. Namun begitu, sifat sederhana pada nilai-nilai yang ada adalah merupakan sesuatu yang sangat baik. Sesuatu yang bersifat keterlaluan, biasanya akan mendatangkan gejala buruk pada diri sendiri dan diri orang lain. Hal yang demikian sesuailah dengan sifat yang perlu ada pada seseorang iaitu kesederhanaan. Kesederhaan akan menjadikan sesorang itu berupaya balik ke pangkal jalan apabila melakukan kesilapan. Orang yang keterlaluan, biasanya selalu terlanjur dan amat sukar untuk berpatah balik. ”Kalau dah jadi ’crook’ maka akan berterusanlah dirinya berwatak ’’crook’ dalam persatuan.” Kita sambung lagi.

About these ads
 
Comments Off

Posted by on 05/01/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: