RSS

22.0 KUASA DAN SIFAT KEPEMIMPINAN I

11 Dec

Dalam tulisan terdahulu, saya telah menyentuh tentang stail kepemimpinan yang ada dalam SC. Saya merujuk pada stail kepemimpinan Ustaz dalam mengendalikan persatuan SC yang merupakan sebuah organisasi yang besar dan hebat. Stail tersebut adalah berdasarkan kepemimpinan secara mutlak dan corak demokrasi  secara terpimpin terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan bidang persilatan . Tafsiran saya itu pula adalah berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya dalam bidang pengurusan yang sekian lama.

Nampaknya stail kepemimpinan Ustaz sangat berjaya. Saya sangat tertarik pada stail kepemimpinan yang sedemikian. Maknanya, para pemimpin SC yang mengurus persilatan dan persatuan di mana-mana peringkat, sama ada di peringkat cawangan ataupun di peringkat pusat, amat perlu menguasai ilmu pengurusan. Ilmu pengurusan ini termasuklah kepimpinan, komunikasi, motivasi dan pengurusan itu sendiri secara khusus. Dalam proses memimpin, jangan lupa akan gelagat atau perwatakan pengikut kita yang merupakan ahli silat merangkap ahli persatuan. Ilmu mengenai mereka perlu dikuasai. Hal yang demikian kerana para pengikut yang kita pimpin, juga akan mempengaruhi kejayaan persatuan atau organisasi itu.

Dalam tulisan ini, saya akan sentuh lagi secara umum stail kepemimpinan tradisi yang ada, umum dipraktikkan dalam mana-mana organisasi atau persatuan untuk menambahkan pengetahuan kita. Semoga tulisan ini dapat dijadikan panduan bagi Penyelia Kelas dan Jurulatih agar dapat memimpin persatuan SC dengan lebih baik. Kita doakan semoga pepecahan yang pernah berlaku dapat dihindarkan terjadi lagi di masa-masa depan.

Saya selalu tegaskan betapa proses kepimpinan itu juga memerlukan satu ’kuasa’ bagi membolehkan para pengikut kita menurut arahan yang kita berikan. Sebagai pengurus, kuasa diperoleh melalui peraturan-peraturan yang ada. Manakala pada konsep kepimpinan, kuasa itu adalah merujuk pada pengaruh yang kita ada bagi menggerakkan orang lain melakukan sesuatu kerja itu secara sukarela, bukannya atas arahan atau secara terpaksa.

Secara ilmiahnya, Kepimpinan adalah merupakan sebagai satu proses hubungan antara dua atau lebih manusia. Proses perhubungan itu adalah berterusan. Bukannya boleh dibuat sehari dua. Dalam proses itu seseorang individu itu cuba mempengaruhi orang lain ke arah pencapaian sesuatu matlamat atau tujuan. Bukannya matlamat atau tujuan peribadi, melainkan matlamat dan tujuan organisasi. Mereka tidak rela menjahanamkan organisasi yang mereka libatkan diri.

Kalau organisasi diibaratkan umpama sebuah kapal, seorang pemimpin akan mempastikan kapal itu bergerak dengan sempurna tanpa ada sebarang halangan. Tidak ada seorang pun ahli kapal tersebut yang bersifat khianat hingga akan menyebabkan kapal tersebut boleh tenggelam. Namun begitu, kita perlu pastikan semua ahli bersifat setia. Pengetahuan tentang perwatakan para ahli yang merupakan pengikut kita adalah amat perlu. Saya telah menyentuh hal yang demikian dalam tulisan yang lalu.

Para pemimpin persatuan atau organisasi itu juga mestilah ikhlas akan kepimpinannya. Kalau mereka mempunyai kepentingan diri, maka bukanlah mereka bersifat pemimpin. Melainkan sebagai petualang yang juga berusaha membocorkan kapal yang dinaiki. Biar tenggelam bersama asalkan puas hati. Itulah yang selalu saya katakan sebagai golongan haprak dan bukannya golongan pemimpin. Saya juga telah menyentuh perkara tersebut dalam tulisan yang terdahulu.

Dalam konteks kepemimpinan, pengaruh dan nilai-nilai murni yang ada pada seseorang pemimpin itu akan menjadikan organisasi yang dipimpinnya berada dalam landasan yang kukuh dan mantap. Pengaruh yang dipunyai oleh seseorang itu pada kebiasaannya dikaitkan dengan kuasa (POWER) yang dimilikinya. Maknanya kalau seseorang itu mempunyai pengaruh, bermakna itulah kuasa yang ada pada dirinya. Melalui kuasa yang sedemikian akan menjadikan para pengikutnya akan memberikan ketaatan tanpa berbelah bahagi.

Saya ingin menarik perhatian pembaca tentang kepimpinan ustaz itu sendiri. Saya merujuk diri saya sendiri betapa saya akan melakukan  arahannya tanpa ada perasaan membantah. Hal yang demikian berlaku secara spontan. Mungkin ada pelbagai perasaan yang bercampur-campur bagi membolehkan kita menurut sahaja arahan-arahannya. Nak kata takut, ada juga. Nak kata hormat, ada juga. Nak kata sayang, ada juga. Macam-macam perasaan yang bercampur-campur. Seolah-olah macam kita terpukau. Hal yang demikianlah menyebabkan timbulnya perasaan tak puas hati pada orang lain yang terdekat dengan kita. Hingga ada yang mengatakan betapa Ustaz menggunakan ilmu untuk membolehkan anak muridnya menurut apa saja yang dikata Ustaz. Itulah antara lain tafsiran yang ada ketika itu bagi mereka yang tidak berpuas hati dengan kebolehan dan kejayaan Ustaz.

Apabila saya berpeluang mendapatkan pengetahuan dan pengalaman, rupa-rupanya Ustaz telah berjaya memainkan peranannya sebagai seorang pemimpin, di samping sebagai pengurus persatuan. Kehebatan Ustaz memimpin kerana Ustaz mempunyai pengaruh yang kuat atas anak muridnya. Pengaruh itu adalah merupakan kuasa padanya untuk menggerakan para ahli bagi memajukan persilatan dan persatuan. Pengaruh yang merupakan kuasa pada Ustaz itu bukannya terletak pada jampi serapah semata-mata. Tidak ada ’ilmu’ yang dikenakan pada anak-anak muridnya, melainkan kewibawaan Ustaz yang begitu hebat ketika itu yang tidak ada tolok bandingnya.

Kita yang memimpin persatuan atau sebarang organisasi juga boleh menjadi seperti sifat kepimpinan yang ada pada Ustaz. Tak payah baca-baca. Tak perlu amal-amal ayat. Dalam tulisan ini saya cuba bincangkan cara-cara kita menegaskan pengaruh kita yang akhirnya akan menjadi kuasa kepada kita untuk mempengaruhi  orang lain menurut apa yang kita arahkan.

Pengaruh yang ada pada sesorang pemimpin itu untuk mempengaruhi orang lain, adalah pelbagai. Pengaruh ini berkait rapat atas kuasa yang ada padanya. Kalau dia dilantik atas kuasa yang sah, maka pengaruhnya adalah berasaskan pada proses peraturan atau pengundian. Persatuan kita ada mesyuarat agungnya. Di situlah lantikan bermula. Apabila dilantik, maka sahlah kuasa yang ada pada kita. Melalui kuasa yang sah itu, kita boleh mempengaruhi orang lain untuk menurut arahan-arahan yang diberikan. Walau bagaimanapun, kuasa yang ada itu tidak kekal. Hilang kuasa maka akan hilanglah pengaruhnya. Itu sebabnya, orang yang berkuasa akan sedaya upaya cuba mengekalkan kuasa yang ada. Macam-macam perkara yang dilakukannya. Mungkin melibatkan wang ringgit atau sebagainya. Sebab dia tahu, apabila hilang kuasa  yang sah itu, maka akan hilanglah pengaruhnya. Orang lain tak akan peduli lagi.

Tidak hairanlah kita lihat ada dalam kalangan kepimpinan kita yang berhempas pulas mendapatkan kuasa semula dengan pelbagai cara. Satu cara yang mudah ialah fitnah dan memfitnah. Orang-orang jenis ini tak mementingkan masa depan persatuannya. Apabila kepentingan diri mengusasai dirinya, maka membujur lalu melintang patah. Berpecahlah  kita. Apah tak dirasanya. Puas hati hinggalah dia sendiri yang mati dengan membawa kisah perjuangan diri. Bersambung.

About these ads
 
Comments Off

Posted by on 11/12/2011 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: